Monday 24 November 2014

Kebersihan dan Keindahan : Satu Penyelesaian ke Arah Kota Bharu Bandar Raya Bersih dan Sejahtera


Kita semua sedia maklum bahawa Kelantan merupakan sebuah negeri yang terkenal di seluruh Malaysia kerana keindahan budayanya disamping masyarakatnya yang ramah dan mesra tidak kira latar belakang agama dan bangsa. Pasti tidak lengkap kunjungan masyarakat luar mahupun pelancong asing ke Kelantan sekiranya tidak berkunjung ke ibu negeri Kelantan iaitu Bandar Raya Kota Bharu yang menjadi nadi rakyat Kelantan atau negeri yang dikenali juga sebagai ‘Serambi Mekah’ ini dalam pelbagai aspek kehidupan. Oleh itu,kita sebagai rakyat Kelantan yang cintakan negeri kelahiran kita,sudah pastinya mahu negeri ini mendapat respons yang positif,khususnya daripada pelancong yang mengunjungi negeri kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini. Lebih-lebih lagi,Bandar Raya Kota Bharu mendapat jolokan Bandar Raya Islam di Malaysia.Tentunya kebersihan merupakan elemen utama yang perlu diberi perhatian dalam agama Islam kerana ‘kebersihan sebahagian daripada iman’. Maka,aspek kebersihan amatlah perlu dititikberatkan terutamanya di Bandar Raya Kota Bharu yang acapkali menjadi tumpuan pelancong. Kita tidak mahu imej negeri ini tercalar keseluruhannya berpunca daripada komen-komen negatif akan tahap kebersihan ibu negerinya. Sebagaimana yang kita ketahui,kebersihan dan keindahan merupakan kunci utama untuk mewujudkan sebuah bandar raya yang bersih dan sejahtera. Kebersihan dan keindahanlah yang mendorong kearah kemajuan sesebuah bandar raya itu. Persoalannya,apakah usaha yang boleh dipraktikkan untuk membersihkan dan mengindahkan Bandar Raya Kota Bharu seterusnya menjadikan Bandar Raya Kota Bharu sebuah bandar raya yang bersih dan sejahtera dan apa pula kesannya dalam pelbagai aspek?
            Langkah yang utama iaitu langkah yang paling perlu dilaksanakan sebaik mungkin adalah dengan menyeragamkan dan menggiatkan lagi aktiviti pemungutan sampah di sekitar Bandar Raya Kota Bharu. Seringkali kita mendengar rungutan sesetengah orang yang tidak berpuashati akan tahap kebersihan sesuatu tempat itu berpunca daripada masalah tempat pembuangan sampah yang tidak diselia sebaik mungkin. Rentetan ini,jadual yang lebih teratur perlulah disediakan. Aktiviti pemungutan sampah haruslah dilakukan secara berkala sekurang-sekurangnya tiga kali sehari. Langkah ini amat penting kerana masyarakat bandar raya ini menjalankan banyak aktiviti terutamanya aktiviti perniagaan yang menjadi lubuk rezeki mereka. Sudah semestinya setiap hari banyak sampah yang akan dibuang ke tempat pembuangan sampah termasuk plastik-plastik pembungkus makanan,sisa-sisa makanan,botol-botol kosong,kotak kosong,suratkhabar lama dan sebagainya yang dikhuatiri menyebabkan bau busuk jika tidak diselia sebaik mungkin. Jika setiap hari setiap orang membuang sedikit sampah,lama-lama kelamaan sampah tersebut akan bertimbun. Kita tidak mahu mendengar rungutan daripada peniaga dan pengunjung yang mengadu terpaksa menahan bau busuk berpunca dari tempat pembuangan sampah. Terdapat juga yang mengadu jijik melihat banyak lalat berkeliaran di sekitar tempat pembuangan sampah. Malahan ada juga peniaga yang mengadu masalah bau busuk ini menjejaskan periuk nasi mereka kerana pengunjung tidak mahu berkunjung ke gerai mereka berikutan rasa tidak selesa akan bau busuk berpunca dari tempat pembuangan sampah. Dengan wujudnya jadual pemungutan sampah yang berkala dan teratur,masalah seperti ini tidak akan timbul di ibu negeri kesayangan kita ini. Oleh itu,peniaga dan pengunjung akan merasa lebih selesa untuk menjalankan urusan jual beli. Secara tidak langsung kemajuan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan,seterusnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan khususnya dan negara Malaysia amnya.Kesimpulannya,pemungutan sampah secara berkala dan teratur wajar dilaksanakan.
