Monday 24 November 2014

Mencipta Kelainan dalam Meningkatkan Produktiviti









‪#‎PENGUMUMAN‬ TERKINI, 1 JAN 2015 @ 01:25 PAGI
‪#‎Bismillah‬: Tarikh tutup penyertaan Pertandingan Esei Cakna Produktiviti 2014 (Peringkat Tahunan) dilanjutkan dari 31 Dis 14 kpd 15 Feb 2015
‪#‎Sukacita‬ dimaklumkan bahawa "Lembaga Pengurusan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah bersetuju supaya tarikh tutup bagi penyertaan Pertandingan Esei Cakna Produktiviti 2014 (Peringkat Tahunan) dilanjutkan dari 31 Dis. 14 kpd 15 Feb. 2015.
‪#‎Dengan‬ penyertaan yang amat memberangsangkan sehingga tarikh tutup asal pada 31 Dis.14, keputusan ini dibuat supaya lebih ramai lagi menyertai Pertandingan Esei ini terutamanya kepada yang tidak dapat menyertainya sebelum 31 Dis 14 kerana terlibat atau terjejas dengan banjir buruk yang melanda beberapa negeri di Malaysia.
‪#‎Keputusan‬ ini juga dibuat berdasarkan kepada maklumbalas melalui e-mel dan FB CaknaProduktiviti."
‪#‎Sehubungan‬ itu, pihak Pengurusan MPC dan Sekretariat mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua pihak dalam menjayakan Pertandingan Esei ini dan berharap lebih ramai lagi yang akan menyertainya berikutan dengan perlanjutan tarikh tutup penyertaan dari 31-Dis. 14 kepada 15 Feb. 15.
‪#‎Selamat‬ Menyambut Tahun Baru 2015:- Kurangkan Pembaziran, Tingkatkan Produktiviti!!!
‪#‎Sekian‬, Terima Kasih





Bismillah:- Peraduan Pertandingan Esei Cakna Produktiviti MPC 2014 [Tahunan] dari 01 Oktober hingga 31 Disember 2014

HADIAH/ KATEGORI PERADUAN:-

Wang tunai & hadiah-hadiah lain berjumlah RM 20,500 untuk dimenangi berdasarkan kategori-kategori berikut:

(1). Kategori A: 13-17 tahun** [Jlh had patah perkataan esei:- 2,000 - 2,500 patah perkataan

Pertama: RM1,500 + IPAD MINI APPLE
Kedua: RM1,000 + LENOVO S660
Ketiga: RM 500 + FUJIFILM INSTAX MINI 25
Saguhati: RM200 x 5 = RM1,000

** Nota: Sekolah yang pelajar-pelajarnya menghantar penyertaan terbanyak (mestilah 50 penyertaan ke atas) akan menerima sebuah HP AIO AIO PC bernilai RM2,500

(2). Kategori B: 18 tahun dan ke atas [Jlh had patah perkataan esei:- 3,000-3,500 patah perkataan]

Pertama: RM2,000 + IPAD 3 APPLE
Kedua: RM1,500 + SAMSUNG TAB 3
Ketiga: RM1,000 + LENOVO TAB A3000
Saguhati: RM400 x 5 = RM2,000

TAJUK ESEI:-

"Hayati lagu "Bersatu Kita Maju" di http://goo.gl/B5iMsN
dan huraikan bagaimanakah nilai-nilai dalam lagu tersebut dapat diaplikasikan untuk meningkatkan produktiviti dalam pembangunan negara?"

MAKLUMAT TERKINI/ PERTANYAAN LANJUT:-

Dapatkan maklumat terkini mengenai peraduan ini di:http://fbl.me/CaknaProduktiviti.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi +603-7955 7266:-
(i). Cik Siti Syafiqah Ahmad (syafiqah@mpc.gov.my); atau

(ii). Pn Cham Yin Hwa (cham@mpc.gov.my )

E-MELKAN SEKARANG KARYA ESEI ANDA KE: cakna@mpc.gov.my.

Di sini, Amira nak kongsi petikan lagu 'Bersatu Kita Maju'

BERSATU KITA MAJU

Apa saja yang susah, akan menjadi mudah,
Sekiranya semua, bersatu berusaha,
Dengan produktiviti, bertambah keuntungan,
Kerja seikhlas hati, sempurna pekerjaan.

Kita bantu membantu, bertukar-tukar fikiran,
Bersatu kita maju kearah kemakmuran,
Kita tegur-menegur, kerana kebaikan,
Berusaha dengan jujur,mencapai kejayaan.

