Monday 24 November 2014

Syair Keagungan Bahasa Melayu





Syair Keagungan Bahasa Melayu


Indahnya Malaysiaku bumi permai  kaya-raya,
Variasi adat resam, agama juga budaya,
Gemilangnya Bahasa Melayu bahasa ibunda,
Terbilangnya mewujudkan satu rupa bangsa.

Gahnya Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan,
Termaktub perkara 152, Perlembagaan Persekutuan,
 Kedudukannya diiktiraf Akta Bahasa Kebangsaan,
Bahasa persefahaman, bahasa perhubungan.

Bahasa Melayu kaya-raya warisan tradisinya,
Indah nan tinggi nilai bahasanya,
Sarat dengan nilai estetikanya,
Gah pula perbendaharaan katanya.

Menyingkap tabir sejarahnya yang gemilang,
Perkasanya bahasa persuratan tiada galang,
Bahasa kemasyhuran pemerintah silam terbilang,
Merentasi masa, kedaulatannya tidak hilang.

Dihati terbit rasa bangga tak terkira,
Jauh merentas benua, melayar samudera,
Bahasa lingua franca terkemuka tiada tara,
Bahasa persada global sungguh bitara.

Bahasa Melayu bahasa kebanggaanku,
Seantero dunia menjadi wacana ilmu,
Apakah tidak disedari  oleh kamu?
Kerananya  pelbagai kaum bersatu.

Penyata Razak 1956 dibentuk,
Gambaran harapan masyarakat majmuk,
Strategi perpaduan bangsa dibentuk,
Seragamkan sistem persekolahan penduduk.

Bahasa Melayu ditarbiah peringkat tertinggi,
Tujuan merapat jurang komunikasi,
Perpaduan kaum dicapai dengan hakiki,
Tanpa secalit rasa dengki.

Akta Pelajaran 1961 mengemukakan syor-syor,
Bahasa Melayu bahasa pengantar,
Daripada Bahasa Inggeris ia ditukar,
Wajib dikuasai segenap pelajar.

Universiti Kebangsaan Malaysia megah berdiri,
Bahasa Melayu bahasa pelajaran sehari-hari,
Bahasa ilmu itulah bukti jauhari,
Bahasaku ulung itulah realiti.

Dominasinya terlihat nan ketara,
Dimartabatkan dengan aneka cara,
Di mahkamah menjadi bahasa bicara,
Bahasaku terus unggul di nusantara.

Adat manusia mudah leka dan alpa,
Akhirnya bahasa kemegahan mula dilupa,
Akhirnya bahasa kesayangan mula dipersenda,
Keagungannya hampir menjadi lipatan nostalgia.

Ayuh bangkitlah berdiri dengan gagah,
Kemodenannya jangan sesekali cuba disanggah,
Keintelektualannya jangan sesekali cuba didalih,
Biarkan bahasaku terus berdiri megah.

Wahai sekalian dengarlah madah pendeta,
Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan Kita,
Bahasa Melayu Bahasa Keperibadian Kita,
Bahasa Melayu  Bahasa Jiwa Bangsa.



No comments:

Post a Comment