Monday 24 November 2014

Hadiah Cinta Pencipta

Pertandingan "Penulisan Cerpen Menjejak Cinta"
Hadiah Pemenang :
Hadiah pertama : RM 1,000.00
Hadiah kedua : RM 700.00
Hadiah ketiga : RM 500.00
Saguhati : RM 300.00

Syarat-syarat Penyertaan:
1. Pertandingan dibuka kepada warganegara Malaysia. Keutamaan diberikan kepada penulis-penulis amatur yang baru berkecimpung dalam bidang penulisan.
2. Setiap penyertaan adalah hak milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Sebanyak 25 buah karya terbaik akan dipilih untuk dimuatkan di dalam kompilasi cerpen 'Menjejak Cinta' terbitan Yadim.
3. Cerita-cerita yang dimuatkan haruslah mempunyai unsur-unsur yang memberi inspirasi pengajaran, menginsafkan pembaca, mencuit emosi, catatan pengalaman dakwah terutama kepada golongan bukan muslim, interpretasi nilal kasih sayang mencakupi kasih sayang terhadap Allah, manusia, haiwan dan sesama makhluk.
4. Karya mestilah tidak melanggar syariat Islam dan tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
5. Cerpen yang dihasilkan mestilah yang mendidik pembaca agar lebih menghargai nilai kasih sayang dan melihat dakwah dari kaca mata yang sangat luas.
6. Karya boleh juga dihasilkan dalam bentuk humor, monolog, melankolik, penyiasatan, misteri dan travelog.
7. Jumlah muka surat bagl setiap penulisan adalah 10 muka surat A4 sahaja. Ditaip langkau dua baris menggunakan font Times New Roman bersaiz 12 pt.
8. Judul cerpen hendaklah ditaip pada muka surat pertama.
9. Karya mestilah asli dan tldak pemah diterbitkan dalam mana-mana penerbitan.
10. Karya ditulis dalam bahasa Melayu.
11. Hadiah akan diberikan kepada tiga pemenang utama. Manakala hadiah saguhati akan diberikan kepada 22 cerpen yang terpilih untuk diterbitkan. Setiap pemenang akan menerima 5 naskhah hadiah buku kompilasi cerpen 'Menjejak Cinta' terbitan YADIM.
12. Karya akan dinilai berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak YADIM dan keputusan adalah muktamad.


Sila emelkan karya dan borang penyertaan yang lengkap kepada webmaster@yadim.com.my atau kepada
Urusetia Pertandingan Penulisan Cerpen 'Menjejak Cinta' Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Kompleks Pusat Islam Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur (u.p. Puan Siti Suhafzan Sh Ibrahim/ Puan Anna Adnan)


Untuk Maklumat lanjut, sila hubungi
Tel    : 03-2274 6077
Faks : 03-22732330
FB    : www.facebook.com/Yayasan Dakwah Islamiah malaysia

Tarikah Tutup penyertaan pada 28 November 2014

Selamat Berjaya!!

Inilah cerpen tulisan saya. Komen yang membina sangat diperlukan :)


HADIAH CINTA PENCIPTA
Suratan Takdir
Malam ini dingin sekali. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Hujan rintik-rintik turun membasahi bumi. Dia melemparkan pandangannya jauh ke luar jendela. Matanya berkaca. Akhirnya, mutiara jernih itu jatuh membasahi pipinya jua. Suaminya, Ahmad Saifullah, telah pergi seminggu yang lalu, meninggalkan dia dan anak-anaknya, kerana komplikasi paru-paru. Dia merenung anak-anaknya yang sedang nyenyak tidur di kamar itu. Bagaimana harus dijelaskan mengapa Walid mereka tidak lagi bersama mereka? Bagaimana dia harus membesarkan mereka tanpa kasih sayang seorang insan bergelar bapa? “Elman Hakeem, Nurul Iman, bersabarlah sayang. Ini ujian Allah SWT buat kita. Dia tidak akan menguji hambanya-Nya di luar kemampuannya”, bisik Puan Insyirah kepada anak kembarnya yang masih belum mengerti apa-apa, di samping memujuk hatinya itu. Dia memeluk kedua-duanya yang berusia genap dua tahun itu dengan erat. Sesungguhnya, kasih ibu tiada tandingannya. Dia tahu, dia harus bangkit. Bangkit demi anak-anaknya. Bangkit demi masa depan mereka.
