Monday 24 November 2014

Zakat Saham: Strategi Pemasaran dan Dakwah Berkesan




Sekitar Majlis Penyampaian Hadiah






Dan, inilah eseinya...heeee ;D
PENDAHULUAN
            Secara amnya, zakat merupakan suatu ibadah yang dapat membangun dan menghidupkan hati nurani. Zakat  juga menarik keinginan mukallaf untuk mencapai ganjaran Allah SWT di samping merasa gerun terhadap azab-Nya. Sesungguhnya, sistem zakat merupakan tunjang kepada kejayaan sistem jaminan sosial Islam yang diketengahkan dan diwajibkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud : “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat” (Al-Baqarah 2:43). Kepentingan zakat dalam Islam digambarkan melalui kedudukan yang merupakan rukun Islam ketiga iaitu sesudah mengucapkan dua kalimah syahadah dan mendirikan sembahyang.

Terdapat pelbagai jenis zakat antaranya ialah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat emas, zakat perak, zakat pertanian dan juga zakat ternakan. Namun, daripada pelbagai jenis zakat tersebut, masyarakat selalunya kurang cakna akan zakat saham. Apakah yang dimaksudkan dengan saham? Menurut bahasa, kalimah ‘saham’ berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud bahagian yang dimiliki. Menurut istilah pula, saham menurut Kamus Dewan Bahasa bermaksud bahagian dalam modal sesuatu perniagaan. Manakala, menurut Kamus Ekonomi pula,  saham bermaksud modal sah syarikat yang dicarumkan oleh pemilik. Saham juga merupakan wang yang dilaburkan dalam syarikat atau perniagaan. Yusoff Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh-Zakat mendefinasikan saham sebagai kertas berharga yang diperniagakan dalam transaksi-transakasi perdagangan. Bagi sijil-sijil saham dalam sesebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, ianya mudah untuk dijadikan wang tunai dibandingkan dengan saham dalam syarikat yang tidak disenaraikan di Bursa Malaysia atau saham dalam koperasi. Pemilik saham adalah pemilik syarikat dan berkongsi keuntungan atau kerugian sesebuah syarikat. Prestasi sesebuah perniagaan biasanya boleh diukur melalui dividen yang diagihkan dan juga harga atau nilai saham seperti tersenarai di pasaran saham. Untuk pembayaran zakat saham, saham yang dibeli dari wang sendiri sahaja dikira untuk zakat saham manakala bahagian yang dibeli melalui pinjaman hendaklah ditolak kerana tidak sempurna milik.

Dalil dan hujah yang mewajibkan zakat saham adalah melalui surah Al-Baqarah ayat 267: “ Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu memilih yangburuk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji.” Dalil Athar pula menyebut- Daripada Abi Amru Ibnu Hammas daripada bapanya, dia berkata: “Dia menjual kulit dan bekas panah daripada kulit”. Kemudian Umar Ibn Khattab singgah padaku. Dia bertanya: “Adakah engkau keluarkan sadaqah (zakat) hartamu?” Aku menjawab : “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya ia adalah kulit” Umar berkata : “Taksirlah kemudian keluarkan sadaqahnynya”. Menurut fatwa  di bawah seksyen 47 Enakmen Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang telah  diwartakan pada 31 Mac 2011, memutuskan kewajipan zakat saham adalah seperti berikut,  “  Hukum  zakat ke atas saham yang dilaburkan di pasaran modal adalah wajib sama seperti zakat perniagaan (Arud Tijarah), tidak kira samada untuk tujuan pelaburan saham itu adalah untuk diniagakan (jual beli) atau disimpan”.

Bagi yang tidak mempunyai saham, mungkin mereka tidak terlalu cakna akan perkara ini, tetapi bagi mereka yang memiliki saham, adalah suatu kewajipan untuk mereka memahami dan melaksanakannya kerana zakat saham adalah wajib bagi mereka yang telah menepati syarat-syaratnya. Oleh itu, suatu langkah drastik melibatkan kerjasama semua pihak perlu diambil bagi memberi pendedahan kepada orang ramai, khususnya pelabur saham Muslim akan pentingnya zakat saham ini.Persoalannya, apakah strategi pemasaran dan dakwah berkesan yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak?


1.PERANAN MEDIA CETAK,MEDIA ELEKTRONIK,MEDIA SOSIAL
Pada era langit terbuka ini, medium yang paling dekat untuk mendedahkan orang ramai berkenaan zakat saham ialah melalui internet. Dengan liputan internet yang meluas di segenap tempat, masyarakat boleh mengakses maklumat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Melalui kemudahan seperti inilah dapat membantu organisasi khususnya Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Lembaga Zakat Negeri menyalurkan maklumat berkaitan organisasi, aktiviti yang diadakan dan Info pelbagai jenis zakat khususnya zakat saham,dari masa ke semasa. Laman web rasmi yang tersusun kemas, rapi,menarik memastikan carian maklumat dapat dilakukan dengan mudah dan menjamin keselesaan pengunjung yang mengunjungi laman web tersebut. Selain laman web rasmi, seiring dengan kemajuan teknologi yang saban hari semakin canggih, media sosial juga merupakan suatu medium yang memainkan peranan yang amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai. Terdapat pelbagai jenis media sosial pada masa ini antaranya Facebook, Twitter, WeChat, WhatApps, Line, ChatOn dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, media sosial yang paling menjadi tumpuan ketika ini ialah Facebook kerana ianya boleh diakses melalui komputer peribadi, komputer kerja, tablet dan juga telefon pintar, berbanding media sosial yang lain yang hanya terhad untuk akses melalui telefon pintar dan tablet sahaja. Oleh itu, kakitangan Lembaga Zakat Negeri perlulah bijak memaanfaatkan kecanggihan teknologi dengan mewujudkan akaun Facebook rasmi dan apa yang paling penting, akaun tersebut perlulah sentiasa aktif  supaya maklumat dan berita terkini dapat disalurkan secara pantas dan tepat kepada orang ramai. Bukan itu sahaja, maklumat berkenaan pelbagai jenis zakat khususnya zakat saham perlulah disalurkan semaksima mungkin untuk memberi pengetahuan kepada orang awam. Dengan adanya medium sosial seperti Facebook, sudah pastinya segala maklumat berkaitan zakat saham dapat sampai kepada masyarakat negara ini  kerana Malaysia merupakan Negara ke-18 pengguna paling ramai menggunakan Facebook yang mana mewakili 70% penduduk Malaysia iaitu seramai 12,747,100 pengguna. Selain itu, usaha-usaha peningkatan kefahaman zakat saham juga perlulah dilaksanakan secara berterusan oleh institusi zakat seperti publisiti radio dan tv, kempen, pengiklanan di majalah dan akhbar, ‘electronic billboard’ serta sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya . Dengan kemudahan teknologi di hujung jari ini, tidak mustahil maklumat berkaitan zakat saham akan dapat disalurkan semaksima mungkin kepada masyarakat.


2.PELBAGAIKAN KAEDAH BAYARAN ZAKAT SAHAM
            Dari masa ke semasa, pelbagai kaedah dilaksanakan bagi memudahkan para pembayar zakat saham menunaikan kewajipan mereka. Salah satunya ialah denganmenyediakan sistem pembayaran  melalui pelbagai medium. Sistem pembayaran yang paling ideal pada masa kini ialah melalui aplikasi dalam talian. Sebagai contoh, orang ramai boleh berzakat secara aplikasi dalam talian melalui Laman Web Rasmi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang mana pelabur boleh mentaksir , membayar dan seterusnya menyemak pembayaran zakat saham mereka. Kaedah kedua ialah melalui perbankan internet yang sememangnya mudah kerana semakin banyak bank yang terlibat, antaranya ialah Bank Islam, Maybank, RHB, Public Bank,Bank Rakyat, Affin Bank dan pelbagai jenis bank lagi.Bukan itu sahaja, pembayaran zakat saham juga boleh dibuat melalui pos, kaunter bank dan perbankan telefon di samping kaunter pusat zakat sendiri.Dengan kepelbagaian cara dan kaedah membayar zakat saham, pembayar zakat dapat berurusan dengan institusi pengurusan zakat dengan lebih mudah, dan sekaligus kutipan zakat saham dapat ditingkatkan.


