Monday 24 November 2014

Bagaimanakah Transformasi Minda Dapat Membantu Organisasi Meningkatkan Produktiviti ?



Bertepatan  dengan aforisme ‘umpama patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertelekan’, heterogen prakarsa diimplementasikan pemain industri dalam konkurensi merancakkan produktiviti organisasi masing-masing dalam mendepani era pascaperindustrian serta pascaglobalisasi yang serba menduga akal dan minda millenium ini.

Sebelum padau perbincangan digali dengan lebih mendalam, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan produktiviti secara khususnya? Mari kita fokuskan minda kita. Amnya, produktiviti ditakrifkan sebagai keupayaan untuk menghasilkan output daripada satu set input yang diberikan dalam proses pengeluaran produk secara optimum, berdasarkan tempoh masa tertentu atau teknologi diaplikasikan.Input ditakrifkan jumlah sumber yang digunakan dalam pengeluaran untuk menghasilkan barang atau menyediakan perkhidmatan tamsilnya pekerja, jumlah jam kerja, kos buruh, dana, tenaga, bahan dan perkhidmatan. Barang akhir yang mana di penghujungnya sama ada dalam keadaan siap sepenuhnya atau perkhidmatan yang dipersembahkan pula didefinasikan sebagai output, dicerminkan melalui Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), jumlah output, pertambahan nilai, pengeluaran nilai kewangan dan kuantiti unit fizikal yang dihasilkan.

Mari kita luaskan takrifan minda akan peri pentingnya pengukuran produktiviti. Sebenarnya, sistem pengukuran produktiviti yang boleh dilihat dan telus dapat membantu organisasi untuk menyediakan anggaran juga menyediakan maklumat fundamental  yang lengkap dan tepat berkaitan kecekapan total dan sasaran tahap produktiviti yang ingin digapai selain mewujudkan kesedaran untuk memantau prestasi pengurusan, perkembangan, memberikan respons, dan menetapkan objektif produktiviti selain membantu mengenalpasti isu-isu yang memerlukan perhatian pengurusan. Walaubagaimanapun, adalah penting untuk mengenalpasti variasi pendekatan dalam pengukuran produktiviti berdasarkan keperluan kepada objektif yang berbeza-beza demi memudahkan proses mengintegrasikannya dalam organisasi dalam tempoh tertentu meliputi belanjawan, perancangan dan pengawalan kerana pepatah Melayu ada menyebut ‘tembak yang beralamat, tujuan yang bermaksud’.
Namun, persoalan yang berlegar di gawang minda kita sekarang ialah, di   mana tempangnya perlaksanaan dalam meningkatkan produktiviti organisasi selama ini kerana kalau tiada angin,masakan pokok bergoyang’? Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Laporan Produktiviti 2011, Datuk Mohd Razali Hussain, tahap produktiviti pekerja negara ini jauh lebih rendah berbanding beberapa negara penanda aras di Asia seperti China, yang mempunyai kadar pertumbuhan sebanyak 8.7%, Indonesia dan India (4.8%) serta Indonesia (5%) sedangkan negara kita mencatatkan purata pertumbuhan produktiviti sebanyak 4.5% setahun kendatipun durasi bekerja rakyat kita lebih panjang.
Ghalibnya,idea dalam meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi tentunya mempunyai pro dan kontranya. Namun, apa yang sangat ditagih adalah bagaimana pandangan kontra tersebut diterjemahkan melalui sisi yang positif seterusnya memberikan impak yang berganda.Lalu, bagaimana gamitan menara  impian ini dapat digapai? Sebelum itu, mari kita telusuri nukilan kata Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, “Untuk menjayakan sebuah transformasi pastinya melibatkan perubahan, pembaikan dan pengukuhan kepada tiang seri institusi serta struktur perkhidmatan awam itu sendiri. Ertinya, pertama, perubahan pada cara berfikir, kedua, pembaikan kepada sistem nilai dan ketiga, pengukuhan kepada gerak kerja”. Izharnya, transformasi minda berpaksikan kejituan intelektual menjadi jawapan konklik kepada persoalan ini. Apa yang pasti, transformasi minda oleh semua pihak sangat ditagih agar tidak terus dibelenggu pemikiran ortodoks dan jumudbagai katak di bawah tempurung’ sebaliknya buka hati, buka minda serta kenali diri dengan memperteguhkan kefahaman akan lapan nilai yang digariskan dalam  etos perkhidmatan awam yang menjadi mangkin efektif dalam keberhasilan produktiviti seterusnya bertindak secara glokal dan global pada hari-hari mendatang.