Kini, dialah ibu, dialah bapa. Dia tekad, mereka harus diberi pendidikan sewajarnya dari usia kanak-kanak lagi. Pendidikan duniawi, agar mereka menjadi insan yang berjaya di dunia yang sementara ini. Pendidikan ukhrawi, agar mereka menjadi anak soleh dan solehah yang mampu membahagiakan orang tua mereka di dunia dan akhirat yang kekal abadi.
“Insyirah, saya minta maaf. Ini adalah keputusan pihak pengurusan. Kami terpaksa menamatkan perkhidmatan kamu kerana kedatangan kamu begitu merosot sejak akhir-akhir ini. Minta maaf Insyirah, saya terpaksa akur akan arahan ini”, jelas Puan Zahra selaku ketua jabatan tanpa memandang tepat wajahnya. Dia tahu, Puan Zahra serba salah untuk memberitahunya, kerana takut menambahkan lagi penderitaannya. “Tidak mengapa kak Zahra, saya faham”, katanya seraya tersenyum. Sememangnya, mereka sangat akrab seperti adik-beradik kandung. Sebab itu jugalah, Puan Zahra meminta Puan Insyirah memanggilnya dengan panggilan kak Zahra sahaja. Lantas dipeluknya Puan Zahra seeratnya, kerana kasihnya dia akan insan yang banyak berjasa kepada keluarganya. Air mata mereka bercucuran. Bagi Puan Insyirah, inilah saat dia terpaksa berjauhan dengan sahabatnya itu. Tetapi tidak bagi Puan Zahra, walaupun sahabatnya itu akan berhenti kerja, tali silaturrahim mereka tidak akan terputus. Dia teringat akan suatu hadis, daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepaskan hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Ya! Puan Insyirah saudara seagamanya, jadi dia sewajarnya melepaskan saudaranya daripada kesempitan. Dia tersenyum, kerana di fikirannya sudah ada idea untuk membantu sahabatnya itu, sambil membiarkan Puan Insyirah terus mengalirkan air mata untuk menenangkan perasaannya. “Terima kasih Kak Zahra, saya keluar dulu, nanti saya kemaskan meja saya”. Puan Insyirah meninggalkan ruang pejabat itu dengan perasaan bercampur-baur. Sebelum pulang, dia bertemu dengan teman sepejabatnya yang lain. Masing-masing mengalirkan air mata kesedihan. Sepanjang sepuluh tahun Puan Insyirah di situ, semua rakannya sangat menyenangi keperibadiannya yang peramah dan sopan-santun. Jauh di sudut hatinya, dia pasti akan merindui mereka. Akhirnya, dia terpaksa akur, khidmatnya sebagai penyunting bahan tulisan berilmiah tidak lagi diperlukan di Syarikat Percetakan Azmira.
       Dia termenung mengenangkan nasib mereka sekeluarga. Wang simpanannya hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka selama beberapa bulan sahaja. Lama-kelamaan, dia harus berikhtiar mencari wang. “Umi, esok Adik tak nak pergi lagi rumah Mak Cik Limah. Dia garang. Kalau Adik dengan Abang Elman bising-bising, dia marah-marah kami”, kata Nurul Iman yang mula petah berkata-kata. Kini, usia mereka hampir empat tahun. Sebenarnya, dia meminta tolong jirannya itu menjaga mereka. Diupahnya setakat yang termampu. Jadi, dia tidak hairan mengapa Mak Cik Limah sering marah-marah “Ya Adik, esok Adik dan Abang Elman duduk dengan Umi kat rumah ya. Umi dah tak kerja kat situ”, jawabnya sambil tersenyum. Mereka melompat riang. Akhirnya mereka dapat bersama Umi mereka sepanjang masa. Bagi Puan Insyirah pula, sesungguhnya, tiada yang lebih menggembirakan selain dapat bersama insan tersayang, dan melihat mereka tertawa riang.
