Monday 24 November 2014

Bidang Sains Forensik di Malaysia


Baru-baru ini, dalam Pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB), Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak,  merangkap Menteri Kewangan Malaysia menyatakan bahawa rakyat Malaysia  sememangnya amat bertuah kerana negara ini merupakan negara yang sedang membangun dan menurut pakar-pakar ekonomi di Malaysia, negara ini akan akan mencapai status negara maju seawal tahun 2018. Ramalan ini lebih awal daripada sasaran sebenar iaitu pada tahun 2020. Beliau berkata bahawa sasaran itu adalah berdasarkan kemajuan memberangsangkan yang sedang dikecapi negara ketika ini dan proses transformasi pelbagai sektor yang sedang giat dilakukan. Sasaran ini sememangnya tidak mustahil kerana wujudnya pelbagai inisiatif yang sedang diperhebatkan yang pastinya dapat mencapai sasarannya. Salah satunya ialah melalui Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang mensasarkan untuk menukarkan Malaysia menjadi status negara maju menjelang 2020, sememangnya berada di landasan yang tepat. Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia tidak seharusnya mendabik dada dan alpa akan kemajuan yang sedang dicapai oleh negara kerana dalam kepesatan dunia yang semakin  membangun samada dari segi politik, ekonomi dan teknologi, masalah sosial juga turut meningkat ‘bagai cendawan tumbuh selepas hujan’ disebabkan tiadanya keseimbangan di antara  kemajuan jasmani, emosi, rohani dan intelektual.  Masalah sosial yang semakin meruncing saban hari yang melibatkan kes jenayah berat seperti pembunuhan, tembakan, rogol, culik dan sebagainya sentiasa menjadi topik hangat dan sering menitir di bibir segenap lapisan masyarakat Malaysia. Maka, amatlah penting langkah drastik segera dilaksanakan agar setiap kes jenayah diselesaikan secara tuntasnya dan segala persoalan berkaitan setiap kes dirungkai hingga ke akar umbi, bertepatan dengan  dengan pepatah Melayu iaitu ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’ dan ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’. Kita juga sebagai rakyat Malaysia yang patriotik sudah tentunya tidak mahu masalah sosial seperti ini terus menjadi barah dalam masyarakat. Oleh itu, dalam situasi seperti ini, bidang sains forensik merupakan jalan penyelesaiannya. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa, pasti ramai antara kita yang pernah mendengar
perkataan  forensik. Perkataan ini sering disebut apabila terdapatnya kes yang melibatkan jenayah. Namun, masih ramai yang kurang tahu apakah sebenarnya bidang sains forensik? Pernahkan terlintas di benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan forensik?  Perkataan’forensik’ bermaksud ‘yang berkaitan dengan hukum’. Matlamat utama sains forensik adalah untuk mencari kenyataan di sebalik sesuatu kes jenayah. Menurut Charlie Fuller, iaitu seorang pengarang yang menghasilkan pelbagai karya dan jurnal berkaitan permasalahan sains forensik dan penyelesaiannya,  jenayah itu terbahagi kepada beberapa bentuk yang berbeza,  iaitu daripada kecurian di kedai runcit sehinggalah kepada pembunuhan kejam. Oleh yang yang demikian, menurut beliau lagi, sains boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan setiap kes yang timbul. Bidang sains forensik menyelesaikan masalah hukum dengan menerapkan prinsip-prinsip saintifik. Bidang sains ini mengaplikasikan pengetahuan dari bidang-bidang fizik, kimia dan juga biologi untuk mencari jawapan di sebalik permasalahan yang timbul  dalam sesuatu kes. Berdasarkan sejarah, bidang ini muncul di negara ini disebabkan berlakunya kes-kes yang melibatkan perundangan  dan bidang forensik bertujuan untuk membantu pihak penguatkuasaan serta kehakiman bagi mengukuhkan bukti serta sebagai saksi pakar di dalam sistem. Oleh itu, bidang ini muncul seiring dengan sistem kehakiman yang telah digubal dan memainkan peranan utama dalam pengenalpastian,  identifikasi dan pemeriksaan bukti fizikal. Sains forensik sememangnya memberikan suatu keputusan yang tepat serta jitu dalam analisis yang dijalankan bagi membantu agensi penguatkuasaan dan membantu ketenteraman awam serta kesejahteraan
negara. Ahli forensik melakukan komprehensif saintifik kimia dan analisis tentang bukti fizikal yang diajukan oleh lembaga penguatkuasa undang-undang . Dengan dibantu beberapa alatan yang canggih dan sesuai serta berteknologi tinggi, bahan bukti dapat dikesan hasil daripada kesilapan yang dibuat oleh penjenayah atau suspek yang terlibat dalam kes tersebut. Penjenayah juga akan dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah dengan seberapa segera. Pekerjaan ahli forensik seringkali berperanan dalam menangkap dan  membasmi jenayah. Walaupun kebanyakan tumpuan sains forensik adalah berkenaan tentang kes-kes jenayah dan kadang-kala disebut sebagai ‘criminalist’, mereka turut bekerja di dalam sistem penghakiman sivil, contohnya melakukan perbandingan tulisan tangan untuk menentukan kesahihan tanda tangan terhadap surat wasiat. Bidang ini juga telah diperluaskan sehingga menggunakan ilmu sains sosial dalam penyiasatannya seperti perakaunan dan ekonomi. Mengenai kepakaran pula, kepakaran tempatan bagi bidang forensik sentiasa tidak mencukupi bagi cabang-cabang forensik yang telah dinyatakan kerana apabila negara semakin maju, penjenayah juga semakin pintar. Bagi bidang perubatan yang melibatkan patologi pula, negara kita sangatkekurangan doktor  yang arif dalam bidang ini. Malaysia juga kekurangan tenaga pengajar (pensyarah)  yang arif  bukan sahaja dari segi teori tetapi pengalaman dalam bidang forensik. Bidang fisiologi dan klinikal forensik di negara juga kita agak ketinggalan berbanding dengan negara-negara barat. Sebagai jalan penyelesaiannya,  Malaysia telah melatih kepakaran tempatan untuk menceburi bidang forensik iaitu melalui Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah dalam bidang forensik melalui universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Menurut Ketua Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai,  Prof. Dr. Mazlan Bin Aziz, kebiasaaannya, bidang sains forensik dikaitkan dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain lagi. Namun demikian, bidang forensik di Malaysia adalah lebih tertumpu di bawah bidang tugas Jabatan Kimia yang menerima sampel-sampel daripada agensi penguatkuasaan. Walaupun bidang ini masih asing di Malaysia, namun,sejak akhir-akhir ini, rakyat juga telah mula menyedari manfaat bidang forensik melalui media, contohnya dalam siri Crime Scene Investigation (CSI) yang dipaparkan di kaca televisyen. Menonton siri televisyen berbentuk penyiasatan, Crime Scene Investigation (CSI) nyata sangat mengujakan, terutama bagi yang meminati bidang sains kerana memperlihatkan keupayaan sekumpulan pakar dalam merungkai pelbagai jenis kes  jenayah. Sejak siri itu disiarkan, bidang penyiasatan saintifik  atau lebih dikenali sebagai forensik semakin dikenali dan diminati, sekaligus ramai yang mengidamkan kerjaya ahli forensik sebagai cita-cita masa depan mereka. Sesungguhnya, bidang sains forensik merupakan suatu bidang yang amat penting khususnya di negara-negara yang mempunyai masalah sosial yang meruncing. Rakyat Malaysia seharusnya menilai
dengan mata hati dan akal akan manfaat bidang ini. Setiap individu juga perlu sedar  bahawa  bidang sains forensik merupakan jalan penyelesaian ke atas setiap permasalahan berkaitanjenayah dan bidang ini amatlah penting dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan penghakiman bagi membongkar jenayah yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu. Dengan ini, minat orang ramai yang dalam bidang forensik akan bercambah dan ramai yang akan menyimpan hasrat untuk menguasai ilmu forensik seterusnya menambahkan
lagi kumpulan profesional dalam bidang ini.