 Kita bantu membantu, bertukar-tukar fikiran,
Bersatu kita maju kearah kemakmuran,
Kita tegur-menegur, kerana kebaikan,
Berusaha dengan jujur, mencapai kejayaan. ’


Dan......inilah hasil tulisan saya...Selamat membaca :D

TAJUK      :      Bagaimanakah Nilai-Nilai Dalam Lagu ‘ Bersatu Kita Maju ’ Dapat Diaplikasikan Untuk Meningkatkan Produktiviti Dalam Pembangunan Negara?


PENDAHULUAN

‘Sudah terang lagi bersuluh’, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat, terutamanya dalam proses pembangunan negara. Malahan, dalam mendepani era pascaperindustrian serta pascaglobalisasi yang serba menduga akal dan minda millenium ini, setiap organisasi sentiasa  berdepan  dengan  realiti  semasa,  di mana  teras  perkhidmatan setiap organisasi adalah  untuk  menghasilkan perkhidmatan yang memberi impak berganda kepada pembangunan Negara.
Maka, tidak hairanlah jika setiap organisasi kini sedang  melalui  proses  transformasi  yang bersepadu dan komprehensif bagi memastikan ia  berdaya saing sepanjang masa.  Lebih-lebih lagi, berdasarkan Laporan Daya Saing Global 2014-2015, kedudukan Malaysia melonjak ke tangga 20 daripada kalangan 144 negara, mendahului ekonomi maju seperti Austria, Australia, Perancis dan Korea Selatan berbanding kedudukan ke-24 daripada 144 negara pada tahun sebelumnya. Laporan ini menyebabkan ekspetasi rakyat terhadap sistem perkhidmatan organisasi kian meningkat. Disebabkan hal ini jugalah, pihak kerajaan kini menggesa setiap organisasi agar menyediakan  perkhidmatan  yang berprestasi  tinggi  dan  berinovasi  kerana  rakyat  Malaysia semakin berpendidikan  tinggi dan peka terhadap sumbangan organisasi dalam merancakkan pembangunan Negara.
Rentetan itu, setiap pemain industri kini berlumba-lumba bersaing dengan mengiplementasikan variasi prakarsa ‘umpama patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertelekan’ untuk senantiasa ke hadapan setanding dengan syarikat gergasi yang lain, ibarat kata pepatah ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ yang pastinya akan memberikan keuntungan yang berlipat ganda kepada bukan sahaja organisasi itu, bahkan yang paling utama memberikan nilai tambah kepada pembangunan Malaysia. Persaingan yang dimaksudkan di sini tidak lain, tidak bukan memberi fokus kepada tahap kualiti, daya saing dan kreativiti serta inovasi yang menjurus kepada keberhasilan produktiviti, seandainya mendapat sentuhan yang mantap pastinya akan menghasilkan impak yang berganda.

KONSEP BERSATU SEBAGAI TUNJANG UTAMA
Namun, persoalan yang berlegar di gawang minda kita sekarang ialah, di   mana kurangnya perlaksanaan dalam meningkatkan produktiviti oleh organisasi selama ini demi merancakkan pembangunan Negara? Sebelum itu, mari kita telusuri nukilan kata Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, “Untuk menjayakan sebuah transformasi pastinya melibatkan perubahan, pembaikan dan pengukuhan kepada tiang seri institusi serta struktur perkhidmatan organisasi itu sendiri. Ertinya, pertama, perubahan pada cara berfikir, kedua, pembaikan kepada sistem nilai dan ketiga, pengukuhan kepada gerak kerja”. Ghalibnya,  idea dalam meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi tentunya mempunyai pro dan kontranya. Namun, apa yang sangat ditagih adalah bagaimana pandangan kontra tersebut diterjemahkan melalui sisi yang positif seterusnya memberikan impak yang berganda. Jelaslah, transformasi minda berpaksikan kejituan intelektual menjadi jawapan konklik kepada persoalan ini. Apa yang pasti, transformasi minda oleh semua pihak sangat ditagih agar tidak terus dibelenggu pemikiran ortodoks dan jumud ‘bagai katak di bawah tempurung’ sebaliknya buka hati, buka minda serta kenali diri dengan memperteguhkan kefahaman akan konsep bersatu yang menjadi mangkin efektif dalam keberhasilan produktiviti seterusnya bertindak secara glokal dan global pada hari-hari mendatang.
Dalam merealisasikan gamitan menara impian dan harapan ini, lagu produktiviti iaitu lagu ‘Bersatu Kita Maju’  menjadi sebuah lagu yang berperanan menyuburkan nilai-nilai positif, jika dihayati dan diaplikasikan dengan total, pastinya kita dapat melihat semua pihak bersatu meningkatkan produktiviti organisasi yang akhirnya menjurus kepada pembangunan Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sehubungan dengan itu, mari kita hayati bait-bait lagu keramat tersebut :
‘ Apa saja yang susah, akan menjadi mudah,
Sekiranya semua, bersatu berusaha,
Dengan produktiviti, bertambah keuntungan,
Kerja seikhlas hati, sempurna pekerjaan.

Kita bantu-membantu, bertukar-tukar fikiran,
Bersatu kita maju, kearah kemakmuran,
Kita tegur-menegur, kerana kebaikan,
Berusaha dengan jujur, mencapai kejayaan.

Kita bantu-membantu, bertukar-tukar fikiran,
Bersatu kita maju, kearah kemakmuran,
Kita tegur-menegur, kerana kebaikan,
Berusaha dengan jujur, mencapai kejayaan.

MERAIKAN PERBEZAAN, MENGUKUHKAN PERSAMAAN
Ayuh kita mengorak langkah dan mengkaji sedalam-dalamnya berkenaan mesej bersatu yang ingin disampaikan melalui lagu ini. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, konsep bersatu yang dimaksudkan dalam lagu ini ialah bersatu dalam melaksanakan setiap urusan kerja di peringkat organisasi. Izharnya, setiap kakitangan perlulah bersatu dalam pelbagai aspek tamsilnya memperteguhkan  kesatuan hati, kesatuan minda, dan kesatuan tindakan dalam melaksanakan urusan kerja mereka kerana  ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.
Bahkan, umum mengetahui, dalam sesebuah organisasi gergasi terutamanya, sudah pasti tenaga kerjanya mempunyai latarbelakang yang berbeza daripada segi agama, etnik dan sosiobudayanya, memandangkan Negara Malaysia kaya-raya dengan warisan tradisinya. Walaubagaimanapun, dalam usaha meningkatkan produktiviti organisasi dan melonjakkan pembangunan Negara, perbezaan sebegini tidak sewajarnya dijadikan sebagai tembok pemisah, tetapi sebagai lonjakan saujana di dalam menerajui perkhidmatan organisasi yang bersatu. Bertitik tolak daripada hal tersebut, semua kakitangan seharusnya  berpegang teguh pada konsep ‘Meraikan Perbezaan, Mengukuhkan Persamaan’ yang juga sebenarnya merupakan salah satu daripada agenda kerajaan dalam usaha ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’. Cuba kita bayangkan dan renungkan sejenak, apakah yang bakal terjadi seandainya prinsip ini tidak dihayati sepenuhnya dalam sesebuah organisasi yang mempunyai kakitangan daripada kepelbagaian latarbelakang? Oleh hal yang demikian, berlandaskan semangat kekitaan atau camaraderie, semua kakitangan perlu bergerak sebagai suatu identiti, membuang mentaliti silo, berkongsi sumber, pengetahuan, serta kepakaran dalam menjalankan agenda transformasi Negara seperti ungkapan bestari, ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ serta ‘hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah’. Justeru, prinsip ‘Meraikan Perbezaan, Mengukuhkan Persamaan’ perlu dihayati sepenuhnya dalam usaha memperteguhkan konsep bersatu, yang akan dikupas dengan lebih terperinci lagi demi kebaikan bersama kerana ‘kalau baik jadikan teladan, kalau tidak baik jadikan sempadan’.

SIKAP MEMPENGARUHI SETIAP TINDAKAN
 Melalui konsep bersatu ini, dapatlah diterjemahkan bahawa semuanya bermula daripada sikap setiap individu dalam organisasi itu sendiri daripada jawatan yang paling rendah hinggalah ke jawatan yang paling tinggi, yang senantiasa mengamalkan nilai-nilai mahmudah demi memantapkan kerja mereka. Malahan, Menurut Ainon (1997), ‘sikap ialah satu keadaan mental di mana seseorang itu sentiasa bersiap sedia untuk bertindak balas berdasarkan nilai-nilai peribadi seseorang itu sendiri’.
Berdasarkan  pengertian  dan  interprestasi  tentang  sikap  di atas, dapatlah dirumuskan bahawa, sikap adalah sesuatu yang abstrak kerana sikap tidak dapat dilihat atau dirasa dengan pancaindera, iaitu suatu proses mental yang bersifat fikiran, perasaan atau tanggapan terhadap sesuatu objek, aspek atau situasi tertentu. Namun begitu , sikap  individu terhadap pekerjaannya  boleh  dilihat melalui  gelagat  seseorang itu melalui tindak balas yang ditunjukkan itu, sama ada positif, negatif, menyetujui atau menentang yang  sebenarnya boleh  mempengaruhi produktiviti kerja. Malah, sikap juga boleh menggambarkan  bagaimana  perasaan seseorang terhadap kerja tamsilnya “saya suka akan kerja saya”, menyatakan sikap positif terhadap kerja. Maka, tidak hairanlah sikap individu sebenarnya merupakan aset terpenting dibandingkan dengan modal, tanah dan  bangunan. Sementelahan, sikap inilah yang bakal menjurus kepada setiap tindakan, yang seterusnya akan mewarnai fokus perbincangan kita mengenai konsep bersatu ini.

SANG SEMUT SEBAGAI IKUTAN TELADAN
Sebenarnya, apabila kita berbicara soal ini, yang tergambar dalam minda kita ialah sikap sang semut. Jika kita perhatikan dan amati dengan teliti, serangga yang kecil ini sentiasa bersatu dalam kumpulannya, malahan tidak pernah kenal erti penat-lelah apabila melakukan pelbagai kerja seperti membina sarang ataupun membawa makanan untuk kumpulannya. Apa yang lebih membanggakan, kesabaran dan kekuatannya tidak pernah pudar dan padam sehingga kerjanya selesai atau matlamatnya tercapai meskipun beban yang dipikul adalah berpuluh-puluh kali ganda lebih berat daripada diri mereka sendiri. Maka, tidak hairanlah jika peribahasa ‘sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit’ sememangnya ditujukan kepada daya usaha sang semut yang tekun dan gigih itu.  Bahkan, jika kita, insan sempurna yang diberikan kesempurnaan akal dan fizikal ini, mengaplikasikan ketekunan si semut dalam organisasi, sudah pastinya keazaman dan kegigihan akan menjadikan kerja yang sukar berjaya dilaksanakan, dan ini tentunya mendatangkan kepuasan kepada diri kita sendiri. Dalam konteks ini, ketekunan yang dimaksudkan bererti memberi tumpuan kepada sesuatu kerja hingga selesai dengan sempurnanya yang sudah pasti akan membawa kejayaan serta kecemerlangan kepada individu dan organisasi  itu senantiasa. Namun, harus juga dingatkan bahawa, ketekunan ini juga perlu diiringi dengan disiplin diri yang tinggi dalam atma.  Sebenarnya, disiplin ini perlu dipupuk secara berterusan oleh seseorang individu itu. Kaedah yang baik untuk mendisiplin  diri ialah dengan selalu membaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi kecekapan. Hasilnya, akan membuatkan seseorang lebih bersemangat,  tabah serta sanggup menghadapi segala rintangan dan cabaran yang merupakan strategi untuk mencapai produktiviti yang maksimun. Lantaran itu, nilai ketekunan ini sepatutnya tersemat kukuh dalam sanubari setiap kakitangan organisasi kerana sesungguhnya ‘ketekunan membawa kejayaan’.

MENGHAYATI DEFINISI KERJA SEIKHLAS HATI
Dalam  memacu cita wawasan ini,  seseorang  kakitangan perlulah  melaksanakan setiap kerja yang dilakukan dengan hati yang tulus dan ikhlas. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, sejak zaman-berzaman, kerja adalah sesuatu yang dilakukan untuk hidup, sama ada membanting tulang atau memeras otak. Bahkan, kerja bukanlah sesuatu yang ringan, malah bagi kebanyakan manusia, bekerja merupakan suatu perlakuan yang tiada penghujungnya. Namun begitu, jika kita mengambil pendirian yang optimistik, kita boleh mendidik diri agar lebih ikhlas dalam melakukan pekerjaan. Pertama, bekerja hendaklah dijadikan suatu ibadah, kerana ibadah itu membawa ganjaran. Tambahan pula, bekerja atas dasar tuntutan memenuhi keperluan sebagai umatnya, serta keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri dan meningkatkan kualiti diri seseorang. Sesungguhnya, kakitangan yang melaksanakan tugas mengikut bidang kerja yang ditugaskan dengan penuh ikhlas, tanggungjawab dan ikhsan dijanjikan keberkatan-Nya. Kedua, kerja itu hendaklah dijadikan cabaran yang memerlukan bukan sahaja daya usaha malah pemikiran dan kreativiti kita. Ia merupakan sumbangan yang hendaklah dikaitkan dengan kebajikan untuk masyarakat dan negara. Dengan sendirinya, kita akan merasa puas kerana sumbangan kecil itu telah berjaya membangunkan negara. Ketiga,  jika kerja itu, kita  anggap domain atau pengkhususan kita, maka dengan sendirinya kita menjadi pakar yang diiktiraf.
Lanjutan daripada perkara di atas, memahami dan menghayati sifat ikhlas akan membantu kakitangan mewujudkan pekerjaan yang cemerlang dan berkualiti tinggi. Apabila kerja yang dilakukan diiringi dengan sifat ikhlas, nescaya kerja tersebut akan berjalan lancar dan sempurna tanpa sebarang rasa hasad dengki. Kontradiksinya, tanpa  sifat  ikhlas,  seseorang  itu  akan  sentiasa  menunjuk-nunjuk,  merungut dan akibatnya, dia akan gagal melaksanakan tugasnya dengan baik dan sempurna mengikut arahan tersebut. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Tonggak Dua Belas,  Institut Tadbiran Negara (INTAN),  1992,  seseorang  yang  ikhlas  lebih  mementingkan penyelesaian masalah berbanding mencari siapa yang melakukan kesalahan. Oleh  yang  demikian,  kecemerlangan  jangka  masa  panjang  akan  diperolehi sekiranya  kita  berkhidmat dengan  penuh  rasa  ikhlas. Seperti  kesimpulan  yang  dibuat oleh  Zaharah  Hassan  (2009)  berkaitan nilai ikhlas, mengatakan  bahawa ‘elakkan  jalan  pintas kerana dalam membangunkan sesebuah organisasi yang berdaya saing memerlukan usaha keras dan sekiranya ia dibina melalui usaha yang ikhlas, potensi untuk kekal berjaya adalah lebih kukuh’.

BANTU - MEMBANTU
            Mari fokuskan pula minda kita kepada perkara seterusnya.  Sebenarnya, dalam melaksanakan harapan dan impian yang menggunung dalam merealisasikannya, inspirasi ini juga haruslah didokong dengan kukuh melalui amalan positif yang lain tamsilnya bantu-membantu, bertukar-fikiran, tegur-menegur, dan juga kejujuran seperti mana yang disebutkan dalam lagu tersebut.
Sebagaimana yang kita ketahui, dalam sesebuah organisasi, sekumpulan tenaga kerja itu dipimpin oleh seorang ketua atau sekumpulan ketua , maka segala gerak-laku ketua menjadi ikutan tenaga kerja yang lain. Bagi membuktikan dengan jelas akan perkara ini, bahawasanya sejarah telah membuktikan, banyak tamadun membangun disebabkan pemimpin-pemimpim yang. kuat, berani dan bijaksana. Sebaliknya pula, keruntuhan tamadun adalah disebabkan kelemahan dan kelalaian pemimpin-pemimpin. Namun, harus diingatkan juga bahawa, seseorang ketua juga tidak akan berjaya memimpin organisasinya tanpa bantuan tenaga kerjanya yang lain. Oleh itu, dalam konteks ini,  ketua dan tenaga kerja mestilah saling bantu-membantubagai aur dengan tebing’ dalam pelbagai aspek kerana 'bulat  air  kerana  pembetung,  bulat kata kerana muafakat’. Malahan, Rasulullah SAW ada bersabda : “Hendaklah kamu bersama jama’ah, dan janganlah kamu berpecah daripada jama’ah”. (Hadis Riwayat al-Tarmizi).
Oleh itu, berlatarbelakangkan aforisme ‘sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk’, setiap kakitangan sewajarnya sentiasa mempunyai keinginan dan inisiatif untuk berkolaborasi secara aktif sama ada secara intra atau inter-agensi dengan bekerjasama dan bersepakat kala lapang dan getir.  Setiap kakitangan haruslah mengambil inisiatif untuk bergerak bersama-sama dengan mengutamakan aesprit de corps tanpa mengira portfolio masing-masing, sementelahan pendekatan sebegini dapat mewujudkan motivasi kepada semua kakitangan. Perkara ini tidak lain tidak bukan, adalah  demi meningkatkan kualiti dan melicinkan pelaksanaan serta penerapan budaya kecemerlangan dalam sesebuah organisasi seterusnya menangkis stigma negatif segelintir organisasi yang dilabelkan oleh orang awam sebagai tidak cekap, bekerja secara silo, tidak berupaya untuk menerima idea-idea baru dan bertindak dengan fikiran sempit.
Hasilnya, kolaborasi sebegini dapat mengoptimumkan perkongsian sumber dan kemudahan di dalam dan di antara organisasi, meningkatkan nilai untuk wang, meningkatkan perkongsian maklumat di semua peringkat organisasi, meningkatkan ruang untuk sinergi idea dan meningkatkan jati diri yang menjurus ke arah peningkatan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan berinovasi.

BERTUKAR-TUKAR  FIKIRAN
Mari lebarkan sayap pemikiran kita akan nilai seterusnya iaitu bertukar-tukar fikiran. Memandangkan ekonomi dunia hari ini telah beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan di samping dunia juga kian sarat dengan muatan reformasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), pelbagai organisasi memanafaatkannya secara total sekaligus menunjukkan kebolehan mereka menerima pemikiran mutakhir. Disebabkan hal ini jugalah, kakitangan perlu memanifestasikan fikiran dengan mengisi ketandusan minda yakni menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran yang relevan dengan saling bertukar-tukar  fikiran kerana penguasaan dua komponen utama ini akan memantapkan kompetensi modal insan sedia ada.
Sememangnya, apabila berbicara mengenai nilai bertukar-tukar fikiran, kita tidak dapat menyangkal bahawa pengetahuan adalah aset yang sangat penting dalam sesebuah syarikat. Namun, harus juga diingatkan bahawa, sekiranya seseorang  individu menyimpan pengetahuan itu sendiri dan enggan berkongsi dengan orang lain, maka tiada nilai yang akan tercipta. Bahkan, pengetahuan ini sebenarnya tidak bernilai, sehingga seseorang kakitangan itu memindahkan pengetahuan tersebut dengan memberitahu, menterjemah, serta mendidik rakan sekerja yang lain sehinggalah rakan mereka menerap, berkongsi dan menggunakan pengetahuan tersebut. Walaupun begitu, pengetahuan yang dikongsi tidak hanya terhad mengenai aspek kerja tetapi aspek lebih meluas termasuk visi, matlamat, sokongan, perasaan dan pendapat. Apa yang menariknya, pengetahuan ini sebenarnya akan kekal pada pemilik selepas dikongsi  dengan pihak lain.
Sementelahan, peningkatan ilmu dan kemahiran dalam kalangan kakitangan organisasi merangkumi dua jurus corpus ilmu iaitu explicit dan tacit knowledge. Dengan bertukar-tukar fikiran, yakni apabila setiap kakitangan berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan rakan yang lain, barulah tacit knowledge akan diperolehi,  berbanding explicit knowledge yang dipelajari secara formal seperti penguasaan bahasa ketiga serta literasi ICT.
Hasilnya, membolehkan kakitangan meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan pelaksanaan kerja, menganalisis persekitaran, mengqadimkan perubahan seterusnya menampilkan persediaan sewajarnya ke arah kemakmuran pembangunan negara. Malahan,  terjemahan idea yang lebih segar juga dapat dihasilkan, menjurus kepada rekacipta serta pengeluaran produk, perkhidmatan, sistem dan cara operasi yang lebih elok dan berkualiti yang juga distilahkan sebagai inovasi dalam organisasi. Sesungguhnya, nilai bertukar-tukar fikiran perlu dipupuk dan dibajai kerana menimba ilmu merupakan satu proses yang berterusan dalam kehidupan manusia seperti mutiara kata ‘tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad’.

TEGUR - MENEGUR
Mari luaskan pula takrifan minda kita akan bagaimana nilai tegur-menegur dapat meningkatkan produktiviti. Sebagaimana yang kita semua sudah sedia maklum, ‘tiada manusia yang sempurna’. Bahkan, setiap manusia sering melakukan kesilapan sama ada disedari atau tidak oleh mereka. Namun, pada kebiasaanya, amat jarang sekali seseorang itu menyedari kesilapan mereka sehinggalah ada insan yang sudi menegurnya. Maka daripada itu, sikap saling tegur menegur seharusnya dijadikan amalan demi memperbaiki lagi urusan kerja. Malahan, Rasulullah SAW juga bersabda: ”Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al-Bukhari). Sebelum kita memperincikan lebih jelas mengenai nilai tegur-menegur dalam organisasi, marilah kita hayati rangkap pantun ini :
Anak haruan mudik berenam,
Lumba-lumba menyusul tebing,
Sama mencecah si hati kuman,
Susah senang sama membimbing.

Sehubungan itu, dalam menyuburkan nilai ini, adalah sangat wajar jika setiap organisasi melaksanakan kaedah pementoran di peringkat organisasi mereka kerana melalui kaedah inilah, nilai tegur-menegur dapat diaplikasikan dengan lebih meluas sementelahan ‘tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati’.

Apakah yang dimaksudkan dengan pementoran dan bagaimana pula nilai tegur-menegur dapat diaplikasikan secara total dalam kaedah pementoran? Sebenarnya, pementoran merujuk kepada aktiviti  bersepadu yakni memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara  professional oleh mentor bagi pembangunan diri menti. Mentor merujuk kepada seorang pegawai berpengalaman yang dilantik oleh jabatan untuk membimbing dalam perkembangan kerjaya seorang pegawai yang lain. Menti pula merujuk kepada pegawai yang dipilih oleh ketua jabatan dan memerlukan bantuan serta teguran positif dalam pembangunan diri, pemantapan serta penyesuaian kerjaya.
Pada kebiasannya, ramai dalam kalangan kita menganggap bahawa hanya menti mendapat faedah daripada kaedah ini. Pada realitinya, kedua-dua pihak yakni mentor.dan menti masing-masing mendapat faedahnya. Hal ini kerana, kaedah pementoran dapat menjadikan tugas seorang mentor lebih pelbagai sifatnya dan dapat berkongsi kejayaan dalam melahirkan pekerja yang lebih cemerlang.  Menti pula akan memperoleh asas yang kukuh dalam memahami tahap mutu kerja yang diperlukan pada masa sekarang dan akan datang. Dengan ini, jalinan hubungan dalam konteks latihan dan pembelajaran antara  mereka secara berterusan dapat diperluaskan lagi. Malahan, masing-masing juga akan lebih selesa untuk berkongsi idea dan pendapat kerana cukup arif antara satu sama lain. Dan apa yang paling penting, mereka tidak lagi berasa segan untuk saling menegur andainya masing-masing mempunyai kekurangan atau kelemahan pada aspek tertentu. Namun, harus juga dingatkan bahawa, tegur-menegurlah perlulah secara  berhikmah di samping menegur kerana ikhlas, bukan kerana perasaan amarah. Yang ditegur pula, perlu berlapang dada dan bermuhasabah dengan teguran itu lantas menjadikannya sebagai panduan dan motivasi untuk meningkatkan lagi mutu kerja.
Dengan ini, barulah dapat mencetuskan penambahbaikan  organisasi secara  berterusan di samping menjadikan sesebuah organisasi itu lebih dinamik dan berkualiti. Hal ini kerana, kualiti bukan sahaja merupakan sesuatu yang dapat dilihat pada keluaran atau perkhidmatan yang menyerlah jauh daripada yang biasa, tetapi juga dalam konteks yang lebih menyeluruh, meliputi sebarang operasi dan urusan yang dikendalikan oleh sesebuah organisasi termasuklah juga jalinan silaturahim antara kakitangan yang saling bersandaran dan sentiasa menegur demi kebaikan bersama.

BERUSAHA DENGAN JUJUR
Mari kita melangkah kepada perkara yang terakhir. Dalam mengharungi onak ekonomi yang tidak menentu marcapada, segelintir   kakitangan organisasi dilihat semakin rancak berenang dalam kolam rasuah dek kerana  nilai material semakin memberkas dan bermaharajalela akibat terbuai dengan wang  ringgit yang menggelapkan mata itu. Kegusaran akan situasi ini turut dizahirkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz melalui nukilannya, “Satu perkara yang menakutkan saya pada hari ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki”. Sesungguhnya. dalam apa sahaja bidang kerja, ramai yang berdisiplin, tetapi ada sahaja ‘kerbau yang mencalit lumpur’. Sebenarnya, kemelut ini wujud ekoran rapuhnya nilai kejujuran dalam sanubari mereka.
Sedangkan, Al-Quran sendiri merakamkan banyak sekali perintah dan suruhan agar melaksanakan kejujuran. Antara nas al-Quran yang membicarakan berkaitan sifat jujur dan amanah adalah seperti berikut "Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Anfaal ayat 27).
Bagi memperluaskan lagi takrifan minda kita akan nilai kejujuran, contoh yang paling signifikan ialah melalui gaya kepimpinannya Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang beramanah. Pada suatu malam, ketika beliau sedang tekun menyiapkan kerja-kerja rasminya dalam bilik istana, tiba-tiba salah seorang puteranya telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan keluarganya. Setelah puteranya duduk, beliau terus memadamkan lampu yang berada di atas mejanya, yang digunakan oleh beliau ketika beliau bekerja. Lantas beliau menggantikan lampu tersebut dengan lampu kepunyaannya sendiri kerana mereka mahu membincangkan hal-hal berkaitan kekeluargaan dan peribadi mereka, iaitu urusan yang tidak berkaitan dengan urusan rasmi kerajaan.
Berdasarkan kisah tersebut, dapatlah dirungkaikan bahawa kejujuran penting  bagi memastikan tiada pembaziran yang menjejaskan sumber- sumber awam dan  tugas-tugas  yang  dilaksanakan  mencapai objektif  yang telah ditetapkan. Pada hakikatnya, nilai kejujuran dapat memastikan seseorang menjalankan  kewajipan tugas  yang dipertanggungjawabkan kepadanya mengikut  undang-undang,  prosedur  dan  arahan  yang berkuat  kuasa, atau istilah khususnya akauntabiliti. Manakala, nilai-nilai seperti amanah,  telus,  tulus,  adil  dan  saksama, berkecuali  dan  kebolehpercayaan itu pula diistilahkan sebagai integriti.
Sewajarnya, nilai murni ini perlu dijadikan  amalan  oleh  setiap  kakitangan organisasi.  Kakitangan yang  mempunyai  dan  mengamalkan nilai ini  tidak bersikap mementingkan diri sendiri, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan orang ramai.  Sekiranya  nilai ini  tidak  dititikberatkan, natijahnya ketirisan  kewangan, penyelewengan, salah  laku,  penipuan,  rasuah  dan  penyalahgunaan  kuasa  akan  mudah  berlaku. 
Kendatipun begitu, hakisan kejujuran kakitangan tidak terbatas dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi merangkumi dimensi yang lebih luas dan komprehensif. Justeru, kakitangan seyogia mengekalkan imuniti dengan tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, kulawarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Maka, nilai kejujuran ini  seyogia disematkan secara holistik dalam sanubari seterusnya dicerminkan oleh kakitangan melalui perlaksanaan perkhidmatan yang telus, adil dan saksama sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mewujudkan pembinaan sahsiah kakitangan yang mapan demi kepentingan sejagat. Sesungguhnya, kejujuran memainkan  peranan  utama  yang menyumbang  ke  arah  kualiti  dan  imej  sesuatu organisasi bahkan merupakan  pra-syarat  bagi  mendapatkan  keyakinan  orang  awam  ke  atas ketelusan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh sesebuah organisasi itu.  

KESIMPULAN
Sebagai menggulung semua perkara yang telah diperkatakan, konklusinya, konsep bersatu dalam kalangan kakitangan organisasi merupakan elemen penting yang harus diberi perhatian serius, memandangkan Negara pada milineum ini berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global. Sesungguhnya, tanpa konsep bersatu yang utuh, produktiviti tidak akan dinikmati yang seterusnya memberi impak kepada pembangunan negara. Dalam hal ini kita semua tidak mahu pepatah yang mengatakan ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran’ berlaku ke atas kita. Luaskanlah horizon pemikiran untuk mengintepretasikan aspirasi kudsi Malaysia sebagai sebuah Negara yang membangun dalam pelbagai aspek yang sudah tentunya akan memberi manafaat kepada semua rakyat jelata.  Lantaran itu, setiap organisasi amat memerlukan kesatuan hati, kesatuan minda dan kesatuan tindakan daripada semua kakitangan tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Sinergi daripada semua kakitangan perlu dipupuk umpama ‘sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk’  bagi membentuk suatu anjakan paradigma yang menjamin kelangsungan pembangunan negara. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah pembangunan Malaysia terus gah di persada sarwajagat. Akhir kalam, “jangan tanya apa yang negaramu telah beri kepadamu- tanya dulu, apa yang telah kau beri kepada negaramu?”.  Renung-renungkanlah.


(3500 PATAH PERKATAAN)


No comments:

Post a Comment