Kasih Seorang Sahabat
            “Ambilah Insyirah, akak cuma nak bantu kamu. Demi masa depan anak-anak kamu juga. Tak lama lagi mereka akan bersekolah, banyak keperluan mereka kamu kena sediakan. Mereka pun dah macam anak-anak akak. Sejak suami akak meninggal tiga tahun lepas, selain anak tunggal akak, Aiman Fattah tu, kamu sekeluargalah tempat akak berkongsi kasih sayang, berkongsi tawa, suka dan duka. Terimalah pemberian ini”, pujuk Puan Zahra. Akhirnya, dia akur setelah berulang kali dipujuk. Benar, di saat ini, dia sangat memerlukan wang. Dia malu untuk meminta, bahkan dia juga malu kerana terlalu banyak pertolongan Puan Zahra kepada keluarganya. Tetapi, pertolongan sahabatnya itu selalu tepat pada masa dia kesempitan. Dia berjanji, jasa sahabatnya akan dibalasnya suatu hari nanti. Benarlah, Rasulullah SAW pernah bersabda, "Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian, atau anda membeli bau-bauan daripadanya, atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula, samada ia menyebabkan baju anda terbakar, atau anda mendapat bau yang hapak.” (Hadis Riwayat Abu Daud). Baginya, Puan Zahra seperti pengedar minyak wangi bagi keluarganya, sambil memerhatikan Elman Hakeem, Nurul Iman dan Aiman Fattah bermain dengan kucing peliharaan mereka, Si Cat dan Si Mun. Dari awal lagi, mereka berdua mendidik anak masing-masing akan pentingnya kasih terhadap makhluk terutamanya haiwan, kerana Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Mereka sangat berharap agar anak-anak itu membesar sebagai insan mulia yang penuh dengan sifat kasih sayang sesama makhluk ciptaan Allah SWT, sambil berzikir dalam hati memuji kebesaran Allah SWT tanda kasih kepada Pencipta mereka.
                        Dengan menggunakan wang pemberian sahabatnya itu, Puan Insyirah mula berniaga kecil-kecilan. Dia membuat nasi lemak di rumah, yang kemudiannya dihantar ke warung-warung berdekatan, untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Jualannya sangat laris. Masakan tidak, aromanya sahaja mampu membuatkan pelanggan kecur air liur. Di samping itu, dia juga mula menjadi penulis buku ilmiah secara sambilan di rumahnya, dengan harapan agar usaha dakwahnya dapat disebarkan kepada umum. Dia bersyukur, sekurang-kurangnya selesai sahaja membuat nasi lemak dan menulis, dia berpeluang mengajar anak-anaknya mengaji dan bersolat serta meluangkan masa bersama-sama. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak seawal usia empat tahun seperti mereka memerlukan sepenuh perhatian daripadanya.
Keprihatinan Insan Berlainan Agama
                          Sepuluh tahun berlalu. Dia meniti hari-harinya dengan tabah. Dia kini sudah berpindah ke Bandar dan menjadi jurujual di kantin sekolah. Di situ jugalah  Elman Hakeem dan Aiman Fattah menimba ilmu. “Umi, petang nanti kami nak pergi ke rumah kawan kami. Nama dia Mei Fen. Rumah dia di kawasan perumahan belakang sekolah”, kata Elman Hakeem kepada Uminya. “Tak usahlah Elman, Aiman, tempat tu jauh. Lagipun Ibu Aiman minta Umi tolong tengok-tengokkan kamu. Hari ni Ibu balik lewat, ada mesyuarat”, jawab Puan Insyirah. Kini, mereka tinggal berjiran di bandar. “Tolonglah benarkan kami pergi Umi. Kami baru sahaja kenal Mei Fen, dia baik sangat-sangat Umi. Dia yang tolong selamatkan Si Belang daripada dilanggar kereta hari itu. Mak ayah dia pula selalu tumpangkan kami pulang dari sekolah kalau Pak Cik Man terlewat ambil kami”, rayu Elman Hakeem lagi. “Betul tu Umi, lepas ni, tentu dia berpindah lagi. Nanti susah lah kami nak berjumpa dia lagi. Ayah dia kan usahawan”. Aiman Fattah bersuara menyokong kata-kata Elman Hakeem. Sejak kecil lagi dia memanggil Puan Insyirah Umi, manakala Elman Hakeem pula sudah dibiasakan memanggil Puan Zahra sebagai Ibu, tanda eratnya ikatan kekeluargaan mereka. Puan Insyirah serba-salah. Risau benar dia hendak membiarkan mereka berdua berbasikal ke sana. Lagipun, rumah Mei Fen agak jauh dari rumah mereka. Akhirnya, dia memutuskan untuk menghantar mereka ke sana dengan kereta, dan mengambil mereka lewat petang nanti.