Dalam mengharungi onak ekonomi yang tidak menentu marcapada, segelintir   penjawat awam dilihat semakin rancak berenang dalam kolam rasuah dek kerana  nilai material semakin memberkas dan bermaharajalela kerana terbuai dengan wang  ringgit yang menggelapkan mata itu. Sesungguhnya dalam apa sahaja bidang kerja, ramai yang berdisiplin, tetapi ada sahaja kerbau yang mencalit lumpur. Kegusaran akan situasi ini turut dizahirkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz melalui nukilannya, “Satu perkara yang menakutkan saya pada hari ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki”. Kemelut ini wujud ekoran rapuhnya nilai integriti dalam sanubari mereka.Integriti didefinasi perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna bertunjangkan sifat-sifat mahmudah. Kendatipun begitu, hakisan integriti dalam kalangan penjawat awam tidak terbatas dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi merangkumi aspek yang lebih luas dan komprehensif. Justeru, penjawat awam seyogia mengekalkan imuniti dengan tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, kulawarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Maka, nilai murni analoginya mengurus masa dengan sistematik dan efisien, memberi perkhidmatan bitara kepada pelanggan secara ikhlas, mengurus sumber kewangan dan peralatan pejabat secara berhemah serta menjaga etika perkhidmatan awam seyogia disematkan secara holistik dalam sanubari seterusnya dicerminkan oleh penjawat awam melalui perlaksanaan perkhidmatan yang telus, adil dan saksama sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mewujudkan asas mapan kepada pembinaan sahsiah penjawat awam demi kepentingan sejagat pada kontemporari ini.
Seterusnya,budaya kesegeraan perlu menjadi budaya dan rutin harian yakni mencakupi pemikiran, kehendak dan perlakuan. Pemikiran bermaksud peluang-peluang yang ada di sekeliling yang tidak terfikir oleh orang lain atau yang menuntut kita berfikir di luar kotak fikiran semasa membuat keputusan, iaitu keputusan dibuat dengan segera tanpa mengorbankan kualiti manakala kehendak ialah tahap kemahuan untuk melakukan sesuatu dengan segera sehingga sukses dan perlakuan ialah kesedaran dan kesensitifan tentang perkara yang sedang berlaku yang bukan hanya merangkumi kerja-kerja rutin setiap hari, malah lebih daripada itu (Kotter 2008). Penjawat awam perlu hadir bekerja setiap hari dengan iltizam untuk mencapai suatu matlamat dan mengenepikan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah untuk bergerak pantas di samping berwaspada terhadap ancaman dan peluang yang wujud. Tanpa mengingkari prosedur dan peraturan kerja yang berkuatkuasa, penjawat awam perlu memenuhi keperluan pelanggan tanpa berlengah, responsif dan berkesan selain melaksanakan arahan mengikut peraturan dan keutamaan melalui ketetapan jadual dan tarikh kerana kerana ‘kerja yang baik segerakan, jangan ditimpa kerja yang buruk’ selain ‘meminimakan masa, memaksima usaha’. Bahkan, sekiranya sesuatu keputusan itu lewat dibuat disebabkan oleh kerja yang banyak dan berterusan, maka kerja-kerja tersebut perlu disusun semula dan proses kerja direkayasa.
Berpegang dengan prinsip ‘customer is king‘ dancustomer always right’, pelanggan merupakan kelompok yang mengisbatkan tulang belakang jatuh-bangunnya sesebuah syarikat. Pelanggan merupakan individu atau kumpulan yang merangkumi pelanggan dalaman, luaran dan  juga stakeholders  yang memohon atau menerima perkhidmatan daripada sesebuah agensi. Dalam konteks ini, penjawat awam yang berperanan sebagai fasilitator diseru memancing hati pelanggan dengan memberikan layanan yang adil, konsisten dan egalitarianism melalui prosedur kerja yang jelas selain memenuhi kehendak dan melebihi ekspektasi mereka melalui prinsip going the extra mile, bersopan iaitu berinteraksi secara berkesan menggunakan nada yang betul, memberi layanan yang baik dan mesra, selain bibir tidak lekang dengan senyuman juga mengekalkan tingkah laku dan disiplin yang baik sepanjang masa di samping memberi perkhidmatan dengan penuh sifat empati dan prihatin terutamanya dalam program Hari Bertemu Pelanggan. Respons pelanggan dengan menyediakan peti-peti cadangan, temu bual dan sebagainya diambil  demi memastikan kecemerlangan yang berterusan. Perkhidmatan pelanggan yang responsif, mesra dan mengutamakan pelanggan menjadi nadi kepada kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan seterusnya dapat memenuhi kehendak dan kepuasan mereka barulah dapat menjamin organisasi menyediakan keluaran dan perkhidmatan yang senantiasa dalam bentuk kualiti yang diharapkan.
