Monday 24 November 2014

Kasih Sayang Disemai Perpaduan Dituai



Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang barakah dan di dalam rumah Allah SWT yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa yakni melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan mulia dan soleh wa-musleh. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian duniawi amnya dan ukhrawi khususnya . Mimbar hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk ‘Kasih Sayang Disemai Perpaduan Dituai’.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Secara amnya, konteks kasih sayang dalam Islam amatlah luas dan tidak terbatas. Sesungguhnya Allah SWT adalah sumber kasih sayang. Dia adalah ar-Rahman dan ar-Rahim, iaitu Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kasih sayang-Nya tidak berpenghujung, tidak bertepian dan tidak terjangkau, serta tidak pernah habis atau berkurang. Kasih sayang-Nya digambarkan melalui nikmat-Nya yang tidak terperi serta meliputi lagi melimpah ruah kepada  sekecil-kecil makhluk sehinggalah kepada sebaik-baik ciptaan iaitu manusia sebagaimana yang dijelaskan melalui an-Nuur:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agama-Nya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan  mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnian-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.(al-Maa’idah:54)
Malahan, Rasulullah SAW juga sangat sayang akan umatnya. Perihal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan umatku adalah seperti seseorang yang menyalakan api, lalu binatang-binatang melata dan nyamuk berduyun-duyun datang kepada api tersebut. Manakala aku telah berusaha memegang tali pinggang kamu, namun kamu masuk ke dalam api tersebut.
Di samping itu, Allah SWT juga mengambarkan sifatnya ini melalui firman-Nya dalam al-Busyraa :
لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ 
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu
 sendiri,berat terasa olehnya penderitaannmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu’min”. (at-Taubah :128)

Izharnya, kasih sayang adalah ramuan utama resipi kehidupan. Andai bapa tiada sekelumit kasih kepada anak-anak, suami isteri tidak mengasihi, orang tua tidak mengzahirkan kasih kepada orang muda dan sesama sahabat tiada perasaan kasih sayang, begitu juga pemimpin tiada kasih sayang kepada marhaennya, impaknya tiadalah kebahagiaan. Rentetan ini, timbullah pelbagai anasir subversif  yang boleh menggugat perpaduan ummat di dunia ini walhal kasih sayanglah yang menerasi perpaduan ummat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam meniti kehidupan pada marcapada, acapkali kita disogok rencaman isu kedekadenan moral yang tiada noktah bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Malahan  isu ini menjadi dominasi utama dada-dada akhbar bahkan menjadi ‘duri dalam daging’  kepada masyarakat muasir. Segelintir manusia tergamak mengugut malah membunuh ibu bapa sendiri , insan naif tamsilnya kanak-kanak dan warga emas dianiaya, anak yatim yang sepatutnya ditatang bagai minyak yang penuh dizalimi dan dirampas hak mereka, variasi pidana bermaharajalela, malahan pesta dadah dan seks bebas seakan-akan menjadi rencah kehidupan segelintir remaja alaf ini natijah berkiblatkan nihilisme mengakibatkan budaya hedonisme subur bersarang di jiwa dan minda. Bahkan jika kita  perhatikan dan amati, menjadi suatu fenomena  di  laman siber  di mana media sosial menjadi instrumen perdebatan lantaran wujudnya percanggahan pendapat dan buah fikiran. Semata-mata ingin menjadi jaguh di alam maya, ‘keyboard warrior’  sangat obses dan  bermati-matian melontarkan pandangan bernas mereka persis inteligensia bahkan tegar mengenepikan kebenaran dan menegakkan yang batil sehinggakan setiap bait-bait kata yang mereka lontarkan tidak lagi mencerminkan sahsiah rakyat Malaysia yang penuh dengan adab susila dan sopan santun . Jelas tergambar, rapuhnya unsur kekitaan dan tandusnya toleransi sesama kita walhal Islam sangat menganjurkan umatnya hormat-menghormati sebagaimana termaktub dalam al-Furqan:
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah Al-Anfaal, 46)
Rohaniah dan insani yang dipandang enteng mencetuskan persoalan di gawang minda kita sementelahan memberi indikator  serta bukti konklusif kepada kita bahawa tipisnya kasih sayang serta merudumnya keluhuran budi dan ketulusan hati di sanubari mereka sehingga tidak dapat membedakan antara intan dan kaca. Impaknya, bagaimana perpaduan dapat diperkasa andai kasih sayang tidak dijadikan amalan hidup sedangkan kasih sayang merupakan rencah kehidupan yang vital.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berbalik kepada mauduk khutbah, kehakikiannya ,perpaduan hanya akan dapa dilestarikan andainya kasih sayang menjadi tunjang  utama iaitu pokok pangkalnya bermula daripada individu, yakni diri kita sendiri. Pada lahiriahnya, hati setiap  personalis diciptakan dengan penuh sifat  mahmudah termasuk  kasih sayang. Hal ini digambarkan dalam ar- Ruuh melalui Surah al-Maryam ayat 96:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.”(Surah al-Maryam:96)
Kasih sayang yang fundamental  ini sepatutnya diaplikasikan secara holistik dalam kehidupan fana.Kita seharusnya bijak mengekang diri dan membendung nafsu daripada terbiasa dengan sifat-sifat mazmumah terutamanya sikap individualistik  seperti nafsi-nafsi. Sebaliknya, seelok-eloknya , kita lazimi sifat tolak ansur dan toleransi sebagai norma muasir. Andai kita mampu kekalkan sifat mahmudah ini, In Shaa Allah perasaan kasih sayang akan bertambah seterusnya silaturrahim akan lebih teguh.
Ghalibnya, kulawarga yang bahagia ialah apabila ahli kulawarga saling bertolak ansur dan sebulat suara dalam segenap perkara. Menjadi obligasi ibu bapa yang mempunyai kuasa veto mewarnakan jiwa anak-anak dengan menyuntikkan kasih sayang sesama anggota kulawarga dengan mencedok ilmu berpaksikan minhaj dalam al-Mau’izhah  kerana sesungguhnya al-Bayaan adalah panduan ideal sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Israa’ ayat 9:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (al-Israa’:9)
Anak-anak seyogia ditarbiah supaya menjadikan kasih sayang sebagai nadi  kehidupan mereka sedari kecil persis mutiara kata ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ kerana ‘anak-anak umpama kain putih,ibu bapa yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi’, sementelahan lebih afdal jika kita menjadikan keperibadian juga ketrampilan Rasulullah SAW sebagai uswah bitara. Kasih sayang ini andai dipasakkan dalam atma, maka akan lahirlah sebuah kulawarga mapan yang hidup bersalutkan kasih sayang dan berbumbungkan muafakat berkat kolaboratif ibu bapa khususnya.
Seterusnya, kita disarankan menonjolkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan secara progresif dan optimum di kawasan setempat , bukannya bersikap egosentrik dan evasif persis aforisme ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ serta sombong seperti ‘merak kayangan’. Kontradiksinya, Islam mengajar kita bersandar pada falsafah hidup ‘bagai aur dengan tebing’ seperti yang termaktub dalam al-Hudaa:
Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Surah Al-Anfaal, 73)
Sebenarnya, melalui aktiviti kemasyarakatan, kita dapat mencuri  ruang dan peluang untuk saling bertanya khabar selain dapat mencambahkan lagi benih-benih  kasih sayang dalam diri masing-masing. Rentetan ini, kata sepakat akan dicapai dalam segenap perkara seterusnya menaikkan lagi martabat umat Islam khususnya. Berbalik kepada konotasi, sebagai pengitlakannya ,usahlah kita bersilengah lagi, sebaliknya kembalilah kepada nawaitu kita untuk menjadi masyarakat yang dinamik dengan meneladani perpaduan kaum Muhajirin dan Asar seterusnya bersama-sama menuju falah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di samping itu, warga pendidik bertanggungjawab menjadikan alma mater sebagai medan interaksi sosial yakni heterogen prakarsa  diimplementasikan demi menyemai benih-benih kasih sayang sesama warga institusi pendidikan seterusnya  mengutuhkan lagi tali-temali perpaduan demi kemaslahatan masyarakat madani amnya. 
Lain daripada itu, perpaduan disemarakkan melalui tampok kita yang berusaha mendampilkan nilai kasih sayang sesama murba melalui penganjuran pelbagai alpukah . Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 7 Mac yang lalu menggambarkan wasilah kasih sayang muasir di mana mereka saling memberi sokongan moral dan emosi kepada keluarga kru penerbangan dan penumpang MH370 tanpa mengira kepentingan politik,agama, dan bangsa . Tuntasnya, kita hendaklah sentiasa mentaati pemimpin sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi:
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ، وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ
Hendaklah kamu bersama jama’ah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jama’ah”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Melabuhkan tirai khutbah pada minggu ini, sempena Bulan Dakwah Negara 2014, mimbar menuntut sinergi juga kesiagaan saf umat Islam agar swadaya mengimarahkan lagi kasih sayang dan mengikis sikap jumud dengan  mengambil iktibar melalui sifat kasih sayang Allah SWT dan Rasulullah SAW terhadap hamba dan umatnya yang tiada bersempadan itu dengan melazimi semangat wassatiyah sebagai tonggak kesatuan ummah. Semoga dengan wujudnya adunan kasih sayang yang mendalam dan tidak bertepian antara semua umat Islam dalam mendepani abad millennium ini, dapat menginterpretasikan aspirasi kudsi negara untuk menjadi adiwangsa yang gah di persada sarwajagat seperti mana Islam pada pemerintahan Bani Umayyah yang berjaya menakluk dua pertiga dunia berkat penyatuan hati dan fikiran ummat Islam yang dinamis. Akhirulkalam, marilah sama-sama renungkan firman-Nya dalam ar-Rahmah melalui surah al-Imran ayat 103:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Al ‘Imran: 103)

(1548Patah Perkataan)


No comments:

Post a Comment