            “Terima kasih Encik Lim, tidak tahu bagaimana saya hendak balas budi Encik Lim. Kalau Encik tak datang, tak tahulah bagaimana nasib saya. Tiba-tiba tayar kereta ni bocor, bengkel pula dah tutup malam-malam begini”, kata Puan Insyirah kepada bapa Mei Fen.      “Tak ada apa lah Puan, lagipun masa Puan Insyirah telefon saya tadi, kebetulan saya pun hendak ke kedai runcit, jadi saya terus datang ke sini”, jawabnya sambil tersenyum.             “Terima kasih juga sebab selalu tumpangkan Elman dan Aiman waktu pulang dari sekolah. Mereka banyak ceritakan kepada saya tentang kebaikan  Encik Lim sekeluarga”.“ Sama-sama Puan. Lagipun saya dah anggap mereka macam anak saya sendiri. Isteri saya minta maaf kerana tak dapat ikut sekali. Dia sedang mengemas barang-barang bersama Mei Fen. Lusa kami sekeluarga akan pindah. Harap dapat jumpa lagi dengan Puan Insyirah sekeluarga”, jawab Encik Lim. Sebelum pulang, anak-anak remaja itu bersalaman dengan Encik Lim. Mereka mengucapkan terima kasih dan memeluk Encik Lim kerana melayan mereka dengan baik selama ini. Puan Insyirah bersyukur kerana ada insan sebaik Encik Lim walaupun mereka bukan sahaja berlainan agama, bahkan berlainan adat resam dan budaya. Dalam perjalanan pulang, dia menasihati mereka berdua supaya sentiasa berbuat baik sesama manusia meskipun berlainan agama. Katanya, “Allah SWT  bersabda dalam Surah al-Hujaraat ayat 13: Wahai manusia! Sesungguhnya telah Kami jadikan kamu sekalian daripada seorang lelaki dan seorang wanita, dan Kami jadikan kamu bergolongan dan berbangsa-bangsa, supaya kamu saling kenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang bertakwa, paling mulia di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Menyelidiki”. Kedua-duanya tersenyum, sambil menikmati keindahan Bandaraya Kuala Lumpur pada waktu malam, di samping memuji keindahan alam ciptaan Allah SWT itu.
Usaha Tangga Kejayaan
Hari ini merupakan hari yang sangat bermakna buat Puan Insyirah dan Puan Zahra, kerana kedua-duanya akan menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki mereka. Elman Hakeem dan Aiman Fattah kini sudah berumur 26 tahun dan masing-masing berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Sarjana Pengajian Akidah dan Agama serta Sarjana Dakwah dan Pengurusan Islam. Dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah, dan akhirnya ke universiti yang sama, mereka sentiasa gigih berusaha dan bersaing secara sihat untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan Puan Insyirah dan Puan Zahra ketika ini. Namun, kedua-duanya sedikit terkilan. Kalaulah mereka dapat meraikannya sebagai sebuah keluarga yang lengkap, pasti suasananya lebih meriah. Mereka pasti, anak-anak mereka juga berharap sedemikian. Walaubagaimanapun, mereka tetap tabah dan menerima qada’ dan qadar Allah SWT dengan redha. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Usai sahaja sembahyang Maghrib berjemaah, berimamkan Elman Hakeem, kedua-dua anak itu memeluk ibu masing-masing. Hari ini, mereka tersenyum puas kerana dapat melihat keriangan di wajah ibu masing-masing. Mereka bukan sahaja berjaya menamatkan pelajaran bersama-sama tetapi kedua-duanya juga telah berjaya mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan dalam jurusan yang diambil. Bagi kedua-dua anak muda ini, inilah salah satu cara mereka membalas jasa ibu mereka, yang membesarkan mereka dengan penuh perhatian. Puan Insyirah dan Puan Zahra menitipkan pesan buat anak mereka sesudah mereka tiada kelak. Kata mereka, Rasulullah SAW telah mengingatkan, terdapat tujuh perkara yang harus dilakukan oleh anak-anak, bagi memastikan agar pahala akan terus berpanjangan sampai kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Pertama ialah, hendaklah mereka sendiri yang menjadi imam untuk solat jenazah Umi dan Ibu mereka nanti. Pesanan kedua ialah, sentiasa mendoakan ibu bapa masing-masing. Seterusnya ialah, sentiasa menyambung silaturrahim dengan kawan-kawan ibu bapa ketika hayatnya. Dalam pada itu, sekiranya semasa hayat ibu bapa pernah bernazar puasa, dan anak-anak tahu mereka tak sempat menunaikannya, maka anak-anak wajib menggantikan puasanya. Selain itu, gantikan haji bagi ibu bapa yang tak sempat tunaikan ibadah haji, serta upah haji untuk ibu bapa yang tak berpeluang menunaikan haji semasa hayatnya. Pesanan keenam mereka buat kedua-dua anak muda itu ialah buat amal soleh dan kebajikan serta niatkan untuk ibu bapa masing-masing, kerana pahala tersebut akan sampai kepada mereka secara langsung, yakni sepantas cahaya. Yang terakhir sekali ialah, menunaikan janji ibu bapa semasa hayat mereka, yang anak-anak ketahui mereka tak sempat menunaikannya. Kedua-dua mereka mengangguk, lalu mengenggam erat dan mencium tangan ibu masing-masing sambil berjanji akan melaksanakan pesanan ibu mereka kelak.
Pertemuan tidak Diduga
“Encik, terima kasih sebab selamatkan saya. Nyaris-nyaris saya dilanggar kereta tadi”, tutur gadis itu dengan sopan. Aiman Fattah mengangguk seraya tersenyum. Manis sungguh gadis di hadapannya itu . “Kenalkan, saya Mei Fen”.  “Mei Fen ? Anak Uncle Lim ? “Ya saya, bagaimana awak kenal bapa saya? “Saya Aiman Fattah, awak ingat lagi tak ? Dahi Mei Fen berkerut, cuba mengingati sesuatu. Wajah ini seperti pernah dilihatnya dahulu. “Ya, saya sudah ingat, awak ini Aiman Fattah. Kita berkawan semasa berumur 14 tahun dahulu. Oh ya, Elman pula  di mana sekarang ?”, tanya Mei Fen. “Elman ada di rumah, lain kali saya bawa kamu jumpa Elman ya”, jawab Aiman Fattah dengan gembira. Sebenarnya, ada suatu hal penting yang ingin ditanya Aiman Fattah kepada gadis itu. Tetapi dipendamkan dahulu, kerana mereka baharu saja berjumpa setelah lama terpisah. Dia pasti akan bertanya soalan tersebut di lain waktu. Sebelum beredar, mereka saling bertukar-tukar nombor telefon.
Setelah lama berhubung melalui panggilan telefon, barulah Aiman Fattah mengetahui rupa-rupanya Mei Fen beragama Islam. Malah, dia lebih selesa jika dipanggil Nurul sahaja. Patutlah hari itu dia berbaju kurung dan memakai tudung.  Terjawab sudah segala persoalan yang bermain di mindanya selama ini. Dia tersenyum sendiri. Sesungguhnya, dia tidak mahu berlengah lagi. ‘Akan ku bawa Nurul berjumpa keluargaku suatu hari nanti’, getus hatinya.
Janji Allah SWT Itu Pasti
Puan Insyirah memeluk gadis itu dengan eratnya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Doanya akhirnya dimakbulkan Allah SWT. Anak perempuannya sudah berada di depan matanya kini. Tidak putus-putus dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Aiman Fattah sendiri sungguh terkejut. Sungguh dia tidak menyangka, Nurul ialah Nurul Iman, adik kembar Elman Hakeem. Elman Hakem sangat gembira. Dia berterusan mengucapkan terima kasih kepada Aiman Fattah. Kerana sahabatnya itu, dia dapat berjumpa kembali dengan adik kesayangannya itu. Rupa-rupanya Mei Fen dan Nurul Iman adalah orang yang sama. Baru mereka sedar kenapa raut wajah Mei Fen dulu agak berbeza dengan kanak-kanak Cina yang lain. “Umi janganlah sedih lagi, Adik ada dengan Umi sekarang. Nanti Adik bawa Umi, Ibu, Abang Elman dan Aiman jumpa Papa dan Mama ya. Mereka baik sangat-sangat Umi”, tutur Nurul Iman dengan lembut. Puan Insyirah mengangguk sambil tersenyum. Puan Zahra yang sedari tadi memerhatikan mereka juga tersenyum gembira. Peristiwa kehilangan Nurul Iman, 22 tahun yang lalu kembali bermain di minda mereka.