Berlatarbelakangkan aforisme sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk’, pekerja perlu sentiasa mempunyai keinginan dan inisiatif untuk berkolaborasi secara aktif sama ada secara intra atau inter-agensi dengan bekerjasama dan bersepakat ‘bagai aur dengan tebing’ kala lapang dan getir demi meningkatkan dan melicinkan pelaksanaan dan penerapan budaya kecemerlangan dalam sesebuah organisasi kerana sesungguhnya bersekutu, bertambah mutu. Bagi melenyapkan stigma negatif sektor awam yang sering dilabelkan sebagai tidak cekap, bekerja secara silo, tidak berupaya untuk menerima idea-idea baru dan bertindak dengan fikiran sempit, penjawat awam haruslah mengambil inisiatif untuk bergerak secara seamless dan mengutamakn aesprit de corps tanpa mengira portfolio atau core business masing-masing selain saling menasihati dan memberi tunjuk ajar sesama rakan sekerja kerana ‘tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati’ sementelahan pendekatan sebegini dapat mewujudkan kondisi dan perasaan empowerment’ kepada semua anggota. Hasilnya, kolaborasi sebegini dapat mengoptimumkan perkongsian sumber dan kemudahan di dalam dan di antara agensi, meningkatkan nilai untuk wang, meningkatkan perkongsian maklumat di semua peringkat organisasi, meningkatkan ruang untuk sinergi idea dan meningkatkan jati diri yang menjurus ke arah peningkatan kualiti perhidmatan.
Mari kita fokuskan pula minda akan ucapan Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Sidek Hassan, “Kejayaan agenda transformasi ini pastinya menuntut supaya perkhidmatan awam beralih dari paradigma lama bagi membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan penciptaan serta pemerkasaan intelektual dan profesionalisme.” Kata-kata ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya budaya inovasi dan kreativiti. Menurut Prof.Dato' Ir.Dr.Zaini Ujang, dalam bukunya 'Budaya Inovasi:Prasyarat Model Baru Ekonomi', menyatakan bahawa kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru.Inovasi pula berasal daripada perkataaan Latin yang bermaksud pembaharuan iaitu kesan daripada aplikasi keupayaan kreatif  khususnya dalam industri yang memerlukan konsep, idea,kaedah  proses dan kegunaan yang berupaya membuat pembaharuan atau mengubahsuaikannya untuk menjadikannya lebih berkualiti selain sebagai satu proses menampilkan idea yang dapat mengubahnya ke bentuk produk, perkhidmatan, sistem dan cara operasi yang baru. Dengan kata lain, ia adalah satu cara menterjemahkan idea baru untuk dihasilkan melalui proses tertentu seperti rekacipta, pembangunan, pengeluaran dan sebagainya. Namun, ia akan menjadi suatu inovasi jika idea tersebut benar-benar dapat digunakan dan dimanfaatkan secara total. Dalam konteks sektor awam, sesuatu ciptaan itu boleh dikatakan inovasi sekiranya ia dapat memberi manafaat yang nyata kepada murba atau yang diistilahkan sebagai nilai awam dan memberi nilai tambah kepada keadaan sedia ada. Kreativiti dan inovasi menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan awam melalui pelaksanaan idea-idea yang mencabar status quo serta menambah nilai kepada kualiti penyampaian perkhidmatan dengan meneruskan budaya kerja berasaskan kreativiti dan inovasi, menubuhkan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di tempat kerja, perekayasaan proses dan prosedur kerja. Memandangkan dunia  hari ini adalah dunia yang sarat dengan muatan reformasi teknologi dan maklumat, pelbagai organisasi mengaplikasikan ICT sekaligus memanafaatkannya untuk mempercepatkan urusan secara total sekaligus menunjukkan kebolehan mereka menerima pemikiran mutakhir bahkan ‘berfikir di luar kotak kebiasaan’ berbanding ‘berurusan seperti lazim’. Sementelahan, pelancaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya oleh Barack Obama iaitu presiden negara kuasa besar dunia yakni Amerika Syarikat pada 27 April lalu sekaligus membuktikan proklamir juga apresiasi  negara Uncle Sam itu terhadap kesungguhan Malaysia yang memiliki daya saing yang gah di puncak jagat bahkan menjadi loncatan saujana untuk mencapai pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000-AS$20,000 menjelang tahun 2020 melalui kegiatan ekonomi khususnya.