    
            Langkah seterusnya ialah dengan mengadakan gotong-royong besar-besaran dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak. Pihak yang bertanggungjawab perlulah memainkan peranan dengan menganjurkan program sebegini secara menyeluruh. Aktiviti ini penting kerana semangat kerjasama membuahkan hasil yang terbaik. Sesuai dengan pepatah‘yang berat sama dipikul,yang ringan sama dijinjing’,program ini perlu melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak demi memastikan aktiviti gotong-royong dapat dijalankan secara menyeluruh di segenap bandar. Pihak berwajib boleh menjemput guru-guru,pelajar,pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekitar untuk sama-sama menyumbang tenaga bagi menjayakan aktiviti ini. Dalam aktiviti sebeginilah pemimpin boleh turun padang dan bersama-sama rakyat berganding bahu menjalankan aktiviti bersama-sama tanpa mengira kedudukan dan pangkat demi satu matlamat iaitu membersihkan dan mengindahkan kawasan tempat tinggal mereka. Bukan itu sahaja,pemimpin juga turut dapat beramah-mesra dengan rakyat. Malahan,rakyat juga boleh mengajukan segala permasalahan mereka kepada pemimpin untuk dibawa ke pihak atasan dan seterusnya mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka juga boleh melontarkan pandangan masing-masing untuk mengindahkan dan menceriakan lagi kawasan mereka. Mereka bolehlah membahagikan tugas mengikut kehendak dan persetujuan mereka  Program ini tentunya akan dapat melatih masyarakat agar lebih sepakat dalam membuat keputusan kerana ‘bulat air kerana pembetung,bulat kata kerana muafakat’. Antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam aktiviti gotong-royong ini ialah membersihkan kawasan perniagaan,mencuci dan membersihkan longkang yang tersumbat,menanam pokok bunga hiasan,membersihkan kawasan tumpuan orang ramai,mengecat dinding bangunan yang usang,menyelesaikan masalah air bertakung dan membaiki bangunan yang rosak. Melalui aktiviti sebegini,bukan sahaja dapat mewujudkan bandar yang bersih dan indah,bahkan dapat mewujudkan masyarakat yang utuh perpaduannya. Ironinya,program gotong-royong perdana patut dijalankan untuk merealisaikan impian kita untuk menjadikan Bandar Raya Kota Bharu bandar raya bersih dan sejahtera.
            Program menghijaukan bandar juga patut dilaksanakan. Melalui program sebegini,pihak bertanggungjawab khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu,Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bolehlah mengambil inisiatif dengan menyediakan pokok hiasan untuk ditanam sekitar Bandar Raya Kota Bharu. Anak-anak pokok hiasan bolehlah ditanam dalam pasu dan diletakkan di tempat yang sesuai seperti laluan pejalan kaki,kawasan kaki lima,kawasan surau dan masjid,pinggir jalan dan di luar premis perniagaan untuk mengindahkan lagi kawasan tersebut. Pihak perbandaran juga boleh menyediakan pokok hiasan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar untuk mengindahkan kawasan mereka. Selain itu,peniaga dan penduduk bandar  raya ini juga disarankan menanam tanaman hijau yang tidak terhad kepada tanaman hiasan sahaja bahkan juga pokok-pokok buahan dan ulam-ulaman di kawasan rumah dan di luar premis perniagaan mereka.Tanaman hijau ini bukan sahaja dapat mewujudkan persekitaran yang ceria,malahan menjadikan kawasan bandar lebih nyaman dan selesa untuk didiami kerana menyeimbangkan peratusan kadar gas oksigen dan karbon dioksida di udara. Keseimbangan ekosistem juga dapat dikekalkan kerana adanya tanaman hijau. Tidak mustahil juga Bandar Raya Kota Bharu akan menjadi sebuah bandar raya dalam taman yang menarik dan indah jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan proaktif. Melalui pelaksanaan program tanaman hijau ini,tidak dapat disangkal lagi dapat mewujudkan bandar raya indah dan sejahtera yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan.
            Bukan itu sahaja,aktiviti membaik pulih dan mengecat kembali bangunan yang sudah usang dan luntur catnya wajar dilaksanakan.Pembelian bahan-bahan seperti cat,batu-bata,simen,kayu-kayan tentunya memerlukan kos yang agak besar. Tidak salah sekiranya pihak berwajib memperuntukkan sejumlah wang untuk menjayakan program ini untuk membeli bahan-bahan dan peralatan yang diperlukan. Kata orang,’alah membeli menang memakai’. Bangunan yang telah luntur catnya perlulah dicat kembali mnggunakan warna yang lebih ceria dan menarik supaya dapat memikat hati serta menggamit lebih ramai pelancong untuk terus berkunjung ke bandar ini pada masa akan datang. Bangunan yang sudah usang dan struktur bangunannya yang dikhuatiri tidak selamat perlulah dibaik-pulih dalam kadar yang segera. Kerja ini perlulah dilakukan secara konsisten dan juga memerlukan komitmen yang semaksimanya daripada pihak yang bertanggungjawab. Bukan itu sahaja,penduduk kawasan ini juga bolehlah menyumbangkan kudrat mereka dengan membanting tulang empat kerat untuk bersama-sama memastikan pelaksanaan program ini berjaya mencapai matlamatnya. Tidak ada ruginya,kerana mereka juga akan turut sama menuai dan menikmati hasilnya bukan sahaja untuk mereka tetapi juga untuk generasi selepas mereka. Situasi ini sesuailah dengan peribahasa ‘hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah’. Hal ini sangat penting bukan sahaja untuk memastikan bandar raya kita indah tetapi juga memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa bandar raya kita selamat untuk didiami,dilawati dan dikunjungi. Matlamat untuk menjadikan ‘Bandar Kota Bharu Bandar Raya Indah dan Sejahtera’ akan tercapai sekiranya program membaik pulih dan mengecat kembali bangunan yang sudah usang dan luntur catnya dilaksanakan secara total.