Di mana Iman ?
“Umi, Adik... Adik pergi cari Si Mun kat taman... Adik tak balik lagi... Abang dah cari Adik, tapi tak jumpa. Adik hilang Umi...”, beritahu Elman Hakeem dalam tangisan. Puan Insyirah yang leka membungkus nasi lemaknya pada pagi itu sungguh terkejut. Lantas dia meninggalkan kerjanya, dan berlari ke luar rumah sambil memanggil Nurul Iman. Dia tidak sanggup kehilangan Nurul Iman, anak bongsu kesayangannya. Elman Hakeem yang masih menangis teresak-esak hanya mengekori langkah Uminya dengan lemah. Dia menangis kerana takut dimarahi akibat leka bermain dan membiarkan adiknya pergi ke taman sendiri.
            Dengan bantuan penduduk kawasan perumahan itu, mereka berusaha mencari Nurul Iman, tetapi hingga ke lewat petang, masih belum menunjukkan tanda-tanda anaknya akan ditemui. Sukar untuk mereka menjumpainya kerana kawasan perumahan itu sangat luas, hari pula sudah mulai lewat malam. Kepalanya mula terasa pening, pandangannya mula kabur.
            Dia cuba membuka matanya. Kepalanya masih lagi berdenyut. “Kak, saya kat mana ? Anak saya mana kak ? Iman mana kak ?”, soalnya sebaik sahaja dia membuka mata. “Kamu di hospital. Berehatlah dulu. Mak Cik Limah telefon akak dan ceritakan semuanya tadi. Akak dah laporkan kepada pihak polis. Biar mereka uruskan semuanya. Banyak-banyakkan berdoa supaya Iman cepat dijumpai”, tutur Puan Zahra dengan lembut. Dia hanya mampu mengangguk lemah, tidak terdaya untuk berkata-kata. Dia melemparkan pandangannya ke sudut bilik itu, dilihatnya Elman Hakeem masih menangis teresak-esak. Kasihan anak kecil itu. Terbit rasa bersalah dihatinya. Walaubagaimanapun, Elman Hakeem tetap anaknya. Tidak wajar dia memarahi anaknya itu tadi. Malam itu, Puan Zahra tidur di sisi katil menemaninya. Elman Hakeem pula tidur di sofa bersama Aiman Fattah. Dia cuba melelapkan mata tetapi tidak terdaya. Ibu mana yang tidak risau bila anaknya hilang ? Ibu mana yang tidak gelisah bila tidurnya sunyi tanpa pelukan seorang anak ? Air matanya gugur lagi. Lebih laju daripada siang tadi. Bagaimana jika berlaku sesuatu yang tidak elok kepada Nurul Iman ? Fikiran negatif itu mula menguasai benak fikirannya. Cepat-cepat dia beristighfar. Semoga ada harapan agar anaknya dijumpai dengan segera yang mungkin. Dia tidak akan berhenti berdoa. Dia tahu doa adalah senjata yang kuat. Hanya doa yang mampu mengubah takdir.
Bahagia Membawa Sinar
Nurul Iman membawa ibu bapa angkatnya berjumpa ibu dan abang kandungnya. Puan Zahra dan Aiman Fattah turut berkumpul bersama mereka. “Saya minta maaf Puan Insyirah, saya cuba mencari rumah puan waktu itu. Tapi Nurul belum mengerti apa-apa. Dia tidak ingat jalan ke rumahnya. Kebetulan hari sudah lewat malam. Kami tidak sampai hati melihat dia menangis keseorangan. Sebab itu lah kami bawa dia balik ke rumah kami. Kami cuba mencari Puan sekeluarga selama ini, tetapi tidak berhasil memandangkan kami sering berpindah-randah”, tutur Encik Lim dengan rasa bersalah. Walaupun sangat sedih kerana berpisah bertahun-tahun lamanya, Puan Insyirah tetap berterima kasih kepada mereka. Mujurlah anaknya ditemui oleh keluarga yang baik seperti mereka. Lebih mengharukan lagi, Encik Lim mengambil pembantu rumah berbangsa Melayu dan beragama Islam semata-mata kerana Nurul Iman. Dia dan isterinya, Puan Susan mahu Nurul Iman membesar dengan agama asalnya. Malah, Nurul Iman tidak sesekali dihalang mengamalkan cara hidup Islam. Hasil didikan mereka, Nurul Iman kini bergelar seorang doktor. “Kita lupakan sahaja kisah lama. Apa yang paling penting, Nurul Iman kini bersama kita semua. Marilah kita mulakan hidup baru sebagai sebuah keluarga yang besar”, ujar Puan Insyirah lagi. “Betul tu Umi, marilah kita mulakan hidup baru, sebagai sebuah keluarga yang besar”, tambah Elman Hakeem sambil menepuk bahu Aiman Fattah di sebelahnya. Ketawa mereka berderai apabila melihatkan gelagat Aiman Fattah dan Nurul Iman yang tidak senang duduk diusik begitu.
                                           Hidayah Milik Allah                                
            Hari ini, keluarga besar itu keluar daripada pejabat agama dengan hati yang lapang. Terpancar senyuman riang di wajah masing-masing. Nurul Iman ternyata sangat gembira saat ini. Encik Lim atau nama Islamnya, Rafiqi Hamlan dan Puan Susan atau Siti Raudhah, kini sudah rasminya memeluk agama Islam. “Sebenarnya, sudah lama terdetik di hati kami untuk mengenali Islam dengan lebih dekat, tetapi ada sahaja halangan. Kawan-kawan kami yang beragama Islam juga ramai yang mengajak kami mendalami agama Islam. Tetapi, pada waktu itu, kami belum bersedia dan faham mengenai Islam. Tambahan pula, kebanyakan mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam, dan menunjukkan keperibadian Islam yang sebenar, membuatkan kami agak ragu-ragu”, tutur Encik Rafiqi Hamlan dengan sebak. Tambah Puan Siti Raudhah pula, “mujurlah Allah SWT mempertemukan kami dengan Nurul Iman, permata yang tidak ternilai. Kerananya kami tahu dan mengerti tentang agama Islam. Malahan, ketulusan dan keikhlasan hati kamu sekeluarga membuatkan pintu hati kami terbuka untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. “Alhamdulilah. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah SWT. Hidayah bukan milik kita, juga bukan milik sesiapa, bahkan bukan milik Rasulullah SAW. Lagipun, hidayah itu sendiri bermaksud cahaya petunjuk daripada Allah SWT, kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, untuk menuju jalan yang benar dan diredhai-Nya. Malahan, kami sekeluarga sebenarnya sangat bersyukur kerana menjadi sebab-musabab untuk Encik Rafiqi dan Puan Siti menerima hidayah”, tutur Puan Insyirah dengan lembut. “Betul tu. Lagipun, fitrah  manusia  yang ingin kepada perkara yang baik dan benar, sebenarnya  sangat bertepatan dengan konsep hidayah yang diberikan oleh-Nya. Bukankah Papa dan Mama sangat baik dengan Iman dan kami sekeluarga selama ini? ”, Nurul Iman yang sedari tadi tersenyum bersuara menyokong kata-kata Uminya itu. Akhirnya, doanya supaya Allah SWT membuka pintu hati kedua ibu bapa angkatnya agar memeluk Islam makbul jua. “Betul tu, saya setuju dengan Insyirah dan Iman. Lagipun, nak berdakwah tak semestinya kena jadi ustaz dan ustazah. Sebenarnya, menunjukkan keperibadian yang terpuji juga merupakan salah satu daripada usaha dakwah yang dianjurkan oleh Islam”, kata Puan Zahra pula. Encik Rafiqi Hamlan dan Puan Siti Raudhah mengangguk seraya tersenyum. Mereka bersyukur kerana telah menemui jalan kebenaran dan dipertemukan dengan keluarga ini, kerana ada saja nasihat berguna buat mereka. Hati mereka berdua kini terasa sangat lapang dan tenang. Tidak pernah mereka merasakan perasaan sedamai sebegini sebelum ini.