3.BULAN EJEN KUTIPAN ZAKAT SAHAM
            Strategi pemasaran yang ketiga ialah melalui pelancaran Bulan Ejen Kutipan Zakat Saham. Satu bulan khusus perlu ditetapkan untuk mengendalikan urusan berkaitan pembayaran zakat saham. Mengambil contoh yang paling signifikan, baru-baru ini, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan Bulan Ejen Kutipan Zakat yang berlangsung selama dua bulan iaitu bermula 17 Oktober hingga 16 Disember 2013, bagi mempromosikan kemudahan bayaran zakat  menerusi ejen kutipan yang telah dilantik kepada umum. Adalah suatu langkah yang wajar jika satu bulan khusus diperuntukkan untuk pembayaran zakat saham sahaja kerana semua sedia maklum bahawa statistik kutipan zakat saham amatlah rendah. Sasaran kempen zakat saham ini ialahmereka yang berumur 20 tahun ke atas yang menjadi prospek, mahupun pelabursaham yang ingin membayar zakat saham mereka. Dengan ini, lebih ramai orangakan mengetahui lebih lanjut tentang zakat saham dan seterusnya membayar zakatsaham. Dengan adanya kempen sebegini, matlamat  untuk memberi pemahamam dan kesedaran zakat saham kepada seluruh masyarakat secara holistik bukanlah hanya ‘angan-angan Mat Jenin’ semata-mata, sebaliknya sesuatu yang sememangnya sangat yang realistik.

4.PERANAN PUSAT DAN AHLI AKADEMIK
Walaubagaimanapun, tugas ini bukanlah terletak pada bahu pusat pengurusan zakat semata-mata, bahkan semua pihak harus mengembleng tenaga berdakwah atau menyebarkan ilmu mengenai zakat kepada umat Islam. Pusat Akademik melalui kakitangannya perlu terlibat dalam pemasaran zakat saham. Sebagai contoh, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah mewujudkan Kaunter Tabung Amanah Zakat bagi memudahkan kakitangannya membayar zakat termasuk zakat saham. Mereka yang ingin membayar zakat hanya perlu memuat turun borang atau ambil di kaunter Tabung Amanah Zakat UNITEN dan seterusnya menghantarnya di Kaunter Tabung Amanah Zakat. Ahli akademik juga perlulah sentiasa bersedia menyalurkan maklumat tentang zakat saham kepada masyarakat awam. Melalui kerjasama daripada  institusi akademik sebeginilah, ilmu berkenaan zakat saham dapat disebarkan.


5. MENGADAKAN PELBAGAI JENIS PERTANDINGAN BERKAITAN ZAKAT SAHAM
Langkah seterusnya ialah melalui pertandingan seperti perbahasan, syarahan, pertandingan menulis esei dan sebagainya. Pihak berkenaan perlu mengadakan promosi yang meluas dan berkesan melalui pelbagai medium antaranya ialah media sosial seperti Facebook, blog serta twitter, media elektronik seperti radio serta televisyen, media cetak seperti suratkahabar ,majalah serta risalah dan juga pengumuman di tempat-tempat awam yang bersesuaian untuk menghebahkan sebarang bentuk pertandingan yang akan diadakan. Melalui hebahan sebegini, orang ramai akan mendapat maklumat tentang pertandingan tersebut. Sememangnya, tidak dapat dinafikan, promosi yang menyeluruh serta strategi pengiklanan yang hebat tentunya dapat memancing minat orang ramai untuk menyertai  sebarang bentuk pertandingan. Dalam situasi ini, menjadi tanggungjawab pihak penganjur untuk mengatur strategi yang bernas untuk menggalakkan penyertaan orang ramai. Salah satunya ialah dengan menganugerahkan sijil penyertaan kepada peserta tidak kira mereka memenangi tempat atau tidak. Selain itu, pihak penganjur boleh menarik minat orang ramai menyertai pertandingan dengan menawarkan hadiah yang lumayan. Dengan ini, peserta akan cuba membuat yang terbaik dalam pertandingan yang dianjurkan bagi merebut hadiah lumayan yang ditawarkan di samping menimba ilmu pengetahuan berkaitan sesuatu isu.Namun, nilai hadiah dan ganjaran tidak seharusnya dijadikan matlamat utama oleh para peserta. Matlamat yang paling utama ialah mendapakan seberapa banyak pengetahuan berkaitan zakat saham. Jika mendapat ganjaran, itu merupakan suatu bonus. Sebaliknya, jika tidak mendapat sebarang ganjaran, daripada sudut yang lain, mereka sebenarnya sudah menimba ilmu pengetahuan yang tidak ternilai berkaitan zakat saham. Ilmu inilah yang akan digunapakai oleh mereka untuk melalui kehidupan mereka di hari mendatang, juga sebagai rujukan kepada orang lain. Diharapkan dengan adanya pertandingan sebegini, dakwah berkenaan zakat saham dapat dilakukan melalui lisan dan juga melalui penulisan pena oleh peserta.