Dalam menyelesaikan sesuatu kes, teori sains forensik sentiasa diutamakan. Terdapat dua teori sains forensik iaitu ‘Teori Sentuhan’ dan ‘Teori Individualistik’. Teori Sentuhan yang diperkenalkan oleh Edmon Locard, seorang perintis dalam bidang forensik sains yang dikenali sebagai ‘Sherlock Holmes of France’, menyatakan bahawa ‘every contacts leaves trace’. Dalam Sains Forensik, adalah dipercayai bahawa setiap sentuhan antara dua objek akan meninggalkan kesan iaitu barang kes. Kesan  ini akan dicari dan dikumpulkan oleh ahli forensik atau pihak berkuasa khususnya polis untuk melakukan penyiasatan analisis, biasanya analisis kimia. Teori kedua ialah ‘Teori Individualistik’ iaitu setiap  barang kes adalah tidak
sama walaupun ia dihasikan oleh kilang yang sama. Teori ini telah diterima pakai untuk membuat perbandingan antara dua objek yang disyaki sama ataupun daripada sumber yang sama. Contohnya, dua cebisan kaca dipadankan pinggirnya untuk mengetahui sama ada mereka adalah daripada sekeping kaca yang sama sebelum ia dipecahkan. Jika dua kaca adalah daripada sumber yang asal, maka ciri-ciri individualistik akan wujud dan tiada kaca lain dapat menghasilkan pinggir yang sama.Sebaliknya, jika kaca adalah daripada sumber yang berbeza, ciri-ciri individualistik tidak akan wujud dan kaca tersebut akan menghasilkan pinggir yang berlainan antara satu sama lain. Namun demikian, masih terdapat halangan dalam menyelesaikan sesuatu kes.Masalah yang kerap kali dihadapi oleh ahli kimia semasa menyelesaikan kes-kes yang melibatkan analisis forensik ialah ‘Change in Evidence’ iaitu  berlaku percanggahan bukti, iaitu bukti yang dikemukakan tidak serupa dengan bukti yang dibawa oleh pegawai penyiasat. Di samping itu juga, kadang-kadang berlaku percanggahan bukti di mahkamah yang mana bukti yang dikemukakan tidak serupa dengan bukti yang tertera di dalam laporan. Masalah kedua ialah  ‘Change of Custody’  iaitu berlaku percanggahan aliran atau prosedur kerja di dalam pemeriksaan bukti. Sampel yang dihantar tidak bersesuaian dengan analisis yang hendak dijalankan turut wujud. Di samping itu, terdapat juga sampel yang dihantar tidak  menepati apa yang disarankan di dalam prosedur penghantaran sampel. Selain itu, masalah melibatkan orang awam juga turut wujud. Kebiasaannya,orang awam tidak memahami ilmu mengenai forensik serta kadang-kadang mencampuri urusan ketika pemeriksaan oleh pihak berkuasa dijalankan di tempat kejadian. Rentetan didorong rasa ingin tahu yang tinggi, kadang-kadang mereka menceroboh kawasan jenayah walaupun berulang-kali ditegah oleh pihak berkuasa. Tanpa mereka sedari, tindakan mereka sebenarnya mengganggu kerja-kerja penyiasatan kerana sesiapun termasuk ahli keluarga mangsa tidak dibenarkan memasuki kawasan jenayah sebelum segala bahan bukti dikumpul dan kerja-kerja penyiasatan selesai. Sememangnya, ttidak dapat dinafikan bahawa situasi-situasi seperti ini mengganggu kerja-kerja penyiasatan ahli forensik. Walaubagaimanapun, setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Memetik kata-kata Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik barat,  “jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku, namun begitu, kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu
tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka”.
Begitulah gambaran implikasi  daripada kata-kata mutiara  daripada beliau yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada jalan yang berkesan untuk menanganinya. Oleh itu, mereka perlu konsisten dalam mengkaji setiap kes dengan mengaplikasikan pelbagai teknik serta memanfaatkan kecanggihan teknologi agar setiap permasalahan dapat dirungkai dengan jayanya seterusnya menjawab segala persoalan yang timbul berkaitan sesuatu kes tanpa mengabaikan teori-teori forensik serta disiplin kerja dalam penyiasatan.                                                            

Kerjaya forensik boleh dibahagikan kepada dua  bahagian utama iaitu di makmal dan di lapangan. Setiap satu daripadanya saling berkaitan antara satu sama lain. Tugas di Bahagian Lapangan adalah mencari, mengenalpasti dan menganalisa jejak yang ditinggalkan oleh penjenayah di tempat kejadian serta mendapatkan bukti untuk dibawa ke muka pengadilan. Pada  bahagian makmal pula, segala bahan bukti yang telah dikumpulkan di tempat kejadian diperhalusi dan dianalisis untuk mendapatkan kaitan terhadap kes. Empat skop utama tugas ahli forensik ialah  merakam jejak penemuan dan mengumpul bukti daripada adegan-adegan jenayah atau kemalangan. Setiap pelaku jenayah pastinya akan meninggalkan jejak di tempat kejadian tanpa disedari atau tidak disedari oleh mereka. Oleh itu, segala bukti-bukti di tempat kejadian seperti cap jari, tompokan darah, sedikit darah, rambut, cakaran pada mangsa, cebisan pakaian mangsa, bekas tapak kasut, debu dan kotoran,  senjata yang digunakan, peluru yang digunakan,  kesan laluan tayar kenderaan, kesan kebakaran, atau letupan dan pelbagai lagi bahan bukti yang lain yang menjurus kepada kes  jenayah tersebut direkodkan dan dikumpulkan untuk  dianalisis di makmal. Selepas merekod dan mengumpulkan segala bahan bukti di tempat kejadian, tugas kedua ahli forensik ialah menganalisis sampel-sampel tersebut di makmal. Kemudiannya, mereka akan  mengaplikasi pelbagai teknik yang sesuai seperti perbandingan profil DNA, menjangka masa kejadian serta deduksi terhadap kes untuk mendapatkan bukti sahih yang boleh mengaitkan suspek dengan kejadian jenayah tersebut. Seterusnya, ahli forensik berperanan memberikan bukti di mahkamah, sebagai bukti sahih untuk mensabitkan tertuduh bersalah dalam sesuatu kes jenayah. Selain empat skop utama tersebut, ahli forensik juga bertindak memeriksa,  menguji, dan menganalisis sampel rangkaian,  zat kimia, fizikal bahan dan bukti balistik. Mereka juga dikehendaki merakam, mengukur, dan membuat pengujian data-data dan bukti-bukti jenayah di tempat kejadian dengan menggunakan peralatan khas serta menginterpretasikan penemuan-penemuan makmal dan keputusan ujian untuk mengenalpasti dan mengelaskan bahan, material, dan bukti-bukti lain yang dikumpulkan di tempat kejadian. Peranan mereka yang ketiga ialah mengumpul dan mengekalkan bukti-bukti jenayah yang digunakan untuk menyelesaikan kes-kes, membuat perbandingan balistik, cap jari, tulisan tangan, dokumen, elektronik perubatan serta bahan kimia mengenai bukti dan deduksi terhadap bagaimana jenayah dilakukan. Jika keadaan memerlukan gambaran visual, mereka perlu melakonkan semula jenayah di tempat kejadian untuk menentukan hubungan di antara bukti-bukti sedia ada. Peranan yang seterusnya ialah menyiapkan laporan kes, deduksi penemuan, kaedah penyiasatan serta hasil daripada kajian makmal.  Tidak dapat dinafikan, tugas sebagai seorang ahli forensik sememangnya amat mencabar. Oleh yang demikian, seorang ahli forensic perlulah mempunyai ciri-ciri krediabiliti seperti berkemahiran berkomunikasi dengan lancar,  mempunyai daya fokus dan pemerhatian yang tajam, bekerja secara logikal dan berstruktur, berkebolehan untuk  bekerja dalam suasana yang tegang, berkemahiran untuk membuat

deduksi bayangan serta mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan sentiasa bersikap rasional semasa menjalankan tugas dalam apa-apa jua keadaan sekalipun. Pada kebiasaannya, pihak polis hanya terlibat dalam kejadian sementara bahagian patologi hospital menjalankan bedah siasat dan pemeriksaan terhadap mangsa sesuatu kes. Pegawai penyiasat pertama yang sampai di tempat kejadian mestilah mencatatkan suhu badan mayat dan memaklumkan maklumat tersebut kepada doktor patologi. Kerjaya forensik ini memerlukan penglihatan yang tajam kerana sehelai rambut yang melekat pada kertas hitam di dalam kawasan yang hitam dan gelap boleh dijadikan bukti yang sahih untuk mengaitkan suspek dengan kejadian. Pada umumnya, kes-kes biasa seperti kemalangan jalan raya, kematian mengejut yang normal, bunuh diri dan lemas akan diserahkan kepada pegawai perubatan unit forensik untuk proses bedah siasat. Manakala tugas seorang pakar forensik menjurus kepada kes jenayah yang lebih kejam dan berat seperti kes bunuh, rogol, komplikasi,  mati dalam tahanan, mengandung dan mayat reput. Mayat-mayat mangsa ini akan dihantar ke unit patologi di hospital untuk dijalankan bedah siasat ke atas mayat tersebut bagi mengetahui punca kematian. Bedah siasat hanya boleh dijalankan  setelah mendapat arahan daripada pihak polis.  Jika ahli keluarga dan waris tidak mengizinkan proses bedah siasat dijalankan, maka waris perlu mendapatkan perintah majistret dan menarik balik arahan yang di keluarkan oleh pihak polis. Jabatan forensik hanya akan menerima arahan untuk membedah selepas mendapat izin daripada ahli keluarga. Hal ini amat penting supaya tidak timbulnya salah faham atau kekeliruan di pihak keluarga mangsa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan orang awam mempunyai tanggapan negatif  bahawa proses  bedah siasat hanya akan menyeksa mayat. Selepas mendapat arahan untuk bedah siasat, doktor akan menjalankan pemeriksaan luaran bagi memastikan mangsa jenayah betul-betul sudah meninggal dunia. Doktor patologi akan menjalankan pemeriksaan mayat untuk mengetahui punca yang menyebabkan mangsa meninggal serta waktu mangsa tersebut meninggal dunia. Pemeriksaan mayat dibuat dengan cara membelah mayat mangsa. Pemeriksaan mayat atau dalam bahasa saintifiknya di panggil ‘autopsy’ ini amat penting bagi mendapatkan klu sekiranya mayat mangsa jenayah tidak diketahui identitinya. Tugas seorang yang terlibat dengan bidang forensik atau dikenali sebagai pakar bedah mayat dianggap satu tugas yang membosankan kerana ruang lingku pekerjaannya banyak terlibat dengan mayat.  Malah, suatu ketika dahulu, tugas ini di pandang enteng kerana ramai menganggap bahawa tugas ini sebagai satu tugas di luar etika budaya dan kemanusiaan kerana  terpaksa membedah mayat orang yang sudah mati malahan ada yang mengatakan ianya satu tugas yang kejam. Sebenarnya tanpa di sedari, di sebalik anggapan yang pelbagai itu, tugas pakar ini sangat penting di dalam kes yang melibatkan kes kemalangan, pembunuhan,  rogol, bakar liwat, rentung dan bermacam-macam kes lagi. Keadaan ini umpama mencari bukti tanpa perlu bertanya kepada si mangsa. Persoalan mengenai satu-satu kes kematian perlu di selesaikan supaya memudahkan urusan banyak pihak termasuklah pihak polis dan keluarga mangsa. Jika sesuatu kes melibatkan kes bunuh,  pakar forensik dikehendaki pergi ke mahkamah untuk memberikan keterangan dan adakalanya terpaksa pergi ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan kes yang berlaku.  Pihak polis sendiri tidak akan menyentuh atau mengubah kedudukan mayat selagi pakar forensik  belum selesai melakukan pemeriksaan untuk mengelakkan bukti yang penting dari terhapus. Hal ini kerana, kesukaran sesuatu kes adalah bergantung kepada jumlah bahan bukti yang ditemui di tempat kejadian. Pada awal dekad ini, bidang sains forensik telah bercambah kepada beberapa lagi disiplin pengkhususan yang spesifik. Mereka dikenali sebagai penyiasat perubatan yang pakar dalam bidang ‘Ballistics’, ‘Toxicology’, ‘Serology’ dan lain-lain lagi. Terdapat peraturan- peraturan tertentu yang perlu diikuti sebagai pakar sains forensik. Jika sekiranya salah satu daripada peraturan tersebut diabaikan, kemungkinan penyiasatan akan menghadapi  masalah dan tidak dapat membawa kepada penemuan jenayah yang sebenar.  Dengan adanya  kepakaran dalam bidang sains forensik di Malaysia ini, diharapkan dapat membantu menyelesaikan pelbagai kes jenayah yang timbul saban hari, bertepatan dengan peribahasa melayu iaitu ‘jauhari juga yang mengenal manikam’ yang membawa maksud sesuatu ilmu hanya diketahui oleh pakarnya .

Jabatan Kimia merupakan jabatan yang memikul tanggungjawab yang besar dan luas dalam menegakkan keadilan dan membanteras jenayah menerusi unit forensik. Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia merupakan organisasi terkemuka di Malaysia dalam komuniti sains forensik  yang menyediakan perkhidmatan forensik yang bebas dan berkecuali kepada sektor-sektor awam dan swasta. Jabatan Kimia merupakan salah sebuah jabatan yang terletak di bawah  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan merupakan satu-satunya  jabatan yang menawarkan khidmat menganalisis sampel serta telah berjaya mendapatkan sijil pengiktirafan antarabangsa. Jabatan tersebut bermula dengan Makmal Analisis Kerajaan yang ditubuhkan pada 1885 di Singapura bagi Negeri-negeri Selat. Kemudiannya, Makmal Analisis  Kerajaan telah menubuhkan cawangannya di Pulau Pinang pada 1909. Ekoran penggabungan Makmal Analisis Kerajaan di Singapura, Makmal Cawangan di Pulau Pinang, Makmal Kimia di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kimia, Jabatan Perdagangan dan Kastam, maka Jabatan Kimia Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura ditubuhkan pada 1946. Bagi merealisasikan penubuhan Jabatan Kimia, satu jawatankuasa telah dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu pada masa tersebut iaitu Sir Donald Charles Mac Gillivary. Ketika itu, Gillivary mengesyorkan dalam satu kertas putih No.48 of 1956  Federal mengenai fungsi dan organisasi Jabatan Kimia pada 1956 dan telah diterima oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun yang sama. Bagaimanapun selepas merdeka,  pada awal tahun 1960,  jabatan ini berpecah kepada Jabatan Kimia Singapura dan Jabatan Kimia Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian menjadi Jabatan Kimia Malaysia pada 1963.Seterusnya, Jabatan ini terus mengukuhkan kedudukannya dalam Malaysia dengan perasmian cawangannya yang baru. Pada 18 Mei 1964, Perasmian JKM Cawangan Baru Kucing, Sarawak, Perasmian JKM  Cawangan Baru Terengganu pada 26 Ogos 1971, Perasmian JKM Cawangan Baru Johor pada 29 April 1972,  Perasmian JKM Cawangan Baru Perak pada 19 Ogos 1975,  Perasmian JKM Cawangan Baru Sabah pada 9 Julai 1977,  Perasmian JKM Cawangan Baru Pahang  pada 15 April 1986,  Perasmian JKM Cawangan Baru Bintulu, Sarawak 12 April 1986 dan Perasmian Bangunan Baru JKM Cawangan Johor pada 30  April 1992.  Pada 6 Oktober 1992, Perasmian Bangunan Baru dikenali sebagai Pusat Sains Forensik JKM Ibu Pejabat Petaling Jaya telah dirasmikan  dan kemudiannya disusuli dengan Perasmian  Makmal Analisis Dna Forensik Baru di Pusat Sains Forensik JKM Ibu Pejabat Petaling  Jaya pada 17 November 1994.  Kemudiannya, Jabatan ini mengukuhkan lagi kedudukannya di segenap Malaysia dengan Perasmian Bangunan Baru JKM Cawangan Perak pada 8 Mei 2000, Perasmian Bangunan Baru JKM cawangan Sabah pada 21 Julai 2000, Perasmian Bangunan Baru JKM Cawangan  Sarawak pada 19 September  2000, Perasmian Bangunan Baru JKM Cawangan Melaka pada 9 April 2001 dan Perasmian Bangunan Baru dikenali sebagai Bangunan Utama JKM Ibu Pejabat Petaling Jaya pada 24 Mac 2003. Pada 19 Oktober 2005, sejarah terpateri apabila  Bahagian Forensik Kimia Malaysia  telah diakreditasi kepada  ‘American Society of Crime Laboratory Directors/Laboratory Accreditation Board’( ASCLD-LAB ®). Bahagian Forensik Jabatan  Kimia  Malaysia berbangga untuk menjadi makmal ke-sepuluh di luar Amerika Syarikat untuk mendapat pengiktirafan persijilan ASCLD-LAB ® kerana pencapaian ini menunjukkan bahawa perkhidmatan sains forensik yang ditawarkan oleh Kimia Malaysia telah memenuhi syarat-syarat akreditasi ASCLD-LAB dan merupakan makmal yang setanding dengan makmal-makmal forensik antarabangsa. Pada bulan Oktober 2009 pula,  Jabatan Kimia telah membuka cawangan ke-13 di Kota  Bharu, Kelantan dan ke-14 di Tawau, Sabah.  Jabatan Kimia juga telah menubuhkan Akademi Kimia Malaysia di Melaka sebagai tempat latihan kakitangannya. Kini,Jabatan tersebut sudah berkembang dan mempunyai 12 cawangan di seluruh negara. Makmal Forensik di makmal-makmal cawangan pula sedang dipersiapkan untuk mendapat akreditasi yang sama daripada ASCLD/LAB pada tahun-tahun mendatang. Bukan itu sahaja, Jabatan Kimia terus cemerlang dengan pelbagai pengiktirafan di peringkat global melalui akreditasi piawaian antarabangsa seperti ISO 9001,  ISO 17025  dan OHSAS 18001 iaitu akreditasi perkhidmatan forensik Amerika Syarikat (AS). Bahagian ini  juga telah diakreditasi dan diiktiraf dalam bidang ‘Controlled Substances, Toxicology,  Biology (Serology and DNA)’,  Firearms/Toolmarks and Questioned Documents’. Kini skop perkhidmatan Jabatan Kimia telah diperluaskan kepada DNA Forensik dan Bioteknologi.  Jika dulu Jabatan Kimia hanya memberikan perkhidmatan, tetapi kebelakangan ini,  nama Jabatan Kimia muncul bila terdapat kes yang mempunyai tarikan awam. Namun demikian, Jabatan Kimia masih menjadi institusi yang terletak  di belakang tabir dan tidak banyak publisiti mengenainya.  Ini kerana kebanyakan fungsi bahagian perkhidmatan sains makmal bagi  tujuan penguatkuasaan undang-undang, akta dan peraturan,dianggap sulit. Justeru Jabatan Kimia perlu mengekalkan kes-kes sulit dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan publisiti kepada mana-mana pihak kecuali pelanggan yang mempunyai kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Jabatan Kastam (KDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,  Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK). Sehingga kini,makmal-makmal forensik Kimia Malaysia telah mengendalikan banyak kes yang telah dihantar untuk analisis, terutamanya daripada PDRM. Kes-kes yang diterima termasuklah beberapa kes profil tinggi yang telah menerima liputan media yang meluas dan telah mendapat perhatian masyarakat di Malaysia. Jabatan Kimia juga telah  mengadakan Hari Terbuka bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat dengan mengadakan pameran dan pameran bergerak yang melibatkan universiti serta agensi kerajaan di bawah MOSTI. Bagaimanapun,  sebelum ini, Jabatan Kimia terus menerima lawatan sekolah,  institut pengajian tinggi (IPT) serta temu bual media bila terdapat kes melibatkan kepentingan awam seperti melanin dan pangkalan data DNA.  Sesungguhnya,  Jabatan Kimia merupakan institusi belakang tabir yang memainkan peranan yang sangat penting dalam bidang sains forensik di negara kita. Kemudahan dan teknologi canggih serta kepakaran dalam bidang sains forensik yang ada di Jabatan Kimia perlulah dimanfaatkan semaksima mungkin agar suatu hari nanti, negara kita akan menjadi model kepada dunia dalam bidang sains forensik. Matlamat ini tidak mustahil akan tercapai jika semua pihak bekerjasama ‘bagai aur dengan tebing’ dalam merealisasikan impian ini. Kita juga pastinya mahu membuktikan kepada dunia bahawa hasrat Malaysia untuk menjadi negara contoh dalam bidang ini bukanlah hanya ‘angan-angan Mat Jenin’ sahaja, sebaliknya sesuatu yang sememangnya sangat realistik.

Secara umumnya, Bahagian Forensik Jabatan Kimia dipertanggungjawabkan untuk menjalankan analisis berkaitan dengan pelbagai kes dan saling bekerjasama dengan pihak polis dan hospital. Bahagian Forensik Jabatan Kimia terbahagi kepada lima seksyen iaitu Seksyen Toksikologi, Narkotik,  Serologi/DNA,  Kriminalistik dan Pemeriksaan Dokumen. Kelima-kelima seksyen ini haruslah menjalinkan ukhwah ibarat ‘seikat bak sirih, serumpun bak serai’ dan berpegang pada falsafah Confusius, “apalah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan ,tetapi mimpi kita tetap sama”.  Petikan kata-kata ini jelas menunjukkan betapa pentingnya kerjasama antara setiap organisasi. Pada amnya, Seksyen Toksikologi memainkan peranan penting menjalankan analisis toksikologi ke atas sampel-sampel yang melibatkan keracunan makanan,  keracunan haiwan,  keracunan logam berat dan racun berjadual dan juga kematian yang meragukan. Seksyen ini berperanan menentukan kesahihan kandungan ubat tersebut.  Kandungannya dianalisis di bawah Akta Racun 1952 bagi menguji sama ada mangsa disahkan memakan racun atau mengesahkan jenis-jenis racun.  Selain itu, Seksyen ini juga menjalankan analisis penentuan kandungan alkohol dalam darah dan air kencing bagi kes-kes memandu dalam keadaan mabuk yang dihantar oleh pihak polis. Perkhidmatan analitikal juga disediakan kepada klinik hospital swasta dan dengan bayaran  tidak melebihi RM300 per sampel atau per ujian. Seskyen Narkotik pula  berperanan menganalisis sampel yang biasa diterima dari polis kastam dan tentera bagi membantu siasatan kes seperti Methamphetamine, morfin, heroin, ekstasi, ketum, kanabis, kodein, kokain dan syabu. Selepas itu ujian penskrinan atau penulenan dilakukan bagi mencari ketulenan kandungan dadah dengan mencampurkannya dengan reagen tertentu. Bagi tujuan analisis kualitatif  pula iaitu mengesan kandungan sebenar bahan, peralatan seperti ‘Fourier Transform Infrared Spectrometer’, ‘Gas Chromatoghraphy’ atau ‘Mass Spectrometer’ dan ‘Scanning Electron Microscope’ digunakan. Analisis ini penting bagi menentukan adakah bahan tersebut benar-benar mengandungi dadah yang diharamkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga berapa jumlahnya yang sebenar dalam sampel yang diuji melalui ujian kuantitatif. Keputusan analisis ini akan menentukan sama ada pesalah boleh disabitkan  dengan kesalahan atau sebaliknya dan jika sabit kesalahan,  hukuman setimpal boleh dijatuhkan. Seksyen  Serologi/DNA pula menerima kes-kes bunuh, serangan seksual, pengenalpastian mayat, penculikan dan penentuan ibu bapa termasuk kes rompakan yang memerlukan ujian DNA dilakukan. Kes-kes lain yang tidak kurang pentingnya ialah mengenai pembuangan bayi,  pergaduhan, kecurian,  rompakan,  dan  pengedaran dadah selain ujian mengesahkan hubungan bapa dan anak. Analisis DNA Forensik adalah satu cara untuk membanteras jenayah yang telah diimplementasikan di makmal seluruh dunia .  DNA adalah bahan genetik seseorang individu yang diwarisi dari ibu dan bapa kandung . Analisis berkenaan sangat berkesan kerana DNA adalah unik kerana dan  berbeza bagi setiap individu dan hanya kembar seiras mempunyai DNA yang sama.  Seksyen tersebut mengendalikan bahan bukti biologi yang bersesuaian seperti seperti cecair dalam badan iaitu darah dan kesan darah,  air mani dan kesan air mani, air kencing, air  liur, swab mulut, serta rambut  dan folikelnya, spesimen tisu badan, tulang dan organ, puntung rokok  dan bukti sampel biologi yang  ditemui di tempat kejadian kes bunuh, kematian yang mencurigakan, rogol dan sebarang jenayah berat yang lain atau dari badan mangsa melalui perbandingan DNA yang diperolehi dengan sampel rujukan  (mangsa atau suspek).  Sekiranya kualiti sampel bahan bukti berkaitan kes-kes jenayah adalah rendah dan  kuantitinya juga tidak mencukupi,  maka teknik tindak balas rantaian ‘polymerase’ (Polymerase Chain Reaction - PCR) digunakan untuk menggandakan DNA sampel berkenaan. Profil DNA yang dihasilkan dipaparkan dalam bentuk ‘electropherogram’ (graf) dan sebanyak 16 kedudukan  (lokus) pada kromosom (rantaian DNA) dianalisis dalam proses pemprofilan ini. Profil DNA yang diperolehi daripada bahan bukti yang dijumpai di tempat kejadian akan dibandingkan dengan sampel rujukan yang kebiasaannya spesimen darah. Dengan mengumpul sampel bahan bukti di tempat itu, pihak polis dapat menentukan sama ada suspek berkemungkinan terlibat dalam jenayah tersebut atau sebaliknya. Mengenai kemungkinan penjenayah memusnahkan bahan bukti fizikal termasuk membakar mangsa, analisis tulang masih boleh dijalankan. Sekiranya bahan bukti tersebut terlalu teruk, ahli forensik boleh menggunakan analisis mitokondria DNA yang mana mempunyai banyak salinan berbanding nuklear DNA yang hanya ada satu salinan sahaja,  walau bagaimanapun ia tidak unik. Seksyen ini juga menyediakan perkhidmatan ujian paterniti kepada agensi-agensi kerajaan dan individu persendirian yang  memerlukan pengesahan paterniti.  Di Seksyen Kriminalistik pula, antara ujian yang dijalankan termasuk melibatkan analisis ke atas bukti fizikal meliputi ujian melibatkan penggunaan senjata api dan analisis serbuk peluru serta mengesan peluru yang ditembak sama ada datang dari senjata api yang disyaki digunakan dalam jenayah tersebut atau sebaliknya dengan menggunakan mikroskop khas. Ujian ini mengaplikasikan dan memanfaatkan jenis laras senjata api berdasarkan kepada lorekan atau garisan pada peluru yang ditemui di tempat kejadian atau pada mangsa sama ada berpadanan atau sebaliknya. Jabatan Kimia mempunyai satu-satunya makmal di negara ini yang  mempunyai kemampuan mengesan cakera padat (CD) cetak rompak dengan mengesan nombor pengenalan acuan pada mesin cetak CD berkenaan. Jabatan Kimia hanya perlu membandingkan nombor CD yang dihasilkan dan nombor acuan dari kilang yang disimpan oleh jabatan tersebut. Jabatan tersebut juga terlibat dalam pemeriksaan kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di media massa yang sememangnya amat membimbangkan orang ramai dengan mendapatkan semula nombor pengenalan kenderaan iaitu nombor casis dan  nombor enjin yang asal meskipun ada usaha untuk menghapuskannya menggunakan reagen tertentu. Nombor casis asal dapat dikesan dan dilihat menggunakan kanta. Seksyen ini disokong oleh  pegawai yang berpengalaman dan terlatih serta menggunakan teknologi terkini untuk menjalankan analisis.  Bahagian ini menyediakan perkhidmatan analitikal dan khidmat nasihat bagi menyokong penguatkuasaan undang-undang serta bagi pelaksanaan program yang berkaitan dengan kerajaan,  keselamatan pengguna dan memastikan keselamatan di mahkamah. Sampel yang diambil atau dihantar  untuk analisis penting tetapi bukan menentukan bagaimana atau bila bahan bukti tersebut berada di situ. Seterusnya, perkhidmatan pemeriksaan dokumen juga diberikan kepada sektor swasta dan individu-individu yang berminat. Kadar bayaran minima sebanyak RM1,100 akan dikenakan. Kadar bayaran adalah  bergantung kepada jumlah dokumen yang dihantar untuk analisis. Prosedur dan garis panduan untuk penghantaran kes-kes dokumen sangat dititiberatkan. Hampir kesemua ujian dilakukan di ibu pejabat. Tidak dapat dinafikan lagi, Bahagian Forensik Jabatan Kimia melalui lima bahagiannya sememangnya memainkan peranan yang teramat penting dalam membongkar kes-kes jenayah yang berlaku di negara kita . Dengan kelengkapan yang sangat canggih dan terkini serta kepakaran yang mencukupi, rakyat Malaysia seharusnya berbangga mempunyai sebuah organisasi yang sangat mengagumkan seperti ini.

Seiring dengan peranannya sebagai sebuah organisasi yang terkemuka dalam komuniti sains forensik yang menyediakan perkhidmatan forensik, jabatan ini mempunyai objektifnya yang tersendiri dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada badan-badan kerajaan dan swasta. Menurut Lao Tze, seorang filsuf klasik Cina yang mana pemikiran-pemikirannya sangat mengagumkan menyatakan bahawa,  ‘ jika tujuan anda jelas, anda boleh mencapainya dengan mudah’. Antara objektif Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia ialah menjalankan dan memastikan operasi makmal sentiasa selaras dengan kaedah sains yang terbaik yang sedia ada dan memastikan semua pemeriksaan dan analisis adalah tepat dari segi teknikal. Ini merangkumi bukan sahaja kerja-kerja makmal malahan juga laporan yang ditulis, penyiasatan di tempat kejadian dan keterangan mahkamah. Sejajar dengan itu, Jabatan Kimia Malaysia menggunakan  peralatan saintifik dan teknik-teknik terkini untuk memastikan analisis bahan kes yang  tepat dan  jitu. Peralatan yang terdapat di Kimia Malaysia untuk mengesan kandungan sebenar bahan seperti Methampethamine, morfin, heroin, ekstasi, ketum, kanabis, kodein dan  syabu melalui analisis kualitatif  ‘ialah Fourier Transform Infra-Red’ (FTIR), ‘Spectrometer’, ‘High Performance Liquid Chromatographs ‘ (HPLC) dengan ‘photodiode array’, ‘Gas Chromatoghraphy’ atau ‘Mass Spectrometer’  dan ‘Scanning Electron Microscope ‘ dilengkapi ‘mass selective detectors’  (GCMS)  iaitu  detektor-detektor yang spesifik dan amat sensitif.  Untuk ujian dadah pula, Jabatan Kimia dilengkapi dengan ‘Enzyme Linked Immunosorbent Assay (ELISA)  untuk pemeriksaan dadah berbahaya dan Sistem ‘Remedi HS  Profiling’ untuk penyaringan dadah dalam  air kencing.  CO-oksimeter pula digunakan untuk analisis kandungan  karbon monoksida dalam darah.Genetic Analyzer’ pula digunakan untuk analisis DNA. Untuk pemeriksaan dokumen,  alatan seperti  ‘Integrated Multi-Function Document Examination System’ yang merangkumi  ‘video spectral comparison and  Raman Spectrometer’ digunakan.  Untuk pemeriksaan cakera padat  cetak rompak, ‘Automated High Power Microscope’ akan digunakan. Dengan adanya alat-alat yang canggih dan berteknologi tinggi ini,  pihak jabatan dapat menjalankan analisis dengan kecepatan  minimum 24 jam untuk memperoleh keputusan. Menurut piagam jabatan ini, tempoh paling  lama  (memperoleh keputusan)  ialah  90 hari bergantung kepada sampel yang diserahkan. Dengan bantuan teknologi yang sememangnya canggih dan berteknologi tinggi, organisasi ini dapat menjalankan analisis dengan lancar dan sistematik. Diharapkan, Jabatan Kimia terus melakar kejayaan cemerlang dalam membantu Malaysia menyelesaikan masalah jenayah seiring dengan objektifnya dalam menyediakan perkhidmatan yan berkualiti kepada badan-badan kerajaan dan swasta.

Pada tahun 2005, bidang forensik di Malaysia mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila YDH Inspektor General Tan Sri Mohd Bakri bin Hj. Omar telah merasmikan Makma Forensik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) . Bermula pada tahun 1974, tercetusnya ilham penubuhan Makmal Forensik PDRM oleh Ketua Polis Negara ketika itu iaitu YDH Tun Haniff Omar yang mana diharapkan dapat membantu mengurangkan beban kerja penyiasatan yang dihadapi oleh makmal Jabatan Kimia dan hospital seluruh negara. Selain itu, penubuhan makmal ini juga diharapkan dapat membantu penyiasatan yang lebih saintifik. Namun begitu, hanya pada tahun 1986 penubuhannya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk  Jabatan Kimia dan semua hospital besar. Setahun selepas itu, sebagai permulaan ke arah pengenalan dan penggunaan sains forensik, PDRM telah membuka sebuah makmal forensik mini di  Maktab Siasatan Jenayah yang ketika itu bertempat di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Di Makmal Latihan inilah pegawai-pegawai  polis diberikan latihan berhubung sains forensik yang tidak hanya terhad kepada forensik kimia tetapi juga forensik patologi. Makmal ini telah digunakan untuk latihan  dalam bidang ‘Plaster Casting’, Pengesanan Cap Jari, Pengajian Balistik, Pengajian Keterangan Pecahan Kaca, ’Blood Spatter Pattern’, Perbandingan Sampel Menggunakan Mikroskop dan lain-lain yang berkaitan bidang forensik. Pada tahun 1994, Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor telah meluluskan penubuhan Makmal Forensik PDRM dan hanyalah pada tahun1996, barulah pihak Kementerian Dalam Negeri meluluskan cadangan itu. Tan Sri Abdul Rahim Noor merasmikan tapak pembinaan Makmal Forensik PDRM pada 23 September 1997. Pada tahun 1999, pembinaan Makmal Forensik PDRM dimulakan dan bangunan tersebut telah disiapkan dan diserahkan kepada kerajaan pada 30 Mei 2001. Sebagai langkah permulaan  penubuhan, seramai 28 orang pegawai telah dihantar untuk menjalani Kursus Asas Sains Forensik dan Pengendalian Makmal di Victoria Forensic Science Centre, Melbourne, Australia. Di sana, pegawai-pegawai didedahkan  dengan kaedah-kaedah yang digunakan dalam pengendalian peralatan dan juga pengenalan terhadap apa itu sains forensik. Sebagai lanjutan kepada kursus yang telah dianjurkan, satu lagi Kursus Forensik telah diadakan di Maktab Polis Diraja Malaysia yang dihadiri seramai 34 orang pegawai selama tiga bulan. Kursus ini telah diadakan pada bulan Mac 2001. Pada 16 April 2001, semua pegawai yang telah dipilih melaporkan diri dan memulakan operasi Makmal Forensik PDRM. Sesungguhnya Makmal Forensik yang menelan kos pembinaan sebanyak RM45 juta merupakan di antara makmal yang tercanggih di Asia akan dapat membantu meningkatakan mutu penyiasatan yang lebih saintifik agar dapat memastikan mangsa-mangsa jenayah mendapat pembelaan yang sewajarnya dan pelaku jenayah diberikan hukuman yang setimpal seterusnya dapat  mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

 Di Malaysia, tidak ada ditawarkan lagi  program diploma untuk bidang sains forensik. Walaubagaimanapun, terdapat program diploma yang masih menjurus ke arah program sains forensik iaitu  Diploma Teknologi Makmal Perubatan. Bagi program ini, tempoh pengajian adalah selama tiga tahun atau enam  semester. Empat semester diperuntukkan untuk  pengajian teori dan amali manakala dua semester lagi diperuntukkan untuk menjalani praktikal di makmal-makmal hospital besar. Kursus ini sememangnya amat menarik kerana pelajar akan belajar untuk mengkaji punca sesuatu penyakit, dapat menggunakan peralatan-peralatan yang canggih, moden dan automatik, menjalankan ujian saintifik serta  melibatkan diri dalam penyelidikan bagi mencari penyakit yang tidak dikenal pasti atau penawar bagi sesuatu penyakit. Banyak kemahiran yang akan diperolehi,  antaranya ialah dari sudut Mikrobiologi Perubatan dan Parasitologi iaitu mengesan dan mengenal pasti bakteria dan lain-lain organisma, dari sudut Hermatologi dan Imunihematologi iaitu mengesan penyakit-penyakit darah dan menguji kumpulan darah, dari sudut Biokimia Klinikal iaitu mengukur kandungan darah seperti glukosa, kolestrol, protein, urea dan lain-lain serta dari sudut Histopologi dan Sitologi iaitu menyediakan tisu-tisu badan untuk kajian pelbagai jenis kanser.  Bagi memohon program ini, untuk  pelajar Aliran Sains, pelajar perlulah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau  kelayakan yang setaraf dengan  mendapat tiga kredit dalam mana-mana mata pelajaran serta lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran Sains samada  Biologi, Fizik,Kimia, Sains Am, Sains Gunaan, atau Sains Kesihatan. Manakala, bagi  pelajar Bukan Aliran Sains, mereka perlu lulus SPM atau kelayakan  setaraf dengan mendapat tiga  kredit dengan sekurang-kurangnya satu kredit dalam mata pelajaran Sains samada Biologi, Fizik, Kimia, Sains Am, Sains Gunaan atau Sains Kesihatan. Program seumpama ini ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Bagi IPTS, syarat kelayakan adalah lebih longgar berbanding IPTA iaitu bergantung kepada syarat kelayakan yang ditetapkan oleh IPTS tersebut. Untuk permohonan ke IPTA bagi kemasukan Jun dan Disember setiap tahun, permohonan boleh dibuat melalui Unit Pusat Universiti (UPU) selepas iklan permohonan dikeluarkan iaitu sekurang-kurangnya dua bulan sebelum sesi pendaftaran. Bagi permohonan ke IPTS, permohonan boleh dibuat secara dalam talian atau manual bergantung kepada institusi swasta tersebut. Berbeza dengan IPTA, permohonan dan kemasukan jugaadalah bergantung kepada institut swasta tersebut. Pelajar yang berjaya menamatkan program ini dengan jayanya samada di IPTS atau IPTA akan berpeluang memohon untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Forensik di Universiti Tempatan. Di Malaysia, tidak ada lagi ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik atau Ijazah SarjanaSains Forensik  oleh IPTS,hanya IPTA Yang menawarkan program seumpama ini iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti  Kebangsaan Malaysia  (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Syarat umum kemasukan  untuk mengikuti program forensik di universiti tempatan adalah berdasarkan kelulusan di peringkat Matrikulasi,diploma,Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan yang setaraf.  Bagi calon lepasan Matrikulasi  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Asasi Sains Universiti Malaysia (UM) atau Asasi Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM), pelajar perlulah lulus dengan  mendapat sekurang-kurangnya Gred B (3.00) dalam mana-mana dua mata pelajaran berikut samada Biologi,Fizik,Kimia atau Matematik. Bagi calon lepasan STPM,  pelajar perlu lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK)  3.00 dan mendapat sekurang-kurangnya Gred B Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP) 3.00 dalam mata Pelajaran Pengajian AM (PA) dan mana-mana mata pelajaran Biologi,Fizik,Kimia,Matematik atau Matematik Tambahan . Mana-mana pelajar yang memiliki Diploma terutamanya bidang sains kesihatan dan yang berkaitan dengan kursus yang dipohon juga layak memohon. Calon-calon ini perlulah  mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.00. Transkrip akademik daripada semester satu hingga semester akhir perlulah disertakan bersama. Calon yang mempunyai kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya dan diperakukan oleh Senat Universiti juga boleh memohon. Semua permohonan dalam talian hendaklah dibuat melalui Unit Penilaian Universiti (UPU) untuk kemasukan program ijazah bagi bulan September dan Mac setiap tahun. Permohonan akan dibuka sekurang-kurangnya dua bulan sebelum tarikh pendaftaran. Bagi permohonan kemasukan ke USM, permohonan untuk mengikuti pengajian boleh dibuat dengan menghantar borang permohonan kepada Insitut Pengajian Siswazah (IPS) USM atau terus kepada PPSK yang akan menilai dan memperaku permohonan sebelum menghantarnya kepada IPS. Surat tawaran akan dikeluarkan oleh IPS. Pada dasarnya, permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa tetapi calon adalah digalakkan mendaftar (setelah mendapat tawaran) pada awal sidang akademik atau permulaan semester untuk mengoptimunkan bayaran yuran pengajian. Melalui kursus sains forensik ini,diharapakan dapat melahirkan ramai lagi rakyat Malaysia yang arif lagi pakar dalam bidang sains forensik.

Salah satu universiti tempatan yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian)  Sains Forensik ialah Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) . PPSK ditubuhkan secara rasmi oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada Satu November 1999 dan bertempat di Kubang Kerian, Kelantan.  Objektif utama PPSK ini adalah untuk mengembangkan bidang sains kesihatan secara holistik. Program   Ijazah Sarjana Muda  Sains (Kepujian) Sains Forensik adalah salah satu program di bawah PPSK. Program ini bermula pada sidang akademik 2000/2001 selama empat  tahun iaitu lapan semester. Pengajian ini diselia oleh seorang pensyarah yang pakar dalam bidang sains forensik. Sepanjang pengajian, banyak yang akan mereka pelajari berkaitan bidang forensik antaranya ialah Kimia Organik, Forensik Kimia Analisis, Kriminalistiks, Toksikologi Forensik & Kimia Drug, Cecair Tubuh, Teknologi DNA Forensik, Analisis Forensik Kimia ,Analisis Forensik Kimia Surih, Biokimia Forensik, Perubatan Forensik serta lain-lain. Pada tahun empat semester satu, pelajar-pelajar akan menjalani latihan praktikal di hospital-hospital besar.Melalui bahagian forensik, PPSK beriltizam menjadi pusat sains kesihatan melalui kreativiti inovasi ,intelektualiti, dan penyebaran ilmu pengetahuan kearah mencapai kesejahteraan masyarakat. Penawaran program ini sememangnya sangat relevan bagi memenuhi keperluan ahli forensik dalam negara, menyediakan asas fizikal dan intelektual yang baik untuk penyelidikan berkaliber tinggi, menerokai kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaru khususnya berasaskan teknologi maklumat. Pelajar-pelajar akan didedahkan kepada teknologi dan pengetahuan terkini dalam bidang  Sains Forensik yang telah digubal secara teliti setelah mengambil kira program yang serupa daripada Universiti terkemuka di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia. Tenaga pengajar bahagian forensic di PPSK dibantu oleh pengajar pusat pengajian lain USM serta kakitangan Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Polis Di Raja Malaysia supaya program yang ditawarkan dapat dijalankan dengan licin dan cemerlang. PPSK berharap melalui bidang program Sains Forensik ini, dapat melahirkan graduan berintektual dan professional dalam bidang Sains Forensik, melahirkan ahli forensic yang beretika tinggi dan bertanggungjawab serta mentransformasikan ilmu pengetahuan dalam bidang forensik untuk pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat. Penawaran program ini oleh USM pastinya dapat menampung keperluan pakar Sains Forensik yang diperlukan oleh negara kita.

Universiti kedua yang menawarkan program Sains Forensik ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program Sarjana Muda Sains Forensik UKM diperkenalkan pada Sesi Pengajian 2005/2006 di Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur.  Justifikasi Penubuhan adalah untuk memenuhi keperluan tenaga manusia dalam bidang Sains Forensik, menyahut keperluan Rancangan Malaysia ke-8 dalam menangani kes jenayah, menyelaras keperluan industri, meningkatkan  kapasiti enrolmen dalam bidang Sains, penjimatan pertukaran mata wang asing dengan mengadakan kursus ini dalam negara, meningkatkan penyelidikan Sains Forensik dalam negara, menyediakan prospek kerjaya graduan yang lebih terjamin selain merupakan kursus alternatif  bidang
kesihatan. Misi program ini adalah untuk graduan Sains Forensik yang memahami keperluan asas berkaitan kerjaya Sains Forensik,memperkembangkan ilmu Sains Forensik di kalangan Ahli Sains Forensik, melahirkan graduan yang berfikiran objektif, kritikal dan berupaya berfikir secara bukan  konvensional. Manakala visinya ialah melahirkan graduan yang mempunyai asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh dalam bidang siasatan jenayah serta menjadi pusat dan rundingan kes berkaitan forensik. Melalui program ini, pelajar dilatih menyelesaikan kes forensik dan teknik membentangkan hasil siasatan. Tujahan Penyelidikan Program Sains Forensik merupakan aplikasi sains forensik di lapangan melalui pengurusan tempat kejadian dan makmal forensik. Semua Pakar Runding UKM bekerjasama memartabatkan nama Fakulti dalam bidang Rundingan. Khidmat rundingan Sains Forensik melibatkan kepakaran kesemua ahli Program Sains Forensik. UKM juga bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membentuk kerjasama latihan industri, penyelidikan dan pengajaran berkaitan siasatan kebakaran. Latihan  kepakaran iaitulatihan kursus asas Crime Scene Investigation (CSI) juga diajar kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) melalui pakarunding  Program Sains Forensik yang telah diiktiraf sebagai tenaga pakar melatih kursus asas CSI kepada anggota APMM. Semoga
UKM terus proaktif mengadakan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan Malaysia agar dapat meningkatkan lagi kemahiran anggota penguatkuasaan Malaysia dalam bidang Sains Forensik serta member pendedahan kepada pelajar Sains Forensik Universiti berkenaan realiti sebenar dunia forensik. Dengan ini, graduan Sains Forensik UKM akan mempunyai pengalaman yang meluas dan ini akan menjadi nilai tambah kepada mereka untuk menjawat
jawatan dalam bidang sains forensik di mana-mana organisasi.



Universiti seterusnya yang menawarkan program seumpama ini ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) . Universiti ini menawarkan program  Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia (Analisis Forensik). Kurikulum program selama tiga  tahun yang dijalankan di UiTM Shah Alam ini dirangka untuk memberi asas kimia yang kukuh dengan penekanan khusus dalam kaedah analisis yang digunakan dalam makmal forensik.  Pelajar akan diberi pendedahan kepada bidang-bidang tertentu sains forensik termasuk analisis arson, bahan letupan dan dokumen, analisis serologi dan DNA forensik, serta toksikologi. Mahasiswa akan didedahkan kepada prosedur pengumpulan bahan bukti dari tempat kejadian untuk dibentangkan di mahkamah. Lima kursus elektif ditawarkan iaitu ‘criminology and criminal justice’, ‘criminal law and evidence’, ‘toxicology’, ‘environmental chemistry atau ‘atmospheric chemistry’ dan ‘food chemistry’ atau ‘principles of biotehnology’. Mahasiswa berpeluang untuk memperoleh pengalaman kerja melalui latihan industri selama empat bulan. Graduan juga boleh melanjutkan pengajian mereka pada peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah untuk menjadi kumpulan profesional dalam bidang tersebut bagi memenuhi keperluan tenaga kerja semasa. Selain penawaran program ini, UITM juga telah menubuhkan Institut Sains Forensik (ISF). Penubuhan  ini mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),meletakkan UiTM sebagai institusi pertama bekerjasama dengan PDRM untuk ISF. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM pada awal penubuhan program ini, Prof Dr Azni Zain Ahmad  menyatakan bahawa UiTM memandang serius dalam membantu PDRM menyelesaikan kes jenayah dan mengharapkan program itu dapat memberi pendedahan kepada pelajar dalam menjalani latihan forensik menggunakan konteks yang betul. Katanya, di samping itu,  penubuhan itu juga merumuskan keperluan latihan di pelbagai peringkat dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan institusi pendidikan dalam bidang sains forensik dalam dan luar negara. “UiTM ialah universiti terbesar di Malaysia berdasarkan saiz dan penduduk serta antara universiti inovatif dan keusahawanan di Malaysia kerana ia membentuk hubungan dengan sektor perindustrian yang banyak dan pelbagai,”  katanya pada sidang media sebelum ceramah Institut Sains Forensik pada awal penubuhannya dahulu. Graduan bagi program ini mempunyai skop kerjaya yang luas di dalam industri kimia atau lain-lain yang berkaitan, di antaranya,Pegawai Penyelidik Pensyarah, Ahli Kimia di Makmal Forensik, Pegawai Sains, Pegawai Kawalan Mutu, Pengurus Syarikat/Projek, Penyelia Pengeluaran , Jurutera Rekabentuk , Eksekutif Pemasaran, Ahli Korporat, Usahawan serta Perunding. Sememangnya, graduan UiTM sentiasa menjadi pilihan pelbagai organisasi kerana pelajar UiTM cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik tetapi juga segi kreadibiliti dan juga sahsiah diri. Ciri-ciri seperti inilah yang menjadi keutamaan setiap organisasi kerana melalui pekerja yang sebegini, prestasi organisasi akan dapat dipertingkatkan.


Selain itu,Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga menawarkan program Forensik Sains. UTM menjadi pusat pengajian tinggi pertama di rantau Asia mewujudkan kursus Sarjana Sains (Sains Forensik) . Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada awal penubuhan program itu, Prof. Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata kursus bermula pada sesi akademik Julai itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan penyelidikan dan pembelajaran termasuk menggunakan kemudahan makmal forensik PDRM di Cheras,Selangor. “Pada permulaanya,seramai 14 pelajar telah  mengambil kursus itu dan mereka  menjalani latihan praktikal di makmal forensik PDRM pada (Mei-Jun) pada tahun hadapan”,  katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahamann (Mou) antara UTM dan PDRM . “Selain itu, para penuntut akan mengikuti sesi ‘Moot Court’ (perbicaraan olok-olok) bagi mendedahkan mereka kepada suasana mahkamah dan bagaimana bertindak sebagai saksi pakar”,  katanya. Beliau berkata kerjasama dengan PDRM yang bermula sejak lima tahun lalu,  akan menjadi jambatan ke arah kecemerlangan UTM sebagai Pusat Pembelajaran dan Penyelidikan Sains Forensik di Malaysia dan di rantau Asia serta menjadi daya tarikan kepada saintis forensik terbaik dari dalam dan luar negara. Menurutnya kursus itu juga dibuka kepada anggota polis yang berminat dalam bidang saintifik itu. Prof. Ir. Dr. Siti Hamisah berkata langkah
mewujudkan kursus sains forensik tepat pada masanya berikutan keperluan mendesak pakar-pakar dalam bidang itu yang berperanan bagi membantu pihak berkuasa mencari bukti yang boleh dibawa ke mahkamah. Katanya lagi, "Kerjasama ini perlu diperluaskan kepada pelajar sarjana muda sains dalam bidang kimia sertabidang forensik lain seperti komputer forensik dan kejuruteraan forensik,". Beliau berkata antara skop kerjasama MoU yang ditandatanganidengan PDRM itu meliputi program pertukaran kakitangan dan penyelidik, kemudahan staf dan penyelidik yang akan menjalani pengajian peringkat sarjana muda dan pasca siswazah, penerokaan bidang penyelidikan yang baru selaras dengan bidang sains forensik, penggunaan bersama kemudahan makmal penyelidikan dan perpustakaan. MoU itu antara lain akan memberi faedah bagi semua hasil penyelidikan yang dijalankan bersama akan menjadi harta intelek bersama dan kedua-dua pihak berhak mendapat royalti. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara pada ketika itu iaitu Datuk Ismail Omar berkata kerjasama ini dapat meningkatkan kecekapan penyiasatan polis serta mampu meningkatkan sistem keadilan yang lebih sempurna serta memenuhi harapan masyarakat. "Ia akan menjadikan tahap penyiasatan lebih bermutu,  kemas dan efisien bagi membantu mahkamah membuat pengadilan," katanya. Selain itu, makmal forensik PDRM juga akan dapat dipertingkatkan kepakarannya apabila pensyarah UTM dilantik sebagai pakar rujuk kepada makmal itu. Melalui kerjasama itu, PDRM akan menerima pelantikan pensyarah UTM sebagai pakar kepada makmal forensik PDRM dan pelantikan pegawai-pegawai makmal forensik PDRM sebagai pemeriksa luar kepada pelajar-pelajar Sarjana Sains Forensik UTM. Selain itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Kimia Malaysia juga mengadakan MoU bagi menjalin kerjasama penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang sains forensik. Menerusi perjanjian itu kedua-dua pihak berpeluang melakukan penyelidikan secara bersama. Kerjasama berkenaan membolehkan kakitangan UTM dan Jabatan Kimia berpeluang menggunakan kemudahan yang terdapat di jabatan masing-masing bagi mempertingkatkan hasil penyelidikan. “Kakitangan UTM berpeluang menggunakan kemudahan makmal di Jabatan Kimia, bagi menjalankan penyelidikan manakala kakitangan Jabatan Kimia dibenarkan menggunakan perpustakaan di UTM bagi membuat rujukan. Selain itu kedua-dua pihak bersetuju bertukar kakitangan, bahan rujukan, penulisan dan maklumat mengenai kajian kimia, terutama dalam bidang sains forensik,"  katanya. Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UTM dan Jabatan Kimia Malaysia, di Skudai di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kimia pada waktu tersebut iaitu  N. Hithaya Jeevan.Siti Hamisah berkata, 10 pelajar sarjana sains forensik di UTM yang memulakan kursus pada Julai lalu berpeluang menggunakan kemudahan praktikum di makmal forensik Jabatan Kimia. Menurutnya, mereka juga berpeluang menimba pengalaman dan mempelajari cara-cara pakar forensik di jabatan itu mengendalikan kes-kes berkaitan mahkamah. ''Pengalaman seumpama itu amat berguna kerana setiap pelajar dikehendaki mengambil satu projek penyelidikan pendek yang mempunyai permasalahan forensik,'' katanya. Kerjasama itu bukan sahaja untuk pelajar pasca siswazah malah diperluaskan kepada pelajar sarjana muda sains dalam bidang kimia serta forensik lain seperti komputer forensik dan kejuruteraan forensik. Bagi mengikuti program, pemohon perlulah mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Sains) Sains Forensik samada dalam bidang Kimia atau bidang yang berkaitan dengan mendapat memperoleh keputusan yang cemerlang dari institusi pengajian terdahulu. Selain itu,pemohon juga perlulah mempunyai pengalaman kerja dalam bidang forensik selama dua tahun.  Program tiga semester yang mengambil masa selama 3 tahun ini merangkumi  tiga kursus elektif,satu kursus universiti
dan projek thesis forensik. Program kerjasama daripada pelbagai institusi khususnya dengan PDRM dan Jabatan Kimia Malaysia membuktikan bahawa UTM begitu koimited dalam menyediakan pakar dalam bidang Sains Forensik. Semoga UTM terus mengadakan kerjasama dengan pelbagai institusi dan agensi penguatkuasaan Malaysia serta menjadi  universiti yang cemerlang dalam bidang Sains Forensik bukan sahaja di seluruh rantau Asia,
bahkan di seantero dunia.

Kesimpulannya, bidang Sains Forensik merupakan suatu bidang yang amat penting di negara kita. Masyarakat seharusnya membuka mata tentang bidang sains forensik di negara kita. Kita perlu tahu serba sedikit bagaimana bidang ini bermula di negara kita, organisasi yang memainkan peranan penting dalam bidang ini, dan kepentingannya kepada kesejahteraan manusia sejagat. Masyarakat juga perlu cakna akan situasi jenayah di sekeliling. Pihak agensi penguatkuasaan khususnya PDRM tidak menuntut masyarakat memberikan kerjasama sehingga membahayakan nyawa,cukup sekadar menjadi mata dan telinga pihak polis  serta menyalurkan maklumat untuk sama-sama membanteras kegiatan jenayah. Tindakan yang kecil dan dianggap remeh selalunya akan memberi impak yang besar. Hal ini penting supaya mereka dapat menyalurkan maklumat seberapa segera sekiranya mengesyaki adanya perlakuan jenayah sekeliling mereka. Oleh itu, agensi penguatkuasaan khususnya PDRM akan dapat bertindak dengan secepatnya. Sesungguhnya, tindakan pantas selalunya akan dapat menyelamatkan nyawa insan yang tidak berdosa.  Ibu bapa yangmempunyai anak yang berminat akan sains forensik perlulah memahami minat anak mereka dan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bagi. Sikap ibu bapa yang prihatin akan kehendak dan minat anak mereka akan mendorong anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya menggapai cita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang forensik ke peringkat yang lebih tinggi. Pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang sains forensik. Pendedahan awal penting kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Pihak sekolah boleh mengambil inisiatif dengan mengadakan pameran berkaitan jenayah semasa serta mendedahkan kepada pelajar bagaimana ilmu sains forensik itu dimanfaatkan untuk menyelesaikan kes jenayah. Melalui pameran sebegini, para pelajar bukan sahaja akan lebih cakna akan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka, bahkan juga dapat menimba ilmu sains forensik . Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu memainkan peranan proaktif untuk menjadikan bidang sains forensik sebagai suatu bidang yang terpenting dan terkemuka di negara kita. Langkah yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan memperluaskan lagi penawaran program forensik di peringkat universiti selain empat universiti yang sudah menawarkan program ini iaitu USM, UKM, UiTM dan UTM. Melalui langkah ini, diharapkan Malaysia dapat melahirkan lebih ramai golongan professional dalam bidang sains forensik. Langkah kedua yang boleh diambil oleh kerajaan Malaysia ialah dengan mengadakan lebih banyak kerjasama pada peringkat antarabangsa dengan institut-institut forensik seluruh dunia supaya wujudnya perkongsian idea demi memastikan negara-negara yang menyertai kerjasama ini mendapat manfaatnya. Langkah ini tidak mustahil akan mencapai matlamatnya kerana ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.  Diharapkan dengan wujudnya kerjasama semua pihak yang berganding bahu ‘bagai aur dengan tebing’, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang unggul dalam bidang sains forensik serta menjadi rujukan seantero dunia dalam bidang ini.

(8136 Patah Perkataan)


BIBLIOGRAFI

INTERNET
1)      Laman web rasmi Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
a)      Fungsi Bahagian Forensik :

       

i)        Fungsi Bahagian Narkotik


ii)       Fungsi Bahagian Toksilogi


iii)     Fungsi Bahagian DNA Forensik



iv)     Fungsi Bahagian Kriminalistik


v)      Fungsi Bahagian Bahagian Pemeriksaan Dokumen


b)      Sejarah Penubuhan Jabatan Kimia Malaysia



2)      Laman Web Rasmi  Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM)
a)      Program Sains Forensik USM




3)      Laman Web Rasmi Galeri Polis Di Raja Malaysia (PDRM)
a)      Sejarah Makmal Forensik PDRM



4)      Laman Web Rasmi Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST)
a)       Diploma Teknologi Makmal Perubatan



5)      Laman Web Rasmi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
a)      Program Sains Forensik Peringkat Master di UTM



6)      Blog ‘Sains Forensik Info’
a)      Program Sains Forensik



7)      Blog ‘Pilihan Kerjaya Anda’
a)      Pengenalan Kepada Forensik



8)      Blog ‘Forensic Science Specialist ’
a)      Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik USM



9)      Blog ‘Forensic Science 07/08 Universiti Sains Malaysia (USM) ’
a)      Sains Forensik






10)  Blog ‘KhaiAngel’
a)      Diploma Teknologi Makmal Perubatan



11)  Wikipedia
a)      Sains Forensik





KERATAN AKHBAR

1)      Utusan Melayu
a)      Artikel Bertajuk ‘Cabaran Sains Forensik’, Khamis, 26 Februari 2009.
b)      Artikel Bertajuk, ‘Sains Forensik Bantu Rungkai Kes Jenayah’, Isnin, 2 Januari 2012.
c)      Artikel Bertajuk ‘Kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik untuk Anggota Bomba di UKM’, Rabu, 23 Februari 2011.

2)      Harian Metro
a)      Artikel Bertajuk ‘UiTM Orak Langkah Jadi Pusat Forensik Terkenal’, Selasa, 22 Mei
2012.



MAJALAH

1)      Majalah estidotmy Edisi 113, Rabu 28, November 2012
a)      Artikel Bertajuk ‘Peranan Jabatan Kimia’, muka surat 4 dan 5.
b)      Artikel Bertajuk ‘Cabaran Sains Forensik’, muka surat 6 dan 7.
c)      Artikel Bertajuk ‘Unik Forensik PDRM’, muka surat 8 dan 9.
Artikel Bertajuk ‘ Chit-chat: Forensik Integrasikan Sains
dengan Undang-Undang – Jeevan’, muka surat 16 dan 17.
RISALAH
1)      Program Ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
a)      Program Sains Forensik



KAMUS

1)      Kamus Dewan Edisi Keempat
a)      Perkataan ‘Sains’ dan ‘Forensik’
2)      Kamus Peribahasa Istimewa Bahasa Melayu
a)      Peribahasa ‘bagai cendawan tumbuh selepas hujan’
b)      Peribahasa ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’
c)      Peribahasa ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’
d)     Peribahasa ‘jauhari juga yang mengenal manikam’
e)      Peribahasa ‘seikat bak sirih,serumpun bak serai’
f)       Peribahasa ‘bagai aur dengan tebing’
g)      Peribahasa ‘angan-angan Mat Jenin’
h)      Peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’
i)        Peribahasa ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’


VIDEO
1)      YouTube
a)      Teknologi Sains Forensik

LISAN

1)      Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia


4 comments:

  1. As salam..Inginkan pencerahan..Macam mana nak mohon melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan instutusi manakah yang menawarkan program ini..inginkan pencerahan di mfmtircs@gmail.com / 0125605704

    ReplyDelete
  2. As salam..Inginkan pencerahan..Macam mana nak mohon melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan instutusi manakah yang menawarkan program ini..inginkan pencerahan di mfmtircs@gmail.com / 0125605704

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau dari diploma sains UiTM, anda boleh mengambil penerapan under fakulti sains gunaan dan kursus yang ditawarkan adalah ijazah sarjana muda (Kepujian) kimia analisis forensik. kalau saluran dari asasi, mungkin boleh melalui upu ataupun cuba ke portal UTM, USM dan UiTM dan kaji dengan lebih lanjut syarat kemasukan dan permohonan dibuka bermula dari bila. rasanya, terpulang anda lepasan dari mana. maaf andai salah.

      Delete
  3. TERIMA KASIH. PENULISAN SAUDARI BANYAK MEMBANTU SAYA DALAM KERJA SAYA

    ReplyDelete