Lembaran Baru
Usai sahaja menunaikan solat Isyak berjemaah, mereka semua berkumpul di ruang dewan Maahad Tahfiz Sains al-Taqwa yang dibina hasil perkongsian Encik Rafiqi Hamlan, Puan Siti Raudhah, Puan Insyirah, Puan Zahra dan anak-anak mereka. Mereka berharap dengan tertubuhnya pusat ilmu ini, akan lahirnya ilmuwan Islam yang profesional dalam pelbagai cabang ilmu duniawi dan ukhrawi. Bersebelahan Maahad Tahfiz Sains al-Taqwa pula, didirikan Madrasah An-Nur, khusus untuk golongan mualaf belajar berkenaan akidah, ibadah, akhlak dan semua perkara berkaitan agama Islam, selain memberi kefahaman yang jelas mengenai Islam kepada golongan  bukan Islam, yang berminat mendalami agama Islam. Puan Insyirah pula, semakin aktif menulis buku ilmiah secara sepenuh masa, semata-mata ingin memperkembangkan lagi usaha dakwahnya melalui penulisan pena, kerana dakwah boleh disampaikan dalam apa cara sekalipun. Mereka berazam akan berterusan berdakwah dengan baik supaya orang lain dapat berfikir tentang kebenaran Islam. Lebih-lebih lagi, Islam mewajibkan umatnya berdakwah mengikut kemampuan masing-masing, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, “Sampaikan dariku walaupun satu ayat”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Majlis perkahwinan Aiman Fattah dengan Nurul Iman pula telah diadakan serentak dengan majlis perkahwinan Elman Hakeem dan Damia Qistina, kawan sekuliahnya di kolej dahulu. “Alhamdulilah, akhirnya selesai sudah majlis mereka. Benda yang baik, elok dipercepatkan”, ujar Puan Insyirah sambil tersenyum dan memandang wajah pengantin tersebut satu-persatu dengan penuh kasih sayang seorang insan bergelar ibu. “Benar itu, lagipun Allah SWT sudah menjelaskan dalam Surah Ar-Rum, Ayat 21, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”, ujar Encik Rafiqi Hamlan, yang sudah banyak belajar tentang agama Islam setelah memeluk Islam dua tahun yang lalu, sambil memandang kedua-dua pasangan pengantin itu.
Hari ini, Puan Insyirah, Puan Zahra, Elman Hakeem, Nurul Iman, Aiman Fattah, Damia Qistina, Encik Rafiqi Hamlan dan Puan Siti Raudhah selamat tiba di lapangan terbang setelah dua minggu pergi menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah. Masing-masing bersyukur kerana dapat menunaikan ibadat dengan sempurna di tempat yang menjadi impian seluruh umat Islam di dunia itu. Mereka berharap dapat ke sana bersama lagi. Sesungguhnya, Kaabah adalah tempat yang paling indah dibandingkan tempat-tempat lain di seantero dunia.

Mereka sekeluarga berkumpul di rumah Puan Insyirah untuk makan malam.  Masing-masing menadah tangan kesyukuran setelah diberitahu bahawa Nurul Iman dan Damia Qistina disahkan sudah hamil. Akhirnya doa Elman Hakeem dan Aiman Fattah di Tanah Suci termakbul. “Nampaknya ada harapanlah untuk kami mendapat dua pasang cucu kembar”, usik Encik Rafiqi Hamlan menyebabkan mereka semua ketawa, memecah kesunyian malam itu. Sesungguhnya, takdir telah memisahkan Nurul Iman daripada keluarga kandungnya tetapi takdir jugalah yang mempertemukan mereka, sebagai sebuah keluarga besar yang dilimpahi kebahagiaan dalam nikmat Islam yang sesungguhnya. Bagi Puan Insyirah, inilah hadiah cinta daripada Pencipta yang sememangnya amat bermakna buat mereka sekeluarga. TAMAT.

No comments:

Post a Comment