6.PROGRAM FORUM
Seterusnya, dakwah berkesan tentang zakat saham ialah melalui program dialog, diskusi, forum, ceramah dan seminar dengan matlamat memberi pemahaman kepada masyarakat berkenaan zakat saham . Dalam program sebegini, adalah suatu langkah yang bernas jika ikon muda zakat saham diwujudkan . Ikon muda ini mestilah dari kalangan wanita muslimah atau lelaki muslim yang mempamerkan teladan yang baik,mempunyai nilai murni yang hebat ,serta mahir lagi arif akan selok belok saham dan zakat saham. Mereka bolehlah dipilih dalam kalangan artis, peserta Program Imam Muda,peserta Program Pencetus Ummah atau sesiapa sahaja yang dirasakan layak, serta berkemampuan menjadi ‘role model’ dan mempunyai pengikut yang tersendiri. Ikon muda zakat saham akan berinteraksi  dan menjawab segala persoalan oleh orang ramai berkaitan zakat saham. Secara realistiknya, pelantikan ikon muda zakat saham adalah suatu tindakan yang wajar kerana umum mengetahui bahawa setiap orang mempunyai idola masing-masing yang menjadi contoh kepada mereka dalam segenap perkara.


7. ‘ROAD SHOW’
            Inisiatif yang seterusnya ialah melalui ‘road show’ promosi zakat saham di Pos Malaysia, bank-bank yang terpilih serta di syarikat pelaburan saham di seluruh Malaysia oleh kakitangan pusat zakat yang terlatih dan berpengalaman. Pelbagai persoalan berkaitan zakat saham perlu dijelaskan secara terperinci kepada orang awam dan mereka yang terlibat dalam program berkenaan. Penekanan perlulah diberikan kepada syarikat pelaburan saham iaitu  pihak syarikat melalui kakitangan pusat zakat  yang dipertanggungjawabkan  menyampaikan maklumat berkaitan zakat saham kepada pelabur modal syarikat tersebut. Dalam pada itu, risalah zakat saham juga perlulah diedarkan untuk rujukan orang ramai.  Pada dasarnya, langkah ini sangat wajar supaya orang awam khususnya pelabur mendapat kefahaman yang jelas berkenaan zakat saham.


8.PENCERAHAN MENGENAI ZAKAT SAHAM DI PUSAT AGAMA
Selain langkah yang boleh diambil sebagai dakwah berkesan ialah melalui sokongan daripada ahli jawatankuasa masjid atau surau. Masjid dan surau wajar dijadikan platform untuk memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai zakat saham. Pihak jawatankuasa surau atau kampung perlu bekerjasama dengan institusi zakat untuk mengadakan ceramah, seminar atau kursus berkaitan zakat saham. Takzirah mengenai zakat saham haruslah diadakan lebih kerap. Ironinya, aktiviti ‘turun padang’ sepatutnya lebih diperbanyakkan berbanding saluran lain kerana cara berdepan dan dari mulut ke mulut lah kefahaman dan kesedaran dapat ditanam dengan berkesan


PENUTUP
Kesimpulannya, masyarakat awam khususnya pelabur Muslim perlu sedar dan cakna akan pentingnya membayar zakat saham demi menjamin masa depan perniagaan mereka agar berkat di sisi agama. Kita sendiri juga mengetahui bahawa zakat merupakan hak asnaf, termasuk golongan fakir miskin yang telah ditentukan kadarnya, sehingga orang kaya tidak berpeluang mempersendakan orang miskin semasa menyerahkannya. Kita juga mengetahui bahawa urusan pengutipan dan pembahagian zakat ditangani sepenuhnya oleh pemerintahan Islam. Ia diagihkan kepada orang yang tidak memiliki sumber pendapatan atau memiliki pendapatan yang tidak cukup untuk memenuhi keperluan diri dan keluarganya. Lebih daripada itu, bantuan yang diberikan oleh sistem zakat kepada fakir miskin adalah bantuan yang mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan secara kekal.

Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagai ‘aur dengan tebing’  supaya pebagai cadangan strategi pemasaran dan dakwah perlu dikaji dan dipertimbangkan agar kesedaran masyarakat awam khususnya pelabur Muslim tentang zakat saham akan meningkat. Hal ini kerana masih terdapat umat Islam yang tidak mengambil berat atau tidak tahu mengenai ibadat ini. Sesetengahnya hanya tahu mengenai zakat fitrah yang wajib dibayar ketika bulan Ramadhan sahaja. Ada juga yang mengambil berat soal sembahyang, puasa dan menunaikan ibadat haji namun penghayatannya tidak sama terhadap ibadat zakat. Zakat saham juga sepatutnya menjadi teras kepada sistem ekonomi ummah. Ini kerana, matlamatnya yang dapat diterima oleh semua, iaitu pembangunan insane dan pembasmian kemiskinan secara holistik. Selain itu, prinsip dan falsafahnya yang bersifat global, mampu melangkaui setiap isu dan persoalan secara makro dan mikro. Segala inisiatif sedang dan akan dilaksanakan perlulah dilaksanakan semaksima mungkin supaya mencapai matlamatnya. Kata orang, ‘alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan’ dan ‘genggam bara api,biar sampai jadi arang’.

(2234 Patah Perkataan)



BIBLIOGRAFI

AL-QURAN
1)      Surah al- Taubah, ayat 103
2)      Surah al- Baqarah, ayat 267
3)      Surah al- Baqarah, ayat 214

INTERNET
1)      Laman Web RSami Pusat Pungutan Zakat (PPZ)
a)      Zakat Saham

b)      Fatwa Zakat

c)      Syarat Wajib Zakat

d)     Info Fidyah

e)      Perbankan Internet


                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                1
f)       Info Kaunter

g)      Nisab Zakat Tahunan



2)      Laman Web Rasmi Lembaga Zakat Selangor (LZS)
a)      Zakat Saham

3)      Laman Web Rasmi Lembaga Zakat Pahang (LZP)
a)      Zakat-Zakat Saham

b)      Zakat- Pengertian abstrak

4)      Laman Web Rasmi Lembaga Zakat Negeri Sembilan (LZNS)
a)      Kalkulator Zakat Saham
5)      Blog ‘Riyaldhiljannah’
a)      Zakat Saham
6)      Facebook Rasmi Lembaga Zakat Selangor( LZS)
a)      Memahami Zakat Saham

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            2
JURNAL AKADEMIK

1)      Tajuk                     : Undang-Undang Zakat dan Penguatkuasaannya di Malaysia
Penulis                   : Prof. Dr. Siti Mashitoh Mahamood
Tahun                    : 2005
Terbitan                 : SCOPUS Cited Publication

2)      Tajuk                     : Essential Readings in Comptemporary Waqh Issues
Penulis                   : Dr. Monzer Kahf
Tahun                    : 2011
Terbitan                 : CERT Publications Sdn. Bhd.

3)      Tajuk                     : Konsep dan Aplikasi Wakaf Kontemporari di Malaysia:   
Saham Wakaf dan Wakaf Saham
Penulis                   : Asmak Ab. Rahman, Azizi Che Seman, Suhaili Arif  dan Nor
                                Aini Ali
Tahun                    : 2009
Terbitan                 : SCOPUS Cited Publication

4)      Tajuk                     : Pegintegrasian Zakat dan Cukai di Malaysia
Penulis                   : Abd Halim Mohd Noor
Tahun                    : 2009
Terbitan                 : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi
                                Mara (UiTM) Shah Alam
5)      Tajuk                     : Undang-Undang Islam di Malaysia: Prinsip dan Amalan
Penulis                   : Ahmad Hidayat Buang
Tahun                    : 2007
Terbitan                 : Penebitan Universiti Malaya

6)      Tajuk                     : Undang-Undang dan Pentadbiran Harta Amanah Orang Islam                                di Malaysia
Penulis                   : Prof. Dr. Siti Mashitoh Mahamood
Tahun                    : 2006, 2008
Terbitan                 : UM Press

7)      Tajuk                     : Pembentukan Bahagian Mal Majlis Agama Islam Negeri:
  Perancangan dan Halatuju
Penulis                   : Prof. Dr. Siti Mashitoh Mahamood
Tahun                    : 2007
Terbitan                 : SCOPUS Cited Publication

                                                                                                                              3
BUKU ILMIAH
1)      Tajuk                                 : Pendidikan Islam
Penulis                               : Hamil@ Amir Abdullah dan Mohd Shukri Othman
Tahun                                : 2008
Terbitan                             : Sasbadi Sdn. Bhd.

2)      Tajuk                                 :Pengurusan Zakat
Penulis                               : Mahmood Zuhdi Abd. Majid
Tahun                                : 2003
Terbitan                             : Dewan Bahasa  dan Pustaka

3)      Tajuk                                 : Revisi Prioriti PMR Pendidikan Islam
Penulis                               : Ustaz Hamil@ Hamil Abd. Hameed
Tahun                                : 2003
Terbitan                             : Sasbadi Sdn. Bhd.


TESIS
Tajuk                     : Zakat Saham Amanah: Konsep dan Pentadbirannya di Malaysia
Penulis                   : Bitizela Binti Mohd Bidin
Tahun                    : 2001
Fakulti                   : Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Taraf  Kajian         : Sarjana
Bidang Kajian       : Syariah
No. Rujukan          : BP 42 A1 UM 2001 Bitmb
Lokasi                   : Perpustakaan Peringatan Za’Ba Universiti Malaya
Abstrak                 : Tesis ini membincangkan tentang zakat saham amanah dari segi
                                konsep dan pentadbirannya di Malaysia. Perbincangan meliputi dua
                                aspek penting iaitu yang pertama konsep dan operasi saham amanah
                              mengutarakan dalil-dalil daripada al-Quran dan al- Sunnah serta
                                pendapat para ulama yang boleh dikaitkan dengan kewajipan
   zakat saham tersebut.Turut dibincangkan ialah cara pengiraan dan
kaedah pembayaran zakat saham amanah.
                             

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  4
AKHBAR

1)      Sinar Harian
a)      Artikel ‘Bayar Zakat Melalui Ejen dan Myeg’, Jumaat, 8 November 2013

2)      Utusan
a)      Artikel ‘Bicara Agama: Khilaf Ulama Terhadap Zakat’, Jumaat, 11 Oktober 2013

3)      Berita Harian
a)      Artikel ‘Kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Wilayah Persekutuan ( PPZ-MAIWP) Beroperasi Setiap Hari’, Jumaat, 27 Julai 2012


MAJALAH
1)      Pemikir
a)      Kajian Terhadap Pungutan Zakat di Wilayah Persekutuan

2)      Hamdard Islamicus, Jan-March 2002, Mukasurat 71-86
a)      Cases of Awqaf and Court Jurisdictional Conflict in Malaysia, April-June 2008,Mukasurat 57-69 

3)      Dunia Islam
a)      Wakaf dan Syariah di Malaysia (Wakaf  and Islamic Syariah in Malaysia), Ahad, 2 September 2001

RISALAH
1)      Zakat@Pos, PPZ –MAIWP
2)      Bayar Zakat Secara Online, PPZ –MAIWP
3)      Potongan Gaji ATM Zakat, PPZ –MAIWP
4)      Pengiraan Zakat, PPZ –MAIWP
5)      Potongan Gaji Zakat, PPZ –MAIWP
6)      Ringkasan Pengiraan Zakat, PPZ –MAIWP
7)      Panduan Pengiraan Fidyah,PPZ –MAIWP
8)      Zakat Perniagaan,PPZ –MAIWP
9)      Zakat KWSP,PPZ –MAIWP
10)   Zakat Emas dan Perak,PPZ –MAIWP
                                                                                                                                                                                                                        


No comments:

Post a Comment