Selain itu,musyawarah dan penglibatan adalah salah satu konsep di bawah engaged governance, dicerminkan pelaksanaannya melalui National Key Result Areas (NKRA) dan Government Transformation Programme (GTP) yang direalisasikan melalui konsep hari terbuka yang melibatkan tautan hati marhaen,kerajaan,badan bukan kerajaan dan sektor swasta membabitkan proses membuat keputusan dan penggubalan dasar demi penambahbaikan bertujuan melestarikan impak positif kepada landskap sosioekonomi negara. Melalui pendekatan hari terbuka, menyediakan saluran untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan, menubuhkan pasukan petugas yang melibatkan pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan, memperkenalkan program-program peningkatan kesedaran penjawat awam tentang keperluan memenuhi ekspektasi pelanggan, mengadakan sesi dialog, mesyuarat, seminar, persidangan dan kajian awam membolehkan semua pihak memberikan komentar terhadap program dan polisi baru kerajaan. Meskipun diakui tidak berupaya untuk memuaskan hati semua pihak tetapi sebenarnya membolehkan kerajaan memperoleh pandangan konklik dan bernas, selaras dengan aspirasi ’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Ghalibnya, aduan terhadap perkhidmatan awam sering dikaitkan dengan rasa tidak puas hati mengenai prosedur atau perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dek kerana ketidakcekapan dan salah laku penjawat awam. Melalui aduan kelemahan dalam prosedur, kakitangan dan lain-lain dapat dikenalpasti dan diperbaiki.Justeru itu, aduan harus dilihat sebagai platform yang positif yakni aduan sebagai satu hadiah yang tidak ternilai daripada pelanggan. Bahkan, sekiranya aduan didengar dengan hati yang terbuka dan bersifat empati, setiap kehendak pelanggan difahami, seterusnya aduan dilayan serta diselesaikan dengan segera dan responsif di samping dapat mengurangkan kerenah birokrasi, lantas akan wujud satu dimensi baru dalam sistem penyampaian perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah apabila penambahbaikan dibuat berdasarkan ‘insentif’ yang diterima.
            Sememangnya,cabaran masa kini dan masa hadapan sangat menuntut penjawat awam untuk memahami kehendak pelanggan yang semakin berpendidikan dan bermaklumat. Bagi menangani cabaran tersebut, penjawat awam perlu menggalas tanggungjawab memanifestasikan fikiran dengan mengisi ketandusan minda dengan menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran yang relevan. Penguasaan dua komponen vital ini akan memantapkan kompetensi modal insan sedia ada dan seterusnya, membantu meningkatkan prestasi kerja dan imej organisasi. Dalam konteks ini, penguasaan bahasa ketiga dan literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) adalah di antara tamsilan ilmu dan kemahiran yang mesti dikuasai. Peningkatan ilmu dan kemahiran dalam kalangan penjawat awam hendaklah merangkumi dua jurus corpus ilmu iaitu explicit dan tacit. Explicit knowledge adalah pengetahuan yang boleh dipelajari secara formal manakala tacit knowledge diperoleh melalui perkongsian pengalaman dan kemahiran demi meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan pelaksanaan kerja. Di samping itu, ia juga dapat membantu penjawat awam menganalisis persekitaran,mengqadimkan perubahan seterusnya menampilkan persediaan sewajarnya. Sesungguhnya, pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai kerana ia merupakan satu proses yang berterusan dalam kehidupan manusia seperti ungkapan bestari ‘tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad’ yakni dengan meningkatkan pembacaan bahan baharu, membuat pemerhatian dan belajar daripada uswah bitara, menghadiri latihan, seminar dan bengkel, mengambil bahagian secara sukarela dalam program ilmiah, memberi cadangan dan pendapat dalam diskusi melalui pendekatan focus group dan lab di samping menanda aras kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki dengan staf cemerlang.
Berbalik kepada konotasi,sebagai pengitlakannya, setiap individu dalam organisasi tanpa mengira pangkat perlulah melakukan anjakan paradigma secara total atau lebih tepat lagi melakukan transformasi minda demi menjamin kelangsungan kecemerlangan produktiviti dalam organisasi. Semoga dengan wujudnya masyarakat yang mempunyai pemikiran minda kelas pertama yang menjadi teras ketiga dalam kerangka lima teras utama RMK-9, dapat menginterpretasikan visi kudsi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang mempunyai kecemerlangan ekonomi yang mampan bak kata pepatah, ’kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Akhirulkalam,mariah sama-sama kita hayati firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri’’. (al-Arad ayat 11). Renung-renungkanlah.
(2183 Patah Perkataan)

No comments:

Post a Comment