            Selain itu,keindahan sesebuah bandar raya juga tidak terletak kepada penilaian fizikal semata-mata. Keramahan dan nilai budi bahasa yang tinggi juga mencerminkan kesejahteraan sesebuah bandar itu. Bukankah ’orang berbudi kita berbahasa’?. Situasi ini sesuailah dengan ungkapan ‘budi bahasa budaya kita’. Masyarakat yang berhemah tinggi serta mempunyai nilai moral yang tinggi menunjukkan betapa sejahteranya sesebuah kawasan tersebut. Dalam hal ini,tanggungjawab ini tidak terletak pada bahu individu tertentu sahaja,tetapi merangkumi semua masyarakat Bandar Raya Kota Bharu. Keramahan dan kemesraan rakyat Kelantan sesama mereka dan dengan orang luar memang tidak dapat dinafikan lagi. Lihat sahaja jika adanya majlis keramaian seperti  perkahwinan,karnival,perlawanan bola sepak,majlis ilmu dan solat berjemaah,masing-masing tidak kekok untuk saling bekerjasama dan berkomunikasi antara mereka. Inilah bukti betapa mesranya masyarakat kita dan situasi ini jugalah yang menjurus ke arah kesejahteraan Bandar Raya Kota Bharu kebanggaan kita ini. Paling tidak pun,sekadar memberi senyuman pun sudah memadai kerana senyuman juga melambangkan betapa mesranya seseorang itu dan bukankah senyuman itu juga merupakan suatu sedekah? Kita sudah tentu mahu nilai murni ini terus menjadi amalan masyarakat bandar raya ini. Dalam situasi ini,juga menjadi tanggungjawab pihak terbabit untuk terus memastikan amalan ini berterusan. Langkah yang boleh dilakukan ialah melalui kempen. Pihak terbabit bolehlah mengadakan kempen ‘budi bahasa’ secara menyeluruh. Dengan adanya kempen seperti ini,masyarakat akan sentiasa mengamalkan sikap ramah dan berbudi bahasa seterusnya memastikan bandar raya ini lebih sejahtera. Langkah ini juga dapat memastikan orang luar merasa amat selesa untuk berkunjung ke bandar raya ini kerana masyarakatnya yang ramah dan mesra. Kesimpulannya,nilai positif yang ditunjukkan oleh masyarakat kawasan ini juga menyumbang kepada kesejahteraan bandar raya ini. Maka,langkah mengadakan kempen adalah sangat bertepatan.
            Kesimpulannya,tidak dapat disangkal dan dinafikan lagi,kebersihan dan keindahan merupakan penyelesaian ke arah ‘Kota Bharu Bandar Raya Bersih dan Sejahtera’. Langkah-langkah seperti menyeragamkan dan menggiatkan lagi aktiviti pemungutan sampah, mengadakan gotong-royong besar-besaran,program menghijaukan bandar,aktiviti membaik pulih dan mengecat kembali bangunan yang sudah usang dan luntur catnya dan kempen ‘budi bahasa’ demi mencapai matlamat ini perlulah dilaksanakan semaksima mungkin. Oleh itu,semua pihak tanpa mengenal kedudukan,pangkat mahupun darjat perlulah mula mengorak langkah disamping mengikis sikap pentingkan diri seperti ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’,sebaliknya perlu bekerjasama ‘bagai aur dengan tebing’ selain terus memainkan peranan proaktif demi memastikan matlamat ini dapat direalisasikan. Kebersihan dan kesejahteraan Bandar Raya Kota Bharu pasti dapat dikekalkan sekiranya usaha yang bersungguh-sunguh dan tidak mengenal erti penat jemu diteruskan. Kata orang,’alang-alang menyeluk pekasam,biarlah sampai ke pangkal lengan’,bukannya melakukan sesuatu ‘seperti melepaskan batuk di tangga’. Kita juga sebagai rakyat Kelantan sudah tentunya mahu negeri kelahiran kita ini terus sukses dan maju serta dikenali bukan sahaja di serata Malaysia bahkan juga di seantero dunia. Oleh itu,marilah kita sebagai rakyat Kelantan yang berjiwa patriotik bersama-sama berganding bahu dan berkerjasama merealisasikan impian ini.Semoga Bandar Raya Kota Bharu terus menjadi kebanggaan rakyat Kelantan dan dapat menggamit lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negeri ini. Diharapkan juga taraf ekonomi rakyat Kelantan terus berkembang positif selain terus maju dalam pelbagai aspek selari dengan bandar rayanya yang bersih dan sejahtera.       

(1669 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment