Monday 24 November 2014

Perpaduan Kaum di Malaysia – Spektrum Analisis Pelbagai Perspektif



PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA –  SPEKTRUM ANALISIS PELBAGAI PERSPEKTIF
MUKADIMAH
‘Sudah terang lagi bersuluh’, Malaysia merupakan sebuah Negara yang unik kerana kepelbagaian bangsa dan agamanya dengan Kaum Melayu sebagai etnik terbesar. Manakala, jika dilihat dari sudut perlembagaan, orang Melayu ditakrifkan  mereka yang berbudaya Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu dan beragama Islam. Kaum asal Malaysia pula diistilahkan sebagai bumiputera. Berdasarkan statistik terkini  Jabatan Perangkaan Malaysia,  jumlah penduduk Malaysia pada 2013 adalah 28.3 juta, merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara.
 Daripada jumlah tersebut, majoriti 67.4 peratus ialah kaum bumiputera (56.4 peratus Bumiputera Melayu , 11 peratus Bumiputera Lain (Orang AsliSiamSeraniBaba Peranakan, Nyonya Peranakan, Bumiputera SabahBumiputera Sarawak), diikuti kaum Cina (Foochow, HainanHenghuaHokkienKantonisHakka, Teochew) sebanyak 24.6 peratus  dan kaum India (Tamil,  MalayaliSikh, Telugu) sebanyak 7.3 peratus. Selebihnya pula ialah kaum-kaum lain (orang yang berketurunan Bangsa Asia Lain, Bangsa Dunia yang lain yang diberi taraf warganegara mengikut syarat-syarat tertentu) yang mewakili 0.7 peratus.
            Daripada perspektif agama pula, Islam merupakan agama majoriti dianuti di Malaysia iaitu sebanyak 61.3%. Selebihnya adalah Buddha (19.8%), Kristian (9.2%), Hindu (6.3%) dan Lain-lain agama (1.7%) merangkumi Agama rakyat Cina, agama Sikh, agama Yahudi, dan lain-lain.  
Ghalibnya, dalam Negara yang mempunyai kepelbagaian etnik ini, hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum merupakan kunci keteguhan kedaulatan dan pembangunan Negara . Bahkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed mangli menjelaskan, “agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing”. Namun, pada hakikatnya, perpaduan masih lagi belum berlaku sepenuhnya di negara ini. Cuba renungkan sejenak, mengapa setelah sekian lama merdeka, kita masih belum dapat melihat masyarakat kita mampu bertutur dalam ketiga-tiga bahasa utama negara yakni Bahasa Melayu, Mandarin, dan Tamil. Secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing persis kata Datuk Mohd.Ariff Sabri Abdul Aziz, “isu sensitif antara kaum dalam soal hak, warna kulit, kepercayaan agama dan budaya sering dipertikaikan”. Di kebanyakkan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama telah membawa peperangan yang berlarutan sekaligus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan. Kendatipun begitu, sebagai negara yang melaung-laungkan perpaduan kaum, adalah amat memalukan apabila masalah sebegini masih lagi melingkari masyarakat malahan cubaan membangkitkan perihal hak keistimewaan Melayu yang sememangnya boleh mencetuskan bara kemarahan dan seterusnya menyalakan api permusuhan di antara kaum-kaum di negara ini dilihat semakin membarah. Sentiasalah bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar’  kerana setiap kali berlakunya permasalahan ini, seluruh dunia akan melihat kepada kita. Persoalannya, susah benarkan mahu berpadu, atau sebenarnya isu perkauman hanya melingkari sebahagian daripada kita sahaja?

SALASILAH KEPELBAGAIAN KAUM
Sebelum padau perbincangan digali dengan lebih mendalam, mari kita segarkan akal fikiran kita dan kembali kembali ke era kolonial di mana bermulanya kepelbagian kaum di Negara ini. Mengikut fakta sejarah, penghijrahan imigran India dan China secara besar-besaran bermula pada awal abad ke-19 untuk memenuhi kuota pekerjaan ketika itu.
Majoriti imigran China terutamanya dari kampung-kampung wilayah selatan China seperti Kwang Tung,Kwangsi dan Fukien datang ke Tanah Melayu melalui sistem tiket kredit iaitu mereka dibawa ke pelabuhan oleh ketua (kheh-thau) yang dibayar sejumlah wang bagi setiap imigran (sin kheh) yang dibawa. Mereka diletakkan di bawah pengawasan nakhoda kapal atau agensi buruh yang biasanya telah menerima bayaran daripada bakal majikan imigran berkenaan. Kebiasaannya, mereka terikat dengan perjanjian secara lisan dan bertulis untuk bekerja bagi satu tempoh masa sehingga hutang tambang mereka dijelaskan selain  dibekalkan tiket yang menunjukkan pelabuhan yang akan mereka akan tuju serta keterangan sama ada mereka bebas atau berhutang. Mereka akan dibawa orang tengah atau pemborong buruh dengan bayaran tertentu kepada pihak majikan apabila mereka sampai di pelabuhan. Malahan, jawatan pegawai pelindung buruh dari China telah diwujudkan pada bulan Mac 1872 bertujuan mengawasi kemasukan buruh dan imigran dari China di samping undang-undang dan tindakan telah diluluskan bagi membaiki sistem pengambilan buruh.
Pada 30 Jun 1914, sistem tiket kredit ini telah digantikan dengan sistem pengambilan kakitangan ataupun pengambilan rumah kongsi oleh kerajaan British iaitu majikan yang memerlukan buruh akan menghantar pegawainya ke China bagi mendapatkan tenaga buruh. Segala tambang dan perbelanjaan buruh tersebut akan dibiayai oleh majikan. Pegawai yang dihantar bertanggungjawab untuk mengiringi buruh-buruh tersebut sehingga mereka sampai ke tempat majikannya. Manakala pengambilan buruh melalui sistem pengambilan rumah kongsi pula dilakukan oleh pegawai di China yang dilantik oleh sesebuah rumah kongsi. Pegawai tersebut akan membiayai segala perbelanjaan buruh-buruh tersebut sehingga mereka sampai di rumah kongsi di Tanah Melayu. Pembawa buruh ini akan dibayar oleh tuan punya rumah kongsi dengan kadar yang telah dipersetujui bagi setiap buruh yang dibawanya.
Pada awal abad ke-20, cara kedatangan imigran ini telah berubah terutamanya di Sarawak. Charles Brooke melalui syarikatnya di Singapura telah menaja kemasukan buruh China berketurunan Foochow secara berkumpulan ke Sarawak selepas adanya persetujuan dengan Wong Nai Siong, seorang ketua Foochow di Sibu. Lebih kurang 570 imigran Foochow telah dibawa masuk ke Sibu pada bulan Januari hingga Mac 1901 bagi mengusahakan tanah dan membangunkan sektor pertanian gambir dan lada hitam untuk menampung keperluan penduduk Sarawak yang makin meningkat.

Sementara itu, penghijrahan buruh dari India ke Tanah Melayu secara beramai-ramai pula adalah untuk mengatasi masalah kekurangan buruh di ladang-ladang getah. Melalui sistem buruh bebas atau merdeka, buruh adalah bebas untuk datang sendiri ke Tanah Melayu dan bebas untuk memilih tempat dan pekerjaan yang mereka kehendaki apabila tiba di Tanah Melayu tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Segala perbelanjaan ditanggung sendiri dan kedatangan mereka kebiasaanya diaturkan oleh individu atau kumpulan tertentu kerana kepentingan ekonomi.
 Sistem kontrak pula, sebagai balasan kepada majikan yang memainkan peranan iaitu membiayai tambang mereka ke Tanah Melayu, buruh-buruh tersebut akan berkerja denganya untuk jangka masa tertentu seperti satu atau tiga tahun. Namun, sistem ini dianggap sebagai satu bentuk perhambaan yang tidak ketara kerana sering berlakunya penindasan dan pemerasan terhadap buruh disebabkan mereka hanya dibayar dengan bayaran yang rendah iaitu sembilan hingga 13 sen sehari.  Ekoran itu, pada tahun 1907, sistem ini telah digantikan dengan sistem Kangani dengan berkuatkuasanya Undang-Undang Tabung Imigresen India.
Dalam pada itu, melalui sistem Kangani, pengusaha ladang akan menghantar seorang ketua ke India iaitu kangani (tandil) atau mandur yang diberi lesen dan diberi wang pendahuluan untuk membiayai perbelanjaan buruh sehingga mereka tiba di Tanah Melayu. Sistem ini telah menjadikan seseorang kangani itu seperti pengurus agensi yang membawa masuk pekerja asing . Namun, sistem ini diharamkan pada 1938 kerana wujudnya penyelewengan oleh kangani itu sendiri.

WUJUDNYA JURANG ANTARA KAUM
Mari kita lensakan skop pemikiran kita akan sejarah yang menyebabkan wujudnya jurang antara kaum. Sebenarnya, Negara kita dahulunya terikat dengan pendidikan yang dijalankan oleh penjajah British yang mementingkan pendidikan untuk kepentingan mereka sendiri dan tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Ironinya, tidak ada satu pun dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Apa yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi. Bahkan, sistem pendidikan hanya dijalankan di Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang, Singapura). Pada zaman itu, pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Melalui pendidikan vernakular, pendidikan untuk orang Melayu diberikan untuk diberi jawatan rendah kerajaan sama ada sebagai kerani atau guru. Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian. Pendidikan kaum Cina menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar, gurunya & buku teks didatangkan dari China .Pendidikan kaum India pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah. Kebanyakan sekolah Tamil ini terletak di kawasan ladang getah atau kopi. Manakala Sekolah Inggeris pula dianggap sistem persekolahan yang unggul pada zaman penjajahan British kerana terdedah dengan budaya pemikiran Barat. Kontradiksinya, sukatan pembelajaran yang tidak sama menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan kaum tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana jika perpaduan kaum berlaku, akan wujud kesedaran berpolitik antara kaum dan sekali gus menggugat penjajahan British di Tanah Melayu.

Bukan itu sahaja, British juga menjalankan dasar “divide and rule” iaitu dasar pecah dan perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi Negara yang ternyata memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat Melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampung-kampung, masyarakat Cina ditempatkan di lombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka, manakala masyarakat India pula ditempatkan di ladang-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhad dan menjadi bertambah renggang.            

BERMULANYA PERGESERAN KAUM
Rentetan itu, kebanyakan komuniti Melayu ketika itu secara gradual meninggalkan kawasan-kawasan estet dan lombong yang telah didiami kaum Cina dan India lalu meneruskan kehidupan mereka di kawasan kampung dan pedalaman dengan aktiviti yang lebih bersifat sara diri. Asbab ketidakpuasan hati di kalangan orang Melayu walaupun tidak lagi berkecimpung dengan ekonomi komersial ketika itu adalah kerana bangsa Melayu telah diomongkan sebagai ‘Tuan’ kepada Tanah Melayu, ditambah pula mereka dibenarkan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan pentadbiran dan politik. Di sinilah perintis fahaman ‘Ketuanan Melayu’ yang masih lagi menjadi sebutan dan punca perbalahan yang wujud  kini. Pada era pra-kemerdekaan, landskap negara telah mula berubah. Orang-orang Cina dan India tidak lagi hanya terlibat dengan aktiviti perlombongan dan pertanian tetapi telah pun mula terlibat dengan perniagaan, dan tidak keterlaluan untuk dikatakan, mereka ini, terutamanya kaum Cina memonopoli  ekonominya berbanding kaum Melayu sendiri. Hal ini berlaku kerana kerajinan kaum tersebut ditambah lagi dengan kecekapan kaum ini sendiri dalam selok belok perniagaan. Ketika inilah, sedikit pergeseran kaum mengakar disebabkan perasaan iri hati dan salah faham, namun, tidak ketara kerana ketika itu, masyarakat tempatan lebih menumpukan perhatian kepada isu penjajahan British, dasar kolonialisasi, dan perjuangan ke arah kemerdekaan.

Penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu pada 1941-1945 juga tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak Jepun mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan mengadu-dombakan orang Cina dengan orang Melayu menyebabkan timbulnya perasaan benci dan iri hati. Lantaran itu, orang Cina bertindak mengambil kesempatan untuk membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali pihak British. Ketika inilah berlakunya  keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik, membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam . Keadaan ini  menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM manakala orang Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948-1960.

HAKIKAT YANG HARUS DITELADANI
Mari kita luaskan sayap pemikiran pemikiran kita akan heterogen  peristiwa akibat rapuhnya perpaduan kaum. Pasti apabila bercakap mengenai peristiwa akibat sikap perkauman, tragedi 13 Mei yang menusuk kalbu bermain di benak fikiran. Pada era pasca-merdeka, setelah lama berbulan madu, Peristiwa 13 Mei 1969  tercetus ekoran isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 1969 yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Tragedi yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia yang berlaku sebagai kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka di mana mereka sengaja membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Parti Perikatan yang dianggotai United Malay National Organisation (UMNO), Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan India Congress (MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenangi dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969 menyebabkan  hilangnya majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat sementara Parti Gerakan, DAP dan PPP menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini juga terletaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.
Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Orang Melayu turut menganggap perbuatan penyokong DAP-GERAKAN itu sebenarnya bertujuan menghina kaum Melayu iaitu ingin menyampaikan mesej ‘menyingkir’ kaum Melayu. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Lebih mengecewakan lagi, Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun, perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.
Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maaf sudah terlambat.
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak meskipun perarakan ini tidak dirancang.
Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dari Dato' Harun Idris untuk mengamuk.
Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan dan DAP tersebar dan meluap-luap. Pada jam 3.00 petang, datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor.
Rusuhan besar terjadi sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak boleh keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Regimen Renjer mengambil alih. Malangnya pasukan ini yang terdiri dari Melayu, Iban, Cina, India dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan menyebabkan orang Melayu semakin meradang. Ketua Regimen Renjer dikatakan seorang Cina. Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk kerana merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Regimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor.
Akhirnya, Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu. Malangnya, beberapa askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana.
Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan dalam bahasa Cina disiarkan di skrin pawagam menyuruh penonton dalam kalangan Cina keluar dari panggung. Ramai penonton Melayu di panggung termasuklah dua askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang, meninggal.
Ada 4 kiai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat, iaitu ilmu kebal dengan harga yang agak mahal . Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Sebenarnya, mereka mengambil kesempatan daripada keadaan cemas tersebut. Apa yang pasti, Askar Melayu sahaja yang telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu.
Namun, rusuhan kaum tidak terjadi Kelantan, Terengganu dan Pahang. Manakala, di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit di Melaka. Sementara di Betong ada tembakan oleh PKM.
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah.
Pada 6.45 petang, Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman. Ekoran itu, darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969.
Pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan dua pertiga semula kepada kerajaan yang memerintah. Setelah itu, Barisan Nasional dibentuk. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  juga dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Manakala beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Selain itu, sistem demokrasi pilihan raya dan agihan kek ekonomi (hak-hak keistimewaan bumiputera) mendapat tafsiran semula.

Setelah hampir tiga dekad berakhirnya episod suram tersebut, tecetus pula Peristiwa Kampung Rawa 1998  yang merujuk kepada sengketa kecil antara kaum di Kampung Rawa. Puncanya dikatakan berpunca dari pembinaan kuil Hindu dan masjid sebelah-menyebelah di situ, kira-kira 20 meter sahaja . Sebenarnya, rasa tidak puas hati wujud sejak sekian lama kerana suasana bising mengganggu di antara satu sama lain yang menyukarkan mereka untuk bersembahyang. Loceng kuil dibunyikan setiap subuh dan waktu sembahyang. Penganut Hindu juga mendakwa masjid itu juga bising kerana bunyi azan lima kali sehari dan majlis ceramah agama.
Pada 27 Mac 1998, ketegangan memuncak selepas sembahyang Jumaat setelah ada yang saling membaling batu. Diberitakan kira-kira 1500-2000 orang Islam berkumpul untuk sembahyang Jumaat. Ada saksi yang menyatakan jumlahnya mencapai 5000 orang termasuk India Muslim dari Kedah, Kelantan dan Perak sedangkan Masjid Kampung Rawa itu hanya mampu menampung 200 orang sahaja. Kira-kira 200-300 penganut Hindu berkawal di kuil mereka. Namun,tidak ada sebarang pertumpahan darah , kecederaan atau kematian . Polis FRU telah melepaskan gas pemedih mata setelah 4 orang cedera. Beberapa hari kemudian, sebuah kuil di tengah-tengah bandar Georgetown telah dibaling dengan bom petrol oleh seorang penunggang motosikal. Mujurlah api tersebut berjaya dipadamkan oleh seorang petugas kuil bernama Krishnan. Lantaran itu, polis telah menahan 185 orang dan dibebaskan setelah disoal siasat manakala 25 orang lagi ditahan reman untuk siasatan lanjut. Ketua Polis Pulau Pinang ketika itu ialah Datuk Abdul Hamid Mustapha.
Selaku penduduk Pulau Pinang , Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah turun padang dan mendamaikan kedua-dua AJK masjid dan AJK kuil supaya berunding dan mencari jalan persefahaman. Berikutan itu, ketegangan berjaya dikendurkan kerana tidak menyangka Timbalan Perdana Menteri prihatin terhadap permasalahan mereka. Tan Sri Koh Tsu Koon selaku Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendamaikan kumpulan terbabit.

Tidak sampai 3 tahun, kita dikejutkan pula dengan Peristiwa Kampung Medan 2001  yang merujuk kepada beberapa peristiwa pergaduhan antara India-Melayu yang berlaku di beberapa kampung iaitu Kampung Medan, Kampung Gandhi, Kampung Lindungan , Kampung Datuk Harun, Taman Desa Ria dan sekitar Jalan Klang Lama dari 4 Mac hingga 8 Mac 2001. Sengketa ini merebak begitu cepat kerana kawasan ini merupakan kawasan setinggan berpuluh-puluh tahun tanpa pembelaan. Malahan, pergaduhan turut merebak ke Petaling Jaya, Jalan Gasing, Kelana Jaya, Sungai Way, Bandar Sunway dan Puchong.

Sebenarnya, pergaduhan antara dua kumpulan bermula di Kampung Medan ekoran persediaan majlis perkahwinan dan majlis pengkebumian. Majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah rumah orang Melayu sementara jiran Indianya mengadakan majlis pengkebumian.  Seorang lelaki berbangsa India dikatakan membawa motosikal dalam keadaan mabuk, dan terbabas lalu merempuh tapak perkahwinan Melayu. Perkara itu mendatangkan kemarahan orang kampung, dan menengking lelaki India tersebut tetapi lelaki India tersebut yang tidak dapat menerima tengkingan kemudiannya mengajak sekumpulan geng dan menyerang majlis perkahwinan Melayu tersebut. Kemudian, 200 orang dipercayai orang luar yang datang dan dibawa dari luar Kampung Medan turut sama dalam pergaduhan itu menyebabkan penduduk berada dalam keadaan ketakutan. Peristiwa ini akhirnya mendapat liputan CNN pada sebelah malamnya.
Masyarakat India berwaspada dan bersiap-sedia sekiranya penduduk Melayu datang menyerang mereka. Sebaliknya, masyarakat Melayu di Kampung Medan sentiasa berkawal kalau-kalau samseng India datang untuk menyerang mereka. Mereka tidak takut akan jiran-jiran mereka kerana mereka telah saling kenal-mengenali hampir tiga dekad. Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo selaku Menteri Besar Selangor ketika itu bertindak berkawal di kuil Hindu di Kampung Medan agar orang-orang Melayu tidak bertindak. Malahan beliau sendiri menasihati penduduk Melayu yang marah agar mereka mematuhi undang-undang negara. 
Beberapa orang yang luka telah dihantar ke Unit Kecemasan di Hospital Universiti di Petaling Jaya, Selangor, Malaysia. Polis dan FRU  bertugas dan berkawal di beberapa kampung dan taman sekitar Jalan Klang Lama. Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu ialah Datuk Mohamad Jamil Johari. Dalam pada itu, 153 orang telah ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan di tempat kejadian terdiri daripada 95 orang lelaki Melayu, 56 orang India dan dua warga Indonesia. Sementara itu, 37 orang telah dilaporkan cedera termasuk 34 India dan tiga Melayu.
98 senjata pelbagai jenis dan saiz terutama parang dan besi telah ditemui dan dirampas oleh polis yang membuat sekatan dan serbuan. Lain-lain senjata ialah senjata buatan sendiri, pisau, pedang samurai, rantai besi, paip besi, kapak dan kayu. Datuk Mohamed Jamil Johari turut menyatakan sebuah lori dan dua buah motosikal telah dibakar manakala beberapa buah bas dan van telah dirosakkan.
Sementara itu, Datuk Seri S. Samy Vellu selaku pesiden MIC telah melawat mayat K. Muneiretham di Hospital Universiti. V. Segar, 34 dan A. Ganeson, 28 turut terbunuh.
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia turut bertugas di Kampung Medan dengan memberi bantuan kecemasan dan bekalan makanan serta khemah. Rela dan St Johns Ambulance turut memberi perkhidmatan kecemasan dan kawalan keselamatan.
Masyarakat Malaysia tidak menyangka ia akan berlaku dan merebak terlalu pantas. Lantaran itu, MIC dan UMNO mengatur semula kompromi agar ia tidak berulang lagi. 

MENJAMIN PERPADUAN BERTERUSAN
Mari kita fokuskan minda kita kepada pelbagai usaha yang diimplementasikan sebagai tiang sandaran konklit demi mengutuhkan lagi tali-temali silaturahim antara kaum. Salah satunya ialah Pakatan Murni,  sebagai usaha semua kaum di Tanah Melayu bagi menghasilkan satu kerjasama dan tolak ansur politik melalui rundingan selain satu jalan penyelesaian untuk menyatupadukan penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum.
            Bertitik-tolak daripada hal itu, pada Januari 1949 Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum atau Communities Liaison Committee (CLC) telah ditubuhkan di Pulau Pinang untuk memulakan proses kerjasama antara kaum seterusnya mengubah arena politik di Tanah Melayu. Pada peringkat awal penubuhannya, CLC hanya dianggotai oleh kaum Cina yang diketuai pemimpin MCA, Tan Cheng Lock dan kaum Melayu diketuai Dato’ Onn Jaafar yang merupakan pemimpin UMNO. Pada bulan Ogos 1949, Ahli CLC telah bertambah iaitu dianggotai oleh enam orang pemimpin Melayu, enam orang pemimpin Cina dan seorang wakil daripada kaum India, Sri Langka, Serani, dan Eropah. Pakatan Murni juga merupakan perubahan besar kepada dasar UMNO kerana sanggup berunding dengan kaum lain untuk kepentingan masa depan Persekutuan Tanah Melayu. Dato’Onn Jaafar berpendapat perpaduan antara kaum patut dijadikan asas dalam mencapai kemerdekaan. Akhirnya, beberapa perkara telah dipersetujui hasil daripada rundingan  UMNO-CLC. Antara persetujuan tersebut ialah penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Desa atau Rural Industrial Development Authority (RIDA) pada Oktober 1950. Sementara itu, kerakyatan Negeri 1951 diberi kepada imigran yang lahir di Persekutuan Tanah Melayu yang ibu atau bapanya telah menjadi rakyat Tanah Melayu dan pilihan raya akan diadakan pada masa yang sesuai di peringkat perbandaran, negeri, dan Majlis Perundangan Persekutuan (MPP).
UMNO juga telah membuka keahliannya kepada kaum bukan Melayu yang telah dicadangkan oleh Dato’Onn Ja’afar pada tahun 1951 namun dikecam hebat oleh masyarakat Melayu kerana mereka enggan berkompromi untuk mengubah struktur asal UMNO menyebabkan Dato’Onn Ja’afar kecewa lalu meninggalkan UMNO.
Ekoran itu, beliau menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau Independence Malaya Party (IMP) yang menggunakan konsep kerjasama antara kaum dalam sebuah parti dan keahliannya terbuka kepada semua kaum yang mahu bekerja  untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, tetapi gagal mendapat sambutan daripada kaum Cina, Melayu dan India kerana perpaduan kaum adalah terlalu asing bagi mereka.
Kemudian, Sir Malcom Macdonald (Gabenor General Asia Tenggara) menubuhkan Persidangan Kebangsaan pada bulan Februari 1953 di King’s House, Kuala Lumpur bertujuan mencapai kerjasama politik bagi mengurangkan perasaan perkauman dalam kalangan penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan ini telah diisytiharkan pada bulan April 1953 di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dato’ Panglima Bukit Gantang telah dilantik menjadi pengerusinya dan telah disokong oleh beberapa orang Menteri Besar. Pada masa yang sama, Tunku Abdul Rahman sebagai pemimpin UMNO yang menggantikan Dato’Onn Ja’afar telah menganjurkan Konvensyen Kebangsaan bersama-sama dengan MCA. Konvesyen tersebut telah disertai oleh pelbagai parti dan persatuan politik lain yang akhirnya  menjadi asas kepada pembentukan Parti Perikatan.
Seterusnya pada bulan Februari 1952, British ingin mengadakan Pilihan Raya Majls Perbandaran Kuala Lumpur. Kerjasama antara UMNO-MCA telah dibentuk hasil gabungan UMNO Kuala Kangsar dan MCA Selangor yang  dijalankan oleh Dato’ Abdul Razak Yahya dan Ong Yoke Lin. Hasilnya, UMNO-MCA telah memenangi sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Pilihan raya di beberapa bandar raya utama juga menunjukkan penguasaan kerjasama UMNO-MCA di mana mereka  memenangi 26 daripada 37 kerusi yang dipertandingkan. Pada tahun 1956, dalam pilihan raya negeri yang diadakan, Parti Perikatan telah memenangi sebanyak 226 daripada 268 kerusi yang dipertandingkan. ‘Sudah terang lagi bersuluh’ , situasi ini membuktikan wujudnya permuafakatan kaum antara UMNO dan MCA yang telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang kemudiannya turut disertai MIC pada tahun 1955.
Bertitik tolak daripada hal itu, pihak British telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya dalam Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) pada tahun 1954. Jawatankuasa ini dianggotai pemimpin parti politk seperti Parti Negara, UMNO, MCA, MIC dan pgawai-pegawai tinggi British. Jawatankuasa tersebut telah mencadangkan 52 kerusi dipilih melalui  pilihan raya dan 48 ahli MPP akan dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Pada 27 Julai 1955, Pilihan Raya Majlis Perundangan telah diadakan dan disertai semua parti yang terdapat dalam Persekutuan. Parti Perikatan telah memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini telah membolehkan Tunku Abdul Rahman selaku ketua Parti Perikatan menjadi Ketua Menteri dan Menteri Kabinet. Kabinet yang dibentuk terdiri daripada pelbagai kaum dan berfungsi sehingga Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas itu, terdapat perubahan dari segi keanggotaan dan ahli kabinet.

            Pada 15 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah dimeterai oleh raja-raja Melayu dan British. Perjanjian tersebut telah melahirkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu berkuatkuasa 31 Ogos 1957 berasaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang digubal oleh Suruhanjaya Reid. Berdasarkan persetujuan yang dicapai di dalam Pakatan Murni telah membolehkan sebuah kerajaan demokrasi Raja Berpelembagaan dibentuk. Para pemimpin ini sedar menerusi pakatan murni, keharmonian kaum dapat dicapai tanpa pertumpahan darah. Malahan, penduduk Tanah Melayu yang terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai hak mutlak untuk mentadbir mengikut acuan sendiri tanpa campur tangan daripada kuasa asing serta bebas untuk hidup merdeka selain turut menyebut tentang pembentukan kerajaan pusat yang kuat dan berkuasa ke atas negeri-negeri, kedudukan raja-raja Melayu, memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, hak-hak Keistimewaan Orang Melayu di Semenanjung dan hak Keistimewaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta mewujudkan satu rupa bangsa dan lain-lain lagi.
Walakin agama Islam rasminya telah menjadi agama utama, namun orang bukan Islam juga bebas untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka, mengikut kepercayaan agama masing-masing. Manakala hak asasi rakyat juga dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara Malaysia ini.
Sementara itu, hak-hak yang adil bagi kaum bukan Bumiputera tetap juga diberikan. Antaranya, pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mereka yang layak, sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu sendiri.
Walaupun bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, namun perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang, atau disekat. Malah, bahasa Inggeris sendiri dijadikan bahasa kedua Malaysia.

Dalam pada itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan bermula sebelum merdeka lagi kerana wujudnya kesedaran bahawa pendidikan merupakan faktor utama dalam memupuk semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan, adat resam dan agama. Pada tahun 1950, Jawatankuasa Barnes telah ditubuhkan dan membuat satu Laporan Barnes bertujuan supaya Tanah Melayu boleh berkerajaan sendiri dengan perpaduan kaum yang berlaku di samping  tentangan kuat komunis pada masa itu menyebabkan British khuatir kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh sekali gus menimbulkan huru-hara. Beberapa cadangan telah dibuat iaitu semua sekolah vernakular Melayu Cina dan Tamil dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah manakala sekolah menengah dan peringkat yang lebih tinggi menggunakan Bahasa Inggeris bertujuan merapatkan jurang komunikasi serta hubungan antara kaum. Malangnya, cadangan ini ditentang oleh kaum Cina kerana menganggap bahasa ibunda mereka akan tergugat.
Sebaliknya, masyarakat Cina mencadangkan Laporan Fenn-Wu pada tahun 1951 supaya sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka bersetuju dengan sistem pendidikan kebangsaan.
Dengan mengambil kira pandangan kedua-dua laporan di atas, pada tahun 1952, Ordinan Pelajaran 1952 telah diperkenalkan dengan  mencadangkan dua sistem persekolahan yang menggunakan dua bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris iaitu Bahasa Melayu akan diwajibkan kepada Sekolah Inggeris dan Bahasa Inggeris pula diwajibkan di Sekolah Melayu manakala pengajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil disediakan sekiranya terdapat permintaan daripada ibu bapa. Namun, Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dijalankan kerana mendapat tentangan daripada masyarakat Cina dan India, kekurangan sumber kewangan serta ancaman daripada pengganas komunis.
            · Bertitik tolak daripada itu, pada tahun 1955, Kerajaan Perikatan telah membentuk sebuah jawatankuasa pelajaran yang dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Razak Hussein selaku Menteri Pelajaran pada waktu itu. Penyata Razak 1956 mencatur strategi penting bagi pembentukan bangsa yang bersatu padu melalui dasar pendidikan yang menggambarkan perasaan dan harapan masyarakat majmuk di Tanah Melayu dengan dua elemen penting negara melalui sistem persekolahan yang sama bagi semua penduduk dan  penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Cadangannya ialah penubuhan Sekolah Umum (rendah) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Jenis Umum (rendah) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Cina Dan Tamil sebagai bahasa pengantar, Sekolah Menegah Inggeris yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar serta Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah. Maka, lahirlah satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak yang kemudiannya dijadikan  Ordinan Pelajaran 1957.
            Pada tahun 1960, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Rahman Haji Talib, Menteri Pelajaran Ketiga  telah ditubuhkan untuk menggantikan Ordinan Pelajaran 1960 melalui Laporan Rahman Talib 1960. Beliau mengasaskan penubuhan sekolah vokasional khas untuk pelajar yang lemah dalam peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Beberapa syor baru telah dicadangkan sebagai tambahan kepada Penyata Razak. Sekolah Umum ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Umum ditukar kepada Sekolah Jenis Kebangsaan. Bahkan, pelajaran percuma diberikan kepada semua pelajar sekolah rendah kerajaan tanpa mengira keturuan dan agama. Sekolah rendah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar telah ditukar kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahasa Melayu juga telah digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah menengah manakala Bahasa Cina dan Tamil akan diajar di sekolah kebangsaan sekiranya terdapat sekurang-kurangnya 15 orang pelajar. Manakala, semua peperiksaan awam akan diadakan dalam bahasa kebangsaan. Laporan ini ternyata menjelaskan lagi penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sementara itu, Pelajaran Agama Islam hendaklah diajar di semua sekolah bantuan penuh kerajaan yang mempunyai bilangan penuntut Islam seramai 15 orang. Hasilnya, syor-syor dalam Laporan Rahman Talib ini telah diterima dan telah digubal menjadi Akta Pelajaran 1961.

            Seterusnya, pada tahun 1965, sistem persekolahan aneka jurusan telah diperkenalkan melalui Kajian Aminudin Baki untuk menampung pelajar-pelajar yang gagal memasuki sekolah menengah akademik  dengan matlamat menyediakan pelajaran pada peringkat menengah rendah sehingga mencapai umur 15 tahun melalui pelbagai kursus kemahiran untuk melahirkan tenaga kerja dan persediaan untuk pasaran kerja. Kursus kemahiran pilihan yang dipelajari ialah Perdagangan, Sains Rumah Tangga, Seni  Perusahaan dan Sains Pertanian selain matapelajaran wajib seperti yang diajar di sekolah menengah biasa.
            Demi  menilai sejauh mana pelaksanaan dasar pelajaran yang sedia ada dapat melahirkan sumber tenaga manusia yang diperlukan oleh negara selain mengenalpasti sejauh mana dasar pelajaran negara dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih, Jawatakuasa Kabinet 1974 dilantik dengan memberi penekanan terhadap penguasaan dalam kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kenaikan darjah secara automatik, penekanan tehadap sekolah vokasional, sukatan pelajaran swasta, mata pelajaran wajib dalam peperiksaan ialah Bahasa Melayu, penekanan ko-kurikulum serta disiplin sebagai asas perpaduan. Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 yang menekankan perkembangan diri pelajar dari segi jasmani emosi, rohani dan intelek. Manakala Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula merupakan pelengkap kepada Dasar  Pendidikan  Kebangsaan kerana dapat memperlihatkan dengan jelas hala tuju sistem pendidikan Negara.

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian, adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secocok dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi kuantiti tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

Pada hakikatnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah termaktub dalam perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu berfungsi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjamin perpaduan rakyat. Antara langkah-langkah yang dijalankan untuk memajukan dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu ialah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956, melancarkan ’Minggu Bahasa’ dan ’Bulan Bahasa’, penggunaan slogan ’Bahasa Jiwa Bangsa’ yang dilancarkan pada tahun 1960, penubuhan sekolah menengah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagi lingua franca seperti Sekolah Alam Shah, Sekolah Sri Puteri dan Sekolah Sultan Abdul Halim. Bahkan, kedudukan Bahasa Melayu semakin kukuh apabila Akta Bahasa Kebangsaan telah diluluskan pada tahun 1967. Pada tahun 1970, semua bahasa pengantar di sekolah rendah Inggeris telah ditukar kepada bahasa kebangsaan secara berperingkat-peringkat. Bahkan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1977 telah berjaya membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu. Mulai tahun 1982, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di semua sekolah bagi menggantikan Bahasa Inggeris. Pada tahun 1990 pula, bahasa Melayu mula digunakan di mahkamah. Izharnya, akta ini berjaya mewujudkan penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa curiga.

Ekoran peristiwa 13 Mei 1969, pada 17 Mei 1969 sebuah majlis telah ditubuhkan dibawah kuasa Timbalan Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussien iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mengambil alih tugas parlimen dibantu oleh anggota-anggota majlis yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik, pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera. MAGERAN menjalankan beberapa fungsi utama iaitu bertanggungjawab mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan sesebuah kaum kepada kaum lain. Dibawah MAGERAN juga telah ditubuhkan sebuah pejabat Urusetia Hal Ehwal Awam yang diketuai oleh seorang pegawai Perkhidmatan Awam Kanan untuk menjalankan tugasan daripada Ketua Pegawai Kerja. Ketua  Hal Ehwal Awam bertanggungjawab mengeluarkan arahan berkenaan pembentukan dan penelitian semua dasar dan objektif kerajaan tentang hal-hal yang berkaitan dengan hal ehwal awam termasuklah dasar kewangan, pelajaran, pembangunan negara, luar bandar dan perusahaan, perdagangan dan perniagaan, pengangkutan, perkhidmatan dan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan persekutuan, negeri, imigresen dan pendaftaran Negara serta penyelarasan agensi kerajaan lain agar dasar tersebut dipatuhi.

Bagi membantu dalam melaksanakan dasar-dasar ini, beberapa panel telah ditubuhkan seperti panel ekonomi, panel pelajaran, jawatankuasa ekonomi dan kewangan, jawatankuasa penanaman modal serta jawatankuasa perancangan dan pembangunan negara (JPPN). Selain itu, MAGERAN  telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) pada tahun 1970 dan Majlis Muhibah Negara (MMN) pada 18 Julai 1969. Tujuan penubuhan Jabatan Perpaduan Negara  yang diketuai oleh Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie adalah bagi membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara dengan lebih teratur dan teliti di samping mendraf satu idealogi iaitu Rukun Negara.

          Di samping itu, Majlis Muhibah turut dibentuk di peringkat pusat, negeri, daerah dan kampung di bawah peruntukan Peraturan-peraturan Perlu 1969 untuk mengalakan perkembangan muhibah dengan memulihkan kepercayaan sesebuah kaum dengan kaum yang lain, mengkaji dan menyelesaikan masalah dengan kerjasama pihak berkenaan yang berkaitan dengan kesulitan serta perselisihan faham antara kaum, membantu pertubuhan lain dan kerja-kerja sukarela dalam lapangan kerja sosial mengikut pelbagai peringkat serta sedia membantu kerajaan pada bila-bila masa diperlukan. Ekoran Kerajaan Berparlimen  telah dipulihkan semula pada 23 Feb 1971, Majlis Muhibah Negara telah dimansuhkan dan diganti dengan Majlis Perpaduan Negara (National Unity Council) yang mempunyai 51 orang anggota  dan ditadbir melalui kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dengan Pejabat Muhibah Negara berperanan membincangkan perkara-perkara berkaitan perpaduan negara yang difikirkan oleh Perdana Menteri lalu dirujukkan kepada majlis dan dibincangkan selain mencadangkan langkah-langkah penyelesaian kepada masalah perpaduan negara bagi memupuk perpaduan kaum.

        Kemudian, pada 1 Januari 1972 Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab mengurus serta menyelaras tugas-tugas Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Jawatankuasa Muhibah. Selepas pilihan raya umum 1974, kerajaan baru Barisan Nasional dibentuk menyebabkan Kementerian Perpaduan Negara bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara malah sebuah panel penasihat yang terdiri daripada 16 ahli juga ditubuhkan. Panel penasihat ini bertanggungjawab membincangkan masalah perpaduan, mencari idea baru bagi menghapuskan perasaan perkauman serta mengelakkan berlakunya konflik atau konfrontasi antara kaum. Lembaga Perpaduan Negara bertukar kembali menjadi Jabatan Perpaduan Negara yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

       Seterusnya , Majlis Perundingan Negara (MAPEN) ditubuhkan di bawah undang-undang darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. MAPEN dan MAGERAN saling berkerjasama iaitu MAGERAN bertindak sebagai pemerintah manakala MAPEN berfungsi sebagai penasihat kepada MAGERAN khususnya perkara berkaitan perhubungan kaum. MAPEN berperanan membincangkan dan meneliti masalah yang berkaitan perpaduan kaum untuk mencari jalan penyelesaian agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ iaitu mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei 1969. MAPEN dianggotai oleh  Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussien (pengerusi) , tiga orang menteri, wakil-wakil kerajaan negeri, wakil-wakil parti politik ,wakil-wakil agama, badan professional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil kumpulan-kumpulan kecil. Setiap ahli berperanan dalam membincangkan isu yang bukan sahaja berkaitan perpaduan kaum tetapi juga melibatkan perancangan dan penyelarasan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pembangunan wilayah dan negeri dengan jujur tanpa was-was serta dalam keadaan yang tenang.
         MAPEN telah mengadakan musyawarah pertama pada 27 Jan 1970 yang dipengerusikan oleh pengarah MAGERAN dan telah menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu membuat keputusan berkenaan bentuk masyarakat Malaysia pada masa akan datang bagi mencapai perpaduan yang harmoni. Melalui perbincangan yang dijalankan selama beberapa bulan, MAPEN berpendapat bahawa negara ini memerlukan satu panduan yang boleh dijadikan idealogi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang baru dan maju dikenali sebagai Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip utama.
Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Justeru prinsip pertama iaitu Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun pemikiran luhur dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.
Kedua, prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah  ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.

Ketiga, prinsip Keluhuran Perlembagaan. bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan yang terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang  seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Keempat, prinsip Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial). Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur sebagai elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar.
Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan pula sebagai panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni kerana prinsip ini mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan dan pembangunan, personaliti individu  dan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat yang seyogia dibina sejak kecil.


      Pada masa yang sama, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dirangka dengan dua objektif  yang menjadi ‘serampang dua mata’ iaitu membasmi kemiskinan melalui tiga peringkat iaitu pembasmian mengikut kawasan luar bandar dan bandar, pembasmian mengikut negeri dan pembasmian melalui penyediaan keperluan asas dan mutu hidup yang baik rakyat tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat melalui beberapa strategi iaitu mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak, menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan, memberi peluang kepada pekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya ke sektor yang lumayan, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum dan kawasan, memodenkan kehidupan di luar bandar, mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan kaum bumiputera, mewujudkan sektor pekerjaan yang mengabungkan pelbagai kaum selain memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat.

Tamsilnya, melalui Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) pada 1986 hingga 1990, sektor perlombongan di Sarawak seperti pengeluaran gas asli telah berkembang pesat ekoran daripada permintaan yang tinggi oleh LNG plant dan Asean Ammonia-Urea Plant di Bintulu. Malahan, Sarawak menjadi pengeluar kayu balak terbesar ekoran kemajuan sektor pertanian disebabkan projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (Intergrated Agricultural Development projects) serta pembangunan luar bandar. Sementara itu, dasar dan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak dapat diselaraskan dengan pendidikan di Semenanjung di bawah Kementerian Pendidikan. Manakala sistem perhubungan antara Sabah dan Sarawak diperluaskan melalui rancangan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Kuching dengan Kota Kinabalu seterusnya dapat membantu dalam pemesatan pembangunan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Lain daripada itu, perhubungan udara di bawah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur dan Bandar lain di semenanjung, sistem komunikasi yang baik seperti telefon, perkhidmatan pos, televisyen dan radio membolehkan jurang pemisah antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dapat dihapuskan. Malahan, penempatan semula penduduk ke kawasan atau pusat-pusat bandar baru yang berpotensi dalam pembangunan telah dijalankan di bawah pengawasan pihak berkuasa seperti JENGKA dan DARA (Pahang), KEJORA (Johor), KESEDAR (Kelantan), KETENGAH (Terengganu) dan KEDA (Kedah). Di Sabah pula, sektor pertanian menjadi penyumbang utama dalam Pengeluaran Negara Kasar (PNK).  Melalui RMK-5 juga ,64000 hektar tanah dibangunkan yang menempatkan 3900 peneroka dan mempelbagaikan industri balak kepada industri pengeluaran kertas kayu dan pulpa. Penggunaan pelabuhan di Kota Kinabalu, Labuan, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau untuk tujuan pengeksportan hasil keluaran setempat pula dipergiatkan.

Maka tidak hairanlah Dasar Ekonomi baru juga dirujuk sebagai tapak,  panduan, falsafah, peraturan dan cara mencapai matlamat dasar yang merujuk kepada usaha untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan yang mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan yakni kebendaan dan bukan kebendaan selain memadukan sumber dan kapasiti yang ada dengan komuniti.

Sementara itu,  hasil daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dibentuk berteraskan tiga prinsip utama seperti kebudayaan rakyat asal rantau Melayu, unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar diterima dan Islam sebagai unsur yang paling penting dengan objektifnya mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang wujud daripada kebudayaan kebangsaan serta memperkaya dan mempertingkat kualiti kehidupan manusia dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Bagi merealisasikannya, Kementerian Kebudayaan ditubuhkan pada 20 Mei 1987 untuk melaksanakannya melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya, meningkatkan dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha membimbing dan melatih peminat, pendukung dan pengerak kebudayaan dengan meluas sebagai jentera pembangunan yang berkesan, mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia serta memenuhi keperluan sosiobudaya serta meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Bukan itu sahaja, Dasar Sukan Negara juga ditubuhkan pada 1998 dengan objektifnya membentuk
satu masyarakat yang sihat, berdisiplin dan bersatu padu, menyediakan
peluang-peluang dan kemudahan bagi memenuhi keperluan asasi, sosial, psikologi
dan fisiologi, membangun
dan meningkatkan pengetahuan dan amalan sukan bagi kepentingan sosial seseorang individu dan mencapai kecemerlangan ke tahap tertinggi dengan semangat kesukanan yang tulen. Bagi menggalakkan aktivti sukan, Majlis Sukan-sukan Sekolah telah ditubuhkan selain Sukan Malaysia (SUKMA) diadakan dua tahun sekali. Terbaru, Temasya SUKMA bagi edisi ke-17 tahun 2014 yang berlangsung di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun lalu ternyata dapat mengeratkan perpaduan antara kaum dan hubungan antara negeri
.

Selain itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu seorang yang kuat membaca dan mengkaji sejarah telah mengaplikasikannya dengan mencetuskan idea Wawasan 2020 pada  28 Februari 1991 dengan mengambil contoh sejarah kemajuan Jepun iaitu ketika zaman pemerintahan Mikado Meiji yang menetapkan dalam masa 30 tahun pemerintahannya, Jepun menjadi negara maju setanding dengan negara maju lain. Perdana Menteri kita yang ke-4 menetapkan tahun 2020, negara Malaysia akan menjadi negara industri yang maju di dunia. Namun, kemajuan diharapkan bukanlah seperti di negara-negara maju di Barat yang menitikberatkan kemajuan fizikal tetapi menekankan kemajuan bersepadu yakni perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral & etika, kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat keyakinan bangsa.
Walaubagaimanapun, terdapat sembilan cabaran digariskan bagi merealisasikannya iaitu membina bangsa Malaysia yang bersatupadu, membina masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan, memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang, mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika, mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi, membina masyarakat yang maju dan saintifik, mewujudkan masyarakat yang berbudaya penyayang, menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya serta memupuk dan membina masyarakat makmur.

CABARAN
Ayuh kita mengorak langkah dan mengkaji  sedalam-dalamnya berkenaan halangan dalam memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional. Dari segi sosial, dapat diperhatikan bahawa kebanyakkan masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di kawasan  terdiri dari penduduk yang sama kaum  kerana merasakan lebih selamat. Contohnya di Kuala Lumpur, penduduk Cina lebih banyak tertumpu di kawasan Pudu, kaum India di kawasan Brickfield dan Sentul manakala kaum Melayu pula di kawasan Kampung Baru. Impaknya, tahap kefahaman yang rendah mengenai kepelbagaian etnik di Malaysia yang mempunyai perbezaan meliputi agama, kepercayaan, adab resam, kebudayaan dan cara hidup selain sikap setiap kaum yang ekstrem mempertahankan budaya mereka menyebabkan prasangka, perkauman, etnosentrisme,  tiada rasa hormat dan menghargai antara kaum wujud lalu menjurus masalah perkauman yang mengundang kepada permusuhan kaum seperti kata Nazaruddin Hj. Mohd Jali et al (2001), “nilai dan sikap masyarakat yang berprasangka, perkauman dan etnosentrisme merupakan faktor asas kepada halangan-halangan lain”.
Sementara itu, perbezaan pekerjaan merupakan salah satu faktor yang menjadi penghalang kepada perpaduan dari segi ekonomi. Perbezaan sosioekonomi yang berlaku boleh menimbulkan rasa cemburu, sangsi dan takut terhadap kaum yang berkuasa. Akibat daripada dasar pecah dan perintah yang dicipta oleh British, kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di ladang-ladang. Akibatnya, interaksi sosial antara mereka terbatas kerana masa banyak diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik yang sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang sama sahaja. Kesannya, perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.
 Dominasi kaum dalam satu-satu bidang juga adalah cabaran kedua daripada aspek ekonomi kerana kaum-kaum lain tidak dapat menyelit atau masuk ke dalam bidang tertentu yang didominasi oleh kaum-kaum tertentu dan ini adalah kerana kaum yang mendominasi itu mahu terus mengekalkan hak dan kuasa dominasi mereka. Sebagai analoginya, sejak dahulu lagi sehingga sekarang, masyarakat Cina masih lagi mendominasi bidang perniagaan  walaupun kerajaan sentiasa menggalakkan mereka untuk menceburkan diri ke dalam dalam sektor perkhidmatan awam dan bidang lain seperti bekerja dengan pasukan beruniform seperti polis, askar dan juga perguruan namun gagal dan kurang mendapat sambutan. Bahkan, Dr Ridhuan Tee (2009) pernah menyatakan bahawa “ Mereka (kaum Cina) yang terlalu bangga dengan tamadun mereka serta lebih suka berdikari dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang menjadi darah daging mereka”. Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti DEB dan juga RMK hanya mampu merapatkan dan mengurangkan jurang ini dan bukan menghapuskannya.

Seterusnya, majoriti parti politik di Malaysia ditubuhkan berasaskan kaum masing-masing. Misalnya seperti UMNO dan PAS untuk orang Melayu, MCA dan DAP untuk orang Cina dan MIC untuk orang India ternyata menguatkan sikap dan semangat perkauman yang tinggi. Sikap ingin memperjuangkan kaum masing-masing tanpa semangat kekitaan pasti akan melambatkan proses perpaduan yang selama ini diusahakan oleh pihak kerajaan yang sudah pastinya diimpikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Memang tidak dinafikan terdapat sebahagian parti berlainan bangsa yang bergabung tetapi perjuangan mereka sedikit sebanyak tetap berbaur perkauman. Menurut Funston (2001), “setiap etnik akan memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing terutama hal-hal yang berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan, sedangkan dalam membina integrasi nasional dan perpaduan yang utuh semua rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama mestilah sama-sama berganding bahu dan tenaga mencapai satu perjuangan dan matlamat yang sama demi negara yang menjadi tempat tumpah darah mereka dan semua rakyatnya”. Dari dahulu sehingga sekarang, perpaduan negara ini diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal hak kerakyatan, bahasa dan juga pendidikan dan beberapa isu sensitif lain yang dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba mendapatkan nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan sehingga ke tarikh pilihanraya akan datang dilihat menambahkan retak-retak perpecahan rakyat dan merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang yang sudah pasti akan membantut atau menghalang usaha integrasi nasional yang cuba dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah. Sebaik-baiknya, berpeganglah kita dengan kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza dalam politik negara, tetapi apabila kita berhadapan dengan kemungkinan orang lain cuba menjajah kita, kita patut rapatkan barisan, itulah makna patriotisma. Kita rapatkan barisan dan lupakan tentang perselisihan faham antara kita supaya dapat menumpukan kepada segala usaha untuk mempertahankan Negara”.

Bukan itu sahaja, sehingga kini, Malaysia masih meneruskan sistem pendidikan berasaskan kesinambungan sistem persekolahan lama dengan mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Kewujudan sekolah yang pelbagai aliran ini telah menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia kerana hubungan antara masyarakat Malaysia menjadi semakin pudar dan renggang sedangkan sekolah merupakan tempat mula-mula masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bertemu untuk saling kenal mengenali. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengatakan bahawa beliau bersedia menimbangkan untuk mewujudkan hanya satu sistem sekolah sahaja yang diguna-pakai sekiranya rakyat Malaysia bersetuju untuk mengikut sistem tersebut kerana melaluinya semangat perpaduan di kalangan rakyat akan dapat dipupuk sementelahan pelaksanaan sistem ini tidak akan menyebabkan kehilangan identiti kaum-kaum tertentu, malah ia akan terus menyemai semangat perpaduan yang kukuh di kalangan masyarkat Malaysia. Malahan masyarakat Cina, India dan semua kaum masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka, walaupun mereka belajar di sekolah yang sama. Namun, sehingga kini walaupun telah kerap kali dibincang dan diperdebatkan, masyarakat Malaysia masih belum bersetuju dan mencapai kata sepakat sementelahan masyarakat Cina dan India dilihat masih mahu menggunakan sistem sekolah pelbagai aliran yang dianggap dapat menjaga bahasa ibunda mereka dan menjamin hak-hak mereka. Sememangnya, isu ini sensitif bagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan persetujuan daripada masyarakat yang mempunyai pandangan, pendapat dan kepentingan yang berbeza sementelahan di dalam usaha melaksanakan satu-satu dasar baru, kerajaan perlu mengambil-kira kehendak rakyat kerana ingin menggelakkan timbulnya perbalahan dan kesan buruknya akan berbalik kepada rakyat dan juga Negara juga.

Lain daripada itu, saban hari kita disogokkan dengan kenyataan bersifat rasis, sensitif, berunsur perkauman, fitnah serta berita palsu melalui alam maya seperti blog serta facebook dan web yang bergerak bebas. Penyalahgunaan media sosial  semakin membarah dimana ‘keyboard warriors’ bertindak persis inteligensia dalam mengeluarkan kenyataan yang ternyata meningkatkan darjat kebimbangan dalam masyarakat dan menyebabkan kerenggangan kaum. Perang psikologi ini pula tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana pertindihan tugas dan bidang kuasa antara badan penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi. Isu kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu tamsilnya  menyebabkan berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan rakyat di negara ini. Ingatlah bahawa ‘bukti akal fikiran seseorang ialah perbuatannya, dan bukti ilmunya ialah ucapannya’.

Sementara itu, campurtangan kuasa luar juga boleh melunturkan perpaduan di negara ini. Beberapa individu yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat dan Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap permasalahan yang mereka hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap ‘ada udang di sebalik batu’ selain cuba mencampuri urusan negara ini kerana mempertikaikan isu hubungan sesama jenis dan hak golongan  lesbian, gay dan transgender. Segelintir anggota masyarakat pula mengaitkan isu di atas sebagai isu hak asasi manusia sebagai usaha untuk mendapat sokongan sebahagian daripada anggota masyarakat.          

Selain itu, kedudukan geografi yakni jarak yang jauh antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak menyukarkan perhubungan menjurus masalah integrasi selain boleh menimbulkan prasangka kaum dan etnik dengan negeri-negeri di Semenanjung.
.
PELBAGAI PIHAK MEMAINKAN PERANAN
Mari kita melangkah kepada perkara yang terakhir iaitu prakarsa melestarikan perpaduan kaun di Negara kita. Cara yang bernas untuk mengekalkan perpaduan negara agar percikan api perkauman tidak terjadi adalah dengan meningkatkan penghayatan Rukun Negara. Cuba kita hayati apakah maksud tersirat Rukun Negara tersebut.
            Pertama, prinsip kepercayaan Kepada Tuhan yakni setiap penganut  agama sewajarnya menjadikan  agama masing-masing sebagai asas membina  keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap toleransi.
Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah payung Negara  yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh  atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.
Melalui Keluhuran Perlembagaan, Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman yang berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.
Kedaulatan Undang-Undang pula merupakan elemen penting dalam menegakkann undang-undang. Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundangan yang paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.
Namun, emansipasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu  menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertian kebebasan dan hak asasi. Di dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.
Seterusnya, kesopanan dan Kesusilaan amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama  dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal  diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agama yang dianutinya.
Malahan, kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang  bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen ‘Budi Bahasa’ dan ‘Nilai Murni’ yang dianjurkan kerajaan  adalah bertujuan  mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifat-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian.
Lantaran itu, Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu sememangnya sangat releven untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat.

Dalam pada ittu, sebagai undang-undang yang tertinggi sifatnya, prinsip menyanjung, menjunjung tinggi, dan mendaulat serta mempertahankan Perlembagaan Negara Malaysia adalah satu tanggungjawab yang mulia dan terpuji bagi setiap warganegara Malaysia, tidak kira bangsa, keturunan, agama, dan kebudayaannya. Ketiga-tiga prinsip ini jelas kelihatan bertujuan supaya rakyat Malaysia bersatu-padu di bawah satu negara yang mempunyai perpaduan kukuh, sehingga sukar diganggu-gugat oleh apa juga anasir negatif yang cuba memecah-belahkan kita. Namun, sangat mendukacitakan apabila masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang terus mempersoalkan dan mengkritik  Perlembagaan Negara Malaysia ini tanpa mengetahui langsung asal-usul dan sejarah penggubalannya. Sesungguhnya, kalau Keluhuran Perlembagaan negara Malaysia ini tercemar, bererti satu penghinaan kepada bangsa dan negara sudah berlaku.
Sebagai analoginya, Wee Meng Chee ataupun lebih dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan menerima kecaman bertalu-talu kerana telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan lagunya berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku itu berbaur penghinaan kepada  Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran negara. Sekiranya ramai rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah akan perginya perpaduan negara dan maruah negara?

Seterusnya, marhaen haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga dapat mencuri ruang dan peluang berkomunikasi dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata pepatah, ‘serampang dua mata’. Sambutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga misalnya, menawarkan heterogen permainan dan aktiviti bersuka-ria yang memerlukan perancangan teliti dan wasilah yang erat antara ahli kulawarga ataupun jiran tetangga.  Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam atma anak-anak sejak kecil lagi persis aforisme, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Mereka digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran. Dengan minhaj itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keunikan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik. Sesungguhnya, ‘kekitaan yang erat tiada berat’. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh ibu bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah diterap kepada ‘generasi muda peneraju wawasan’ dari azali lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.

          Di samping itu, jangan membangkitkan isu sensitif kaum lain. Malaysia adalah Negara yang berdaulat dan mempunyai masyarakat yang majmuk. Jadi sebagai masyarakat yang harmoni, tidak salah jika menghormati antara satu sama lain. Jangan sesekali kita membangkitkan isu sensitif sesuatu kaum. Jika dilihat dari sudut pandang positif , Akta Hasutan 1948 sangat relevan dalam kamus perpaduan kerana telah menggariskan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini merangkumi kecenderungan menghasut mencakupi perlakuan ataupun kecenderungan melakukan sesuatu yang membawa kebencian, penghinaan atau ketidaksetiaan kepada Raja atau kerajaan, membangkitkan perasaan rakyat untuk mendapatkan perubahan kerajaan yang memerintah dengan cara yang tidak sah, menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat, menyebarluaskan perasaan dan niat jahat serta konflik antara kaum dan mempersoalkan dalam apa jua bentuk atau sebarang perkara berkaitan Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, masyarakat India tidak suka dipanggil keling ataupun paria. Justifikasinya akan membangkitkan kemarahan mereka. Paria merujuk kepada kasta terbawah dalam masyarakat India. Maka, jalan peliharakan kaki, berkata peliharakan lidah’  memandangkan isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan antara kaum sehingga hilangnya kesepakatan antara kaum, mewujudkan huru-hara dan ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan kaum dan konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka dan hubungan tidak baik antara kaum.

Dalam pada itu, salah satu instrumen untuk mengekalkan keharmonian Negara  ialah dengan penubuhan sekolah wawasan sementelahan sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum. Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenai dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya, kepercayaan dan agama kaum lain.

Bahkan, warga pendidik perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Dalam konteks ini, guru-guru bukan saja berperanan sebagai Murrabi (mendidik, membimbing rohani, jasmani, fizikal, mental) tetapi juga sebagai Mudarris (mengesan, menggilap skil dalaman dan luaran murid), Muaddib (pengajar, pengasuh, pendidik adab, akhlak, nilai-proses pembentukan disiplin, sikap) dan juga Mualim (orang alim dalam agama, guru agama). Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru sebagai pembina negara bangsa tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama  ‘bagai aur dengan tebing’ dalam menyemai semangat perpaduan di peringkat alma mater.
Di samping itu, pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada uslub untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkuatkuasa mulai tahun 2013. Inisiatif bijak tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri individu bak kata cendekiawan terkemuka, George Santayana bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.

Sebagai jentera pentadbiran negara, kerajaan sentiasa berusaha menerapkan gagasan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan Satu Malaysia sebenarnya? Slogan 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya kerana ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 selain menjadi Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mengekalkan keharmonian rakyat serta Negara kerana PLKN adalah wadah perpaduan nasional sementelahan remaja pelbagai kaum ditempatkan bersama di bawah satu bumbung dan  menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra. Dengan ini, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Dengan ini, tembok pemisah antara kaum dapat diruntuhkan disamping mengekalkan keharmonian negara.

Pihak kerajaan juga menjalankan pembangunan yang mengambilkira usaha-usaha bagi mengurangkan jurang perbezaan pembangunan ekonomi dan struktur di antara negeri atau wilayah di Malaysia. Aspek yang dititikberatkan ialah potensi, keupayaan dan keadaan negeri atau wilayah yang berkaitan untuk membolehkan pembangunan pertanian, perusahaan , perindustrian dapat disalurkan ke arah pembangunan negara yang seimbang .Objektif utama pembangunan ini ialah mewujudkan agihan yang lebih seimbang dan adil dari segi pekerjaan, pendapatan,  pendidikan, kemudahan asas, kesihatan, sosial dan rekreasi khususnya di negeri Sabah, Sarawak dan negeri-negeri yang mundur di Semenanjung.



AKHIR KALAM
Konklusinya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian serius memandangkan Negara pada milineum ini berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global. Lantaran itu, negara kita amat memerlukan kesatuan hati dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Bangkitlah  dari tidur yang nyenyak dan buang yang keruh, ambil yang jernih’ kerana secalit kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diinterrogasikan secara berlebihan hanya akan memberi impak ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya memudaratkan negara kita sendiri. Sesungguhnya, tanpa unsur perpaduan yang utuh, keharmonian bermasyarakat dalam pelbagai bidang kehidupan tidak dapat dinikmati. Dalam hal ini kita semua tidak mahu pepatah yang mengatakan ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran’ berlaku ke atas kita. Sinergi daripada semua pihak perlu dipupuk umpama ‘sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk’  bagi membentuk suatu anjakan paradigma yang menjamin kelangsungan hidup bermasyarakat yang bebas daripada kemelut perpaduan. Luaskanlah horizon pemikiran untuk mengintepretasikan aspirasi kudsi Malaysia sebagai sebuah Negara yang makmur dalam pelbagai aspek yang sudah tentunya akan memberi manfaat kepada semua rakyat jelata. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah adiwangsa Malaysia terus gah di persada sarwajagat. Akhir kalam, “jangan tanya apa yang negaramu telah beri kepadamu-tanya dulu, apa yang telah kau beri kepada negaramu?”.  Renung - renungkanlah.

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah Kami jadikan kamu sekalian daripada seorang lelaki dan seorang wanita, dan Kami jadikan kami bergolongan dan berbangsa-bangsa, supaya kamu saling kenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang bertakwa paling mulia di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Menyelidiki”.
(Maksud ayat al-Quran 49:13)

( 9999 Patah Perkataan)

No comments:

